25 November 2024, 10:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sebanyak 50 orang peserta menyertai Kursus Penyuntingan GAPENA-PEM-PENA 2024 di Tamu Hotel & Suites Kuala Lumpur pada 22 dan 23 November 2024 anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Persatuan Editor Malaysia (PEM) dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA).

Kursus tersebut terbuka kepada editor, penulis atau individu dari jabatan atau agensi kerajaan mahupun swasta, institusi pengajian tinggi awam dan swasta, badan bukan kerajaan, penggiat bahasa dan khalayak umum.

Perkongsian ilmu telah disampaikan oleh YBhg. Prof. Dr. Hamedi Mohd. Adnan, dari Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi, Universiti Malaya (UM).

Menurut Prof. Dr. Hamedi;

Ada empat rukun suntingan naskhah yang perlu dipatuhi, iaitu tidak menghilangkan atau merosakkan mana-mana bahagian manuskrip, tidak menyalahkan teks yang sudah betul, tidak mengubah maksud pengarang dengan sengaja, dan tidak mengabaikan tarikh akhir.

Selain itu, beliau turut menjelaskan beberapa proses kerja bermula daripada editor kepada pembaca yang secara luarannya kelihatan rumit. Perkara tersebut ialah skrip bertaip (editor-pembaca-editor-pengarang- editor naskhah-penetap taip); pruf muka (editor-pengarang, editor-penetap taip-editor-pencetak dan penjlid); dan buku diterbitkan (pengedar-peruncit-pembaca). Beliau turut memberikan contoh cara kerja seorang editor membetulkan nahu dan ejaan yang salah, misalnya dalam teks ucapan.

Selain beliau, turut menyampaikan ceramah dalam kursus ini ialah pensyarah UM, YBrs. Dr. Siti Ezalella Mustafa; Ketua Editor Bahagian Majalah, DBP, YBrs. Dr. Rosmani Omar; dan Presiden PENA, merangkap Timbalan Presiden GAPENA, dan Ahli Jawatankuasa PEM. YBrs. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad @Ahmad.

Menurut Wan Muhammad Haeqal, iaitu peserta kursus tersebut, program ini bukan sahaja membantu beliau mengulang kaji ilmu sedia ada, malah mendedahkannya kepada perkara baharu yang berkaitan dengan penyuntingan.

Seiring dengan perkembangan teknologi, cara kerja penyuntingan juga turut berubah. Kini sudah terdapat pelbagai aplikasi yang dapat membantu memudahkan dan mempercepat lagi kerja-kerja penyuntingan,” ujarnya yang bergiat sebagai editor bebas sejak tahun 2010.

Novelis terkenal dari Kedah, iaitu Amelia Hashim pula berpendapat bahawa walaupun kursus berkenaan khusus untuk para editor, tetapi amat bermanfaat kepada pengarang kerana memperoleh ilmu penyuntingan, lantas dapat membantu mereka menyunting karya sendiri mengikut prosedur penyuntingan.

Ilmu tentang ejaan dan tanda bacaan, misalnya membantu meringankan beban kerja editor. Kadangkala terdapat ayat, ataupun satu perenggan yang dibuang oleh editor. Adakalanya juga nama watak ditukar, tetapi editor memaklumkannya terlebih dahulu kepada penulis.

Selain memberikan pendedahan kepada editor tentang aspek penting dalam penyuntingan khususnya aspek bahasa, iaitu penggunaan bahasa dalam penulisan dan menyahut seruan kerajaan dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu yang melambangkan nilai, identiti dan jati diri rakyat Malaysia, objektif kursus ini juga adalah untuk meningkatkan kemahiran editor baharu dan membugar semula kemahiran editor dalam aspek penyuntingan.

Selain itu, kursus seperti ini dapat menghimpunkan editor dan penulis untuk berkongsi ilmu tentang pengetahuan dan kemahiran mereka berkaitan dengan penyuntingan dan gaya penerbitan serta memperluas rangkaian kerjasama PEM dengan GAPENA demi meningkatkan usaha ke arah kemajuan industri perbukuan, dan penerbitan di Malaysia. Penganjuran kursus seperti ini juga menjadi medan bagi para ilmuwan untuk berkongsi kepakaran dan pengetahuan dalam bidang masing-masing, terutama yang berkaitan dengan editorial, penulisan dan kebahasaan.

YBhg. Prof. Dr. Hamedi Mohd. Adnan dari Universiti Malaya (UM) semasa menyampaikan ceramah.
YBrs. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad @Ahmad semasa Kursus Penyuntingan GAPENA-PEM-PENA 2024 di Tamu Hotel & Suites Kuala Lumpur .
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.