Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKemajuan dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) yang makin pesat di seluruh dunia kian mempengaruhi gaya hidup masyarakat. Kini, masyarakat lebih cenderung untuk menggunakan media sosial ketika berkomunikasi dan melontarkan buah fikiran. Aplikasi media sosial, seperti Twitter, Instagram dan TikTok, menjadi tempat untuk menyuarakan pendapat masing-masing. Malangnya, ada sesetengah pendapat disampaikan menggunakan bahasa yang kasar dan tidak sopan.
Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, bahasa kasar merujuk bahasa yang tidak sopan atau tidak manis dituturkan (digunakan). Antara contoh penggunaan bahasa kasar ini termasuklah kata berbaur makian, hinaan dan carutan. Pada tahun 2022, statistik menunjukkan bahawa sebanyak 1.15 peratus daripada 51 juta ciapan 14 juta pengguna Twitter menggunakan bahasa kasar. Keadaan ini menunjukkan bahawa satu daripada 13 ciapan yang dimuat naik dalam Twitter mengandungi unsur bahasa kasar.
Penggunaan bahasa kasar yang makin berleluasa dalam kalangan masyarakat menyebabkan pelbagai kesan negatif. Antaranya termasuklah mencemarkan imej negara. Hal ini dikatakan demikian kerana kata yang ditulis mencerminkan bangsa.
Penggunaan ungkapan kasar ini turut dikaji oleh penyelidik tempatan. Contohnya, menurut Mohd Norazizi Samsudain dan Mardian Shah Omar dalam makalah “Penggunaan Unsur Bahasa Negatif terhadap Hantaran Isu 1MDB oleh Pengguna Facebook”, netizen melontarkan komen yang berunsur cacian dan makian terhadap Datuk Seri Najib Razak berkenaan isu 1MDB.
Tambah penyelidik itu lagi, netizen juga mempertikaikan pelantikan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia. Tindakan ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa rakyat Malaysia mengabaikan prinsip dalam Rukun Negara yang kedua, iaitu kesetiaan kepada raja dan negara kerana mempertikaikan keputusan Yang di-Pertuan Agong.
Situasi ini menunjukkan sikap masyarakat yang biadab dan tidak mematuhi Rukun Negara. Perkara sedemikian bukan sahaja mencemarkan imej negara, bahkan menonjolkan sisi negatif negara melalui peribadi rakyatnya yang mampu mengancam kestabilan politik, ekonomi dan keamanan negara.
Selain itu, penggunaan ungkapan kasar dalam media sosial juga menjatuhkan martabat bahasa Melayu. Kesannya, bahasa Melayu yang sinonim dengan unsur kesantunan tidak lagi dipandang tinggi.
Penggunaan ungkapan kasar yang berbaur makian dan cacian juga cenderung digunakan dalam media sosial. Bahasa yang digunakan dalam media sosial tidak boleh dijangka akan sempurna, terutamanya dari aspek bahasa percakapan. Namun begitu, ungkapan kasar yang merendahkan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa tamadun perlu dihindari.
Seterusnya, penggunaan bahasa yang lebih parah adalah dalam hal kesantunan bahasa. Sebagai contoh, banyak kata yang bersifat cacian, carutan, bidasan dan hinaan digunakan secara meluas dalam media sosial, seperti blog, Facebook dan Twitter. Hal ini jelas menunjukkan bahawa martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak lagi dihiraukan.
Penggunaan ungkapan kasar dalam media sosial yang makin berleluasa menyebabkan berlakunya keruntuhan akhlak remaja. Hal ini dikatakan demikian kerana kesantunan berbahasa remaja kian terhakis apabila dipengaruhi oleh gaya bahasa yang digunakan dalam media sosial.
