Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Program Bicara Infiniti Tahun 2024 anjuran Kelab Pidato Perdana Antarabangsa (KEPENTAS) dengan kerjasama Dewan Bahasa Pustaka (DBP) telah berlangsung di Dewan Seminar Dato’ Hassan Ahmad, Menara DBP bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun KEPENTAS Ke-15. Bicara Infiniti 2024 pada kali ini bertemakan “Minda Terbuka, Bahasa Diperkasakan”.
Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari telah merasmikan Bicara Infiniti Tahun 2024 ini, semalam.
Dalam ucapannya, Dr. Hazami menyatakan bahawa kemahiran pengucapan menerusi konsep infiniti yang diperkenalkan menerusi program ini
menggambarkan sesuatu yang tidak memiliki awal dan akhir, satu garisan yang tak berhujung, yang terus mengalir dan berkembang.
Ujarnya lagi, dalam konteks berbicara, infiniti mengajak manusia untuk merenungi potensi yang tidak terbatas dalam fikiran dan kata-kata yang diucapkan.
Setiap kata yang diucapkan tegasnya lagi, dapat menjadi jambatan menuju idea-idea baharu sebagai satu inspirasi yang tidak terhingga, dan berkemungkinan tanpa batas.
Selain itu daripada memahami konsep infiniti ini juga, manusia turut berbicara tentang keabadian idea dan pemikiran.
Haruslah disedari oleh semua bahawa kata-kata itu memiliki kekuatan untuk melampaui batasan fizikal dan waktu, meninggalkan jejak yang abadi dalam hati dan fikiran orang yang mendengarnya.
Sudah tentu dengan memahami dan mengapresiasi konsep ini, kita akan bersama-sama dapat lebih bijaksana dalam memilih kata-kata dan berbicara dengan tujuan yang betul.
Program yang berkonsepkan penyampaian idea yang berkaitan bidang ilmu khusus beridentitikan TEDTalk Timur itu menyerlahkan komunikasi pembicara dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu menerusi gaya penyampaian yang kaya dengan ciri-ciri ketimuran, nusantara dan seumpamanya.
Perihal kualiti berbahasa peserta pembicara program ini, mereka mendapat bimbingan dari pegawai DBP, manakala teknik penyampaian pula dibimbing oleh pembimbing dari KEPENTAS.
Bicara Infiniti 2024 pada kali ini menampilkan pembicara iaitu YBrs. Prof. Madya Dr. Saiful Akram, pensyarah dari Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM Puncak Alam, YBrs. Dr. Faridhil Athrash Sallehan, Pegawai Perubatan (Pakar Kesihatan Mental) dari Klinik Kesihatan Air Putih, Balik Pulau, Pulau Pinang, YBrs. Dr. Charanjit Kaur, Penolong Profesor di Jabatan Pengajian Umum, Fakulti Industri Kreatif, Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Encik Fhadrul Irwan, Felo di Fakulti Pengajian Melayu, Universiti Malaya, YBrs. Dr. Intan Marzueani Mohamad Nor, Pegawai Tadbir Diplomatik di Kementerian Luar Negeri di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar dan Encik Muhammad Sadiq bin Mohd Salihoddin, Pereka bentuk Pengajaran dari Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR).
Encik Muhammad Sadiq bin Mohd Salihoddin, pembicara yang membentangkan tajuk Bahasa dan Pemikiran: Sejauh Manakah Bahasa Memaksimumkan Penggunaan Akal telah menjadi pilihan khalayak yang hadir dalam program ini dan beliau dianugerahkan sebagai Pembicara Terbaik Bicara Infiniti 2024.
Turut hadir selain Ketua Pengarah DBP dalam majlis perasmian ini ialah Puan Sandy Tan, selaku Presiden KEPENTAS, Tuan Haji Mohd Salahuddin bin Dato’ Paduka Mohamed, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Puan Roziah Md Yunus, Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan dan Encik Ferry Anugerah Makmur, Penasihat MAHAKARYA, Nasional Malaysia.