Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Nerus – Pasukan pantun negeri Selangor yang diwakili oleh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jelutong, Shah Alam telah dinobatkan sebagai Johan Pesta Pantun Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan 2024, sekali gus menamatkan kemarau kejuaraan selama 21 tahun.
Kali terakhir negeri Selangor merangkul kejuaraan tersebut adalah pada tahun 2003 melalui SMK Jenjarom, Kuala Langat, Selangor.
Pasukan pantun ini diwakili oleh lima orang pemantun, iaitu Muhammad Adib Arrayan Fazrul, Nurul Adlina Jamil, Alya Izzati Asrul, Nurain Solehah Nizam dan Alysha Damia Fauzi yang kesemuanya merupakan pelajar tingkatan empat kecuali Alya Izzati Asrul yang merupakan pelajar tingkatan lima.
Pasukan yang dinamakan sebagai “Rentaka Ehsan” itu diiringi oleh tiga orang guru pengiring, iaitu Cikgu Norlidah, Cikgu Zanariah dan Cikgu Faizah dan dua orang jurulatih mereka, yakni Encik Muhammad Hariri dan Encik Izzul Iman.
Penyertaan pasukan tersebut pada kali ini merupakan percubaan kali ketiga sekolah itu yang mewakili negeri Selangor untuk beradu tenaga bagi merebut gelaran johan dalam pertandingan pesta pantun berkenaan.
Mengimbas kembali penyertaan pasukan tersebut pada tahun 2021 dan tahun 2023, pasukan ini hanya sekadar berpuas hati dengan pencapaian layak ke peringkat suku akhir, namun dengan kecekalan dan iltizam, mereka bangkit pada tahun ini.
Untuk rekod, pada peringkat perlawanan kelayakan pertama, pasukan mereka berjaya mengatasi pasukan dari Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Johor pada pusingan kelayakan kedua.
Bergerak ke peringkat suku akhir, Rentaka Ehsan mendapat tentangan hebat daripada pasukan Sarawak, namun mereka berjaya mengatasi strategi yang diatur oleh pihak lawan dengan tenang dan bijaksana.
Pemantun kedua SMK Bukit Jelutong, Shah Alam, Nurul Adlina Jamil berkata, jurulatih mereka banyak mengajar cara hendak menyerap tekanan daripada pihak lawan dan hasilnya mereka mampu untuk menangkis serangan psikologi pihak lawan.
Pada peringkat separuh akhir, pasukan pemantun berkenaan berjaya menepis langkah Johan Pesta Pantun pada tahun lalu, iaitu Kedah dan kemenangan ini membawa mereka ke pentas akhir yang mengulangi sejarah pasukan negeri Selangor pada tahun 2015, namun hanya berpuas hati sebagai naib johan pada ketika itu.
“Kejayaan menumpaskan pasukan Kedah pada peringkat separuh akhir telah memberikan satu semangat kepada kami untuk menggenggam kejuaraan pada tahun ini,” kata Encik Muhammad Hariri.
Pada peringkat akhir, pasukan Selangor berjaya mengalahkan pasukan Kelantan apabila diumumkan sebagai johan dan lebih manis apabila pemantun pertama dari Selangor, iaitu Muhammad Adib Arrayan dinobatkan sebagai pemantun terbaik pada pertandingan akhir pesta pantun peringkat kebangsaan tersebut.
Mengiringi kemenangan ini, mereka telah membawa pulang piala keramat pesta pantun kebangsaan, iaitu Piala Sirih Pulang ke Gagang, piala johan serta plat individu, sekali gus membuktikan bahawa semangat jiwa berpantun terus mekar diwarisi oleh generasi alfa, khususnya di negeri Selangor.