Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangJurufoto: Mohamad Adib Zulkifli
Seremban – Program Karnival Semarak Merdeka Menyusuri Perjuangan Peringkat Negeri Sembilan bagi tahun 2024 yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Lavender Heights, Seremban hari ini bertujuan untuk menyuburkan jiwa merdeka serta membangkitkan semangat patriotisme dan iltizam yang tinggi dalam kalangan murid, terutamanya pada peringkat sekolah rendah yang merupakan akar yang perlu diperkukuh.
Program kerjasama antara SK Lavender Heights dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja ini menyaksikan keterlibatan murid secara aktif dengan cantuman idea jitu para guru dan pentadbir serta penyertaan sekolah di Negeri Sembilan yang menjadi wadah untuk melahirkan murid yang peka dan berketerampilan dalam usaha menghayati erti kemerdekaan yang dikecap selama 67 tahun.
Penyatuan murid dalam menjayakan karnival ini juga menunjangi tema sambutan Hari Kemerdekaan ke-67, iaitu “Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka”.
Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari dalam ucapan penutupan program berkata, karnival ini perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya oleh semua peserta untuk memahami bahawa genre sastera telah lama wujud dalam mengungkap jerit perih dan suka duka perwira negara mempertahankan tanah air tercinta.
“Tema yang dipilih merupakan perlambangan kesejahteraan secara holistik, menekankan kemajuan dan progresif untuk rakyat berbilang kaum untuk hati dan teguh jati diri,” katanya.
Beliau turut menyampaikan ucapan penghargaan kepada pihak sekolah dalam usaha memartabatkan bahasa dan kesusasteraan melalui penganjuran Pertandingan Perarakan Merdeka dengan Slogan Terbaik, Pertandingan Deklamasi Sajak, Pertandingan Melukis dan Pertandingan Mewarna untuk membangkitkan jiwa anak merdeka.
Pemenang bagi setiap pertandingan menerima hadiah berupa wang tunai, sijil dan hadiah iringan (buku) daripada DBP.
Sementara itu, Guru Besar SK Lavender Heights, Puan Suziana Awaludin dalam ucapannya turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada YBrs. Dr. Hazami Jahari atas kesudian pihak DBP menyambut tangan daripada SK Lavender Heights untuk menjalinkan kerjasama dan kepakaran untuk menjayakan karnival pada hari ini.
“Sudah tentu pihak sekolah akan sentiasa mencari ruang dan peluang agar martabat bahasa dan sastera sentiasa terus diperkasa oleh warga pendidikan,” katanya.
Pelibatan dan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sembilan, Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS), Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan (PPANS), Pusat Zakat (PPZ) Negeri Sembilan Cawangan Senawang, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Raja Melewar dan Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PENS) sebagai saluran penyampaian erti kemerdekan didukung oleh semua pihak untuk disampaikan kepada warga pendidikan.
Para pengunjung dan peserta karnival disajikan dengan pameran daripada LMNS, AADK, PPZ Negeri Sembilan, Ujana Buku DBP dan gerai jualan daripada panitia mata pelajaran SK Lavender Heights.
Penampilan istimewa Sasterawan Negara Ke-15, YBhg. Dato’ Rahman Shaari merupakan buah tangan istimewa daripada DBP untuk warga sekolah dan peserta karnival.
Segmen Bicara Tokoh dikendalikan oleh Puan Farrah Nabilla Noor Anuar daripada Persatuan Penulis Negeri Sembilan yang berkongsi citra merdeka dari sudut pandang sastera untuk meningkatkan semangat merdeka pada bulan Ogos ini.
Turut hadir dalam majlis penutup program ini ialah Ketua Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Encik Rahimi Arifin; Ketua Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-Kanak dan Remaja DBP, Puan Huznah Sa’it; Ketua 1 Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PENS), Puan Nisah Haron; dan wakil agensi yang terlibat.