Oleh Roslina Bakar
3 Disember 2024, 10:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

“Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyokong sepenuhnya tindakan penguatkuasaan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap pemilik premis yang mempamerkan iklan tanpa lesen yang sah serta tidak mengutamakan bahasa kebangsaan pada papan tanda iklan.”

(Norsuhaila Ibrahim dalam DBP Menyokong Tindakan Penguatkuasaan Mendaulatkan Undang-undang Bahasa Kebangsaan oleh DBKL dipetik dalam Berita, 26 November 2024)

Petikan tersebut melambangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang perlu dijadikan keutamaan penggunaannya pada papan iklan. Penulis berpandangan bahawa keutamaan penggunaan bahasa Melayu pada papan iklan dan papan tanda di negara ini sewajarnya dilaksanakan secara tekal. Dalam kata lain, penggunaan bahasa Melayu secara mandiri pada papan tanda merupakan langkah perjuangan melestari bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di negara ini. Kontradiksinya, papan iklan pula perlu mengutamakan bahasa Melayu tetapi dibolehkan penggunaan bahasa lain sebagai sisipan.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan peraturan papan tanda yang dijalankan di sekitar Kuala Lumpur bertujuan untuk memastikan premis perniagaan mematuhi peraturan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang menetapkan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di negara ini (DBKL: Papan Iklan wajib guna bahasa kebangsaan, huruf bahasa lain kecil, http//www.suarakeadilan.my/post). Walaupun bahasa lain dibolehkan penggunaannya pada papan iklan, namun spesifikasi tertentu perlulah dipatuhi.  Contohnya, bahasa lain atau bahasa asing tersebut perlulah bersaiz kecil supaya penggunaan bahasa Melayu tidak dikesampingkan.

Dalam konteks ini, bahasa Melayu perlulah menjadi keutamaan dalam penyampaian mesej pada papan iklan tersebut.  Pada masa yang sama, penggunaan bahasa lain atau bahasa asing yang menggunakan huruf bersaiz kecil hanya bertujuan untuk mempromosikan iklan yang mahu disampaikan kepada masyarakat umum. Intihanya, bahasa Melayu yang telah ditetapkan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 perlulah dipatuhi oleh semua warga Melayu yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Alat Komunikasi Visual

Penggunaan bahasa Melayu pada papan tanda dan papan iklan memerlukan kejituan ciri-ciri ciptaan komunikasi visual yang berkesan supaya mesej dapat disampaikan secara mudah, mempunyai kejelasan maksud yang mahu disampaikan dan mengurangkan kekeliruan.  Hal tersebut disebabkan oleh papan tanda dan papan iklan merupakan alat komunikasi visual di kawasan awam dan tempat-tempat tertentu sebagai pemberi maklumat dan mempromosikan sesuatu hal atau perniagaan kepada masyarakat umum.

Contohnya, papan tanda amaran yang bertujuan memberikan peringatan tentang bahaya atau risiko tertentu seperti “Kawasan Angin Lintang”, papan tanda arah untuk memberikan informasi kepada pengguna ke lokasi tertentu seperti “Kaunter Pendaftaran”. Papan tanda larangan pula bertujuan untuk melarang orang ramai terhadap tindakan tertentu seperti “Dilarang Masuk”.  Manakala papan tanda informasi untuk membawa informasi