Oleh Kho Thong Eng
19 September 2024, 23:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Yang kurik itu kundi,

Yang merah itu saga;

Yang baik itu budi,

Yang indah itu bahasa.

Berdasarkan pantun empat kerat di atas, kita sudah dapat mengesan akan keindahan rima antara empat barisnya,  iaitu ada skema rima akhir a-b-a-b, selain rima tengah akhir kata -ik dan -ah.  Malahan, ada juga kata yang sama, iaitu anafora yang pada awal baris dan responsi kata itu di tengah baris.

Persamaan rima memang menjadi kesukaan manusia di serata dunia.  Hal ini berlaku demikian kerana persamaan rima membumbui bahasa dengan keindahan bunyi, selain keindahan bahasa. Oleh itu, persamaan rima dapat disaksikan pada pantun, syair, gurindam dan sajak tertentu.  Malahan, dalam peribahasa, kata-kata hikmat, slogan dan ucapan, unsur rima biasanya merupakan unsur yang menonjol.  Sila lihat contoh yang berikut:

Peribahasa

Ada air adalah ikan

Siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama mencuri

Kata-kata Hikmat

Bahasa jiwa bangsa

Bersatu teguh, bercerai roboh

Kata mesti dikota

Gurindam

Kurang fikir, kurang siasat,

Tentu dirimu kelak tersesat.

Syair

Ada raja suatu negeri,

Sultan Halifah akas bestari,

Asalnya baginda raja yang bahari,

Melimpah ngadil dagang senteri.

Slogan

kalau pasti, baru kongsi

tak pasti, jangan kongsi

kalau benar, baru sebar

biar lambat, asalkan selamat

pandu cermat, jiwa selamat

Ucapan

Jangan biarkan kebebasan kita tersekat dan terikat

Dengan adanya azam dan iltizam, gagasan pasti menjadi kenyataan

Dari segi tatabahasa, keindahan rima dapat dikesan pada kata ganda berima. Hal ini mencakupi kata ganda pengulangan vokal dan konsonan serta kata ganda berima bebas. Malahan, ada juga frasa yang mempunyai persamaan rima.  Sila lihat contoh yang berikut:

Kata Ganda Berima Pengulangan Vokal

Golongan Kata Contoh Kata
Kata Nama kuih-muih, sayur-mayur, lauk-pauk
Kata Kerja bercerai-berai, selit-belit, tergopoh-gapah
Kata Adjektif hiruk-pikuk

Kata Ganda Berima Pengulangan Konsonan 

Golongan Kata Contoh Kata
Kata Nama batu-batan, gunung-ganang, suku- sakat
Kata Kerja bermandi-manda, mundar-mandir, lalu-lalang
Kata Adjektif porak-peranda, gelap-gelita, kontang-kanting

Kata Ganda Berima Bebas 

Golongan Kata Contoh Kata
Kata Nama anak-pinak, saudara-mara
Kata Kerja berulang-alik
Kata Adjektif kacau-bilau

Selain itu, bagi kata ganda penuh berimbuhan, terdapat juga persamaan rima.  Contohnya ialah tali-temali, jari-jemari, turun-temurun dan gilang-gemilang.  Bagi kata ganda separa juga, ada yang menampilkan persamaan rima, contohnya zaman-berzaman, bantu-membantu dan hormat-menghormati.

Frasa dengan Persamaan Rima

Golongan Kata Contoh Kata
Frasa Nama teruna dara, saudara saudari, tuan puan
Frasa Kerja bersatu padu, berjimat cermat
Frasa Adjektif letih lesu, cantik molek, kurus kering

 Satu hal yang menarik ialah persamaan rima begitu penting dan tetap terpelihara biarpun kata ganda berima ditambah imbuhan. Sila lihat contoh yang berikut:

Kata Dasar Imbuhan Dengan / Tanpa

Perubahan Homorganik

Kata Terbitan
hiruk-pikuk men-…-kan X menghiruk-pikukkan
porak-peranda X memporak-perandakan
kucar-kacir mengucar-ngacirkan
kotak-katik mengotak-ngatikkan

Berdasarkan contoh di atas, dapat dikatakan bahawa jika kata pertama dalam kata ganda berima tidak mengalami perubahan homorganik pada awal kata, kata yang kedua juga demikian.  Sebagai contoh, kata ganda berima menghiruk-pikukkan dan memporak-perandakan yang tidak mengalami perubahan homorganik.  Sebaliknya, jika kata pertama dalam kata ganda berima mengalami perubahan homorganik pada awal kata, kata yang kedua juga begitu.  Contohnya perubahan bunyi “k” pada awal kata kepada bunyi “ng” bagi kata ganda berima mengucar-ngacirkan dan mengotak-ngatikkan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.