Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKota Kinabalu – Teater Salina yang berlangsung di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Sabah pada 29 November hingga 30 November 2024 yang lalu dilihat telah berjaya memartabatkan karya sasterawan negara.
Teater arahan Saudara Shah Zainal ini merupakan suatu karya adaptasi daripada novel hebat karya Sasterawan Negara (SN) Keempat, Datuk A.Samad Said. Seperti juga dalam karya asli novel Salina, teater ini menyingkap tentang sosiomasyarakat di Kampung Kambing yang didirikan tanpa sebarang lesen dan geran.
Kisah di kampung ini tersemat pelbagai isu sosial termasuklah penindasan, pergaduhan, dan perjudian selepas era peperangan. Hilmy dan ibunya yang baru berpindah ke Kampung Kambing menonjolkan kebijaksanaan watak mereka yang berasimilasi dengan budaya di kampung tersebut dan dibantu oleh jirannya Salina yang menganggapnya sebagai adik.
Semua pelakon dilihat berjaya menjiwai watak masing-masing sehingga penonton yang telah membaca novel Salina dapat merasai seolah-olah watak dalam buku itu menjelma menjadi nyata di hadapan mata. Pengalaman menonton pementasan teater ini nescaya dapat memberikan banyak pedoman hidup kepada masyarakat umum di negara ini.
Antara barisan pelakon hebat yang terlibat termasuklah Mazrona Kalinggalan, Shahril Latief, Ahmad Iman Danish, Faizan Ruzman , Dona, Khazlina ,Aiman Karim, Sarves Waren, Saifuk Maun, Siti Rahmas, Shirvy Susanty, Welson Bandung dan Syafiq Salleh.
Turut hadir menonton pementasan teater ini ialah Setiausaha Tetap 1, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Mary Isidore Malangking, Penolong Naib Canselor, Universiti Malaysia Sabah, Prof. Dr. Muhammad Saffreee Jeffree, Encik Rosnan Nordin, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah, Encik Jasmi Rasit, dan Dekan Akademi Seni dan Teknologi Kreatif, Universiti Malaysia Sabah. Prof. Madya Dr. Zairul Anuar Md Dawam.