Bagi kata carutan, penggunaannya berleluasa sebagai pelengkap pertuturan. Sebagai contoh, penggunaan kata “bodoh”, “mangkuk” dan “sial” digunakan sebagai unsur pelengkap ayat yang diujarkan oleh kebanyakan remaja pada zaman ini. Penggunaan kata berunsur negatif ini secara tidak langsung meruntuhkan akhlak remaja kerana unsur kesopanan dalam berbahasa tidak lagi diutamakan. Adab dan sopan tidak lagi menjadi pegangan remaja, seterusnya menyebabkan sahsiah yang unggul sukar dipupuk.
Ungkapan kasar yang makin berleluasa dalam media sosial ini juga secara tidak langsung menggores hati individu lain dan menyebabkan berlakunya salah faham. Hal ini dikatakan demikian kerana sesetengah individu menganggap bahasa kasar yang digunakan sebagai satu daripada bentuk mesra rakan.
Namun begitu, tidak semua individu dapat menerima lontaran bahasa yang berunsur negatif ini. Secara tidak langsung, perkara ini dapat menggores hati pihak lain dan berlakunya salah faham yang mampu mencetuskan pergaduhan sesama rakan.
Menurut Mohd Khaidir Abdul Wahab, Mohd Nor Taufiq Nor Hashim dan Wan Azni Wan Mohamad dalam makalah “Aspek Kesantunan dan Ketidaksantunan Berbahasa dalam Kalangan Pelajar Bahasa Melayu: Satu Kajian Perbandingan Dua Buah Negara”, remaja sekolah pada zaman ini sudah tidak lagi berpegang pada nilai kesantunan berbahasa ketika berinteraksi antara rakan, guru dan ibu bapa. Perkara ini jelas dilihat dalam pergaduhan yang sering berlaku disebabkan oleh salah faham ketika remaja berkomunikasi antara satu dengan lain.
Ungkapan kasar yang makin berleluasa penggunaannya dalam media sosial juga mampu menyebabkan berlakunya tekanan emosi. Hal ini dikatakan demikian kerana sebahagian pengguna media sosial sewenang-wenangnya melontarkan komen negatif yang berbaur cemuhan terhadap individu lain.
Komen yang bersifat buli siber ini mampu menyebabkan berlakunya tekanan emosi terhadap individu yang dikomen. Buktinya, Nik Muhammad Izzudin Nik Lah, Pulavendran Vijaya Kumaran dan Kamarul Azmi Jasmi dalam makalah “Media Sosial dan Impak kepada Perkembangan Bahasa Menurut Islam” menyatakan bahawa lontaran komen negatif menggunakan kata yang tidak senonoh atau dianggap tidak layak dalam percakapan seharian dapat menimbulkan tekanan emosi terhadap individu yang menerima komen negatif tersebut. Oleh itu, jelaslah bahawa penggunaan ungkapan kasar yang makin berleluasa dalam media sosial kini mampu mengakibatkan berlakunya tekanan emosi.
Tuntasnya, penggunaan media sosial secara berhemah perlu ditekankan dalam kalangan masyarakat. Penggunaan ungkapan kasar dalam media sosial yang makin berleluasa mendatangkan lebih banyak kesan negatif berbanding dengan kesan positif.
Setiap individu pula bertanggungjawab untuk memastikan penggunaan ungkapan kasar dalam media sosial dapat dibendung. Hal ini dikatakan demikian kerana bahasa merupakan medium utama yang digunakan oleh setiap individu untuk berkomunikasi. Maka, setiap individu bertanggungjawab untuk memastikan aspek kesantunan berbahasa diterapkan dalam pertuturan.
Selaku individu bermoral, pengguna bahasa hendaklah memastikan setiap kata yang diujarkan mencerminkan ciri orang yang bertamadun. Aspek kesantunan dalam berbahasa juga hendaklah dijadikan pegangan utama oleh individu dan masyarakat, sejajar dengan slogan “Bahasa Jiwa Bangsa” yang tidak asing dalam kalangan masyarakat pada masa ini.