Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Langat – Pasukan pantun daerah Kuala Langat yang diwakili oleh Sekolah Kebangsaan Sijangkang sekali lagi mempertahankan kejuaraan di Pesta Pantun Sekolah Rendah peringkat negeri Selangor bagi tahun 2024.
Sebanyak lapan daerah telah mengambil bahagian bagi menjayakan pesta pantun tersebut yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Bandar Sunway Semenyih pada 7-9 Ogos 2024 dengan kelolaan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS).
Pasukan pantun daerah Kuala Langat membariskan lima orang murid darjah enam, iaitu Ahmad Hadif Firas Ahmad Ezani, Nur Fathiah Afrina Shafbari, Nursyafiqah Zamari, Aisy Arfan Muhammad Afif dan Zulhifzi Jamahari.
Sebagai rekod, pasukan ini telah memenangi tempat ketiga pesta pantun peringkat kebangsaan pada tahun 2023 yang lalu.
Menurut guru mereka, Puan Azliza Nordin, persiapan dan latihan untuk pesta pantun pada kali ini telah diadakan seawal bulan April 2024.
“Latihan teknik menjawab soalan pantun dan pemantapan persembahan individu telah diadakan hampir setiap minggu,” katanya.
Mereka membawa pulang sebuah piala pusingan, iaitu piala “Kencana Bahasa” dan plat individu, sementara pemantun ketiga, Nursyafiqah Zamari telah dinobatkan sebagai pemantun terbaik negeri.
Pada penghujung majlis, turut diadakan sesi penyerahan bendera negeri Selangor oleh Penolong Pengarah Pembangunan Bakat Murid (JPNS), Puan Masita Leman kepada pasukan Kuala Langat sebagai simbolik bahawa pasukan ini akan membawa nama negeri Selangor ke peringkat kebangsaan yang akan diadakan pada penghujung bulan Ogos nanti.