Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKudat – Daerah Kudat dan Sandakan dipilih untuk dilaksanakan Kajian Tahap Penggunaan Bahasa Kebangsaan di Tempat Awam di negeri Sabah pada tahun ini.
Sebelum ini, bandar raya Kota Kinabalu pernah dipilih sebagai daerah pertama untuk dilaksanakan kajian rintis, selain Keningau dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Timbalan Pengarah II Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, Puan Julianah Kuli berkata, kajian yang dilaksanakan oleh DBP Cawangan Sabah dengan kerjasama Lembaga Bandaran Kudat pada 23 September 2024 hingga 25 September 2024 itu adalah untuk melihat pandangan dan sikap masyarakat terhadap bahasa kebangsaan di tempat awam.
“Selain itu, dapatan kajian ini juga dapat dijadikan sebagai saranan atau cadangan penambahbaikan kepada Pihak Berkuasa Tempatan untuk memantapkan lagi penggunaan bahasa kebangsaan, selaras dengan Perkara 152 (I) yang menyatakan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu,” katanya.
Tambah beliau, objektif utama kajian ini adalah untuk mengenal pasti tahap penggunaan bahasa kebangsaan di daerah Kudat, khususnya pada papan tanda dan paparan awam seperti papan premis, papan iklan, kain rentang, gegantung, poster, dan brosur yang terdapat di taman rekreasi, bangunan kerajaan, sekolah, pusat beli-belah, hospital, taman perumahan, dan nama jalan.
Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak Lembaga Bandaran Kudat kerana sudi bekerjasama dan komited dalam usaha membantu DBP melaksanakan kajian tersebut.
Pada masa yang sama, beberapa orang pegawai DBP Cawangan Sabah turut bersama-sama ke lapangan bagi mengambil data untuk kajian ini.