Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKota Kinabalu − Persatuan Munsyi Dewan (Jawi) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah telah menganjurkan Majlis Apresiasi Wibawa Jawi bagi memberikan penghargaan kepada Puan Lorenica Frenila Masundim atas usaha dan iltizam beliau dalam memperkasakan tulisan Jawi dalam kalangan murid.
Dedikasi beliau sebagai seorang guru yang berwibawa, beriltizam tinggi dalam menggalas amanah sebagai pendidik di Sekolah Kebangsaan Bawang K9, Beluran wajar dijadikan contoh.
Anak kelahiran Paitan itu berkata, tulisan Jawi mengandungi nilai seni, budaya serta nilai sejarah kerana tulisan ini turut dijadikan tulisan bahasa Melayu klasik sekali gus menjadi alat komunikasi penting suatu masa dahulu.
Semasa menyampaikan ucapan sambutan, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah, Puan Jennitah Noordin turut memberitahu bahawa DBP sebagai sebuah agensi yang dipertanggungjawabkan untuk memartabatkan bahasa, sastera dan tulisan Jawi sentiasa menggiatkan usaha dalam memikul amanah memartabatkan dan melestarikan bahasa kebangsaan di negara ini seiring dengan pemerkasaan tulisan Jawi.
Dalam konteks Cawangan Sabah, pelbagai kegiatan bahasa dan sastera, melaksanakan penyelidikan bahasa dan sastera, menerbitkan buku dalam pelbagai bidang ilmu, selain buku bahasa dan sastera serta mendokumentasikan pelbagai bahan seperti buku, majalah, makalah, jurnal, dan lain-lain di Pusat Dokumentasi Melayu.
Selain itu, DBP diharap akan menjadi pusat rujukan yang lengkap dan unggul dalam hal-hal persuratan Melayu, termasuklah Koleksi Borneo khususnya yang memperkatakan tentang kearifan tempatan. Pada tahun hadapan, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah juga merancang untuk mengadakan beberapa program mini karnival yang melibatkan kawasan di pantai Timur Sabah, kawasan luar bandar dengan pelibatan pelbagai pihak sebagai rakan strategik.
Turut Sesi Libat Urus Akademi DBP bersama-sama dengan Munsyi Dewan (Bahasa, Sastera dan Jawi) bagi mendapatkan maklumat daripada para Munsyi Dewan berkaitan dengan program yang boleh dilaksanakan serta perancangan yang telah disusun oleh Akademi DBP dalam usaha memperkasakan dan memartabatkan bahasa kebangsaan dan tulisan jawi khususnya di negeri Sabah.
Majlis ini turut dihadiri oleh Encik Mat Yusof Abd Rahman (Pengerusi Persatuan Munsyi Dewan Jawi), Puan Hajah Nurani Fauziah Derin (Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran), YBrs. Dr. Faezah Muhayat, (Timbalan Ketua Akademi DBP), Encik Fredy Maginjoh (Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bawang K9, Beluran), Timbalan-timbalan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah serta para Munsyi Dewan (Bahasa, Sastera dan Jawi) dari negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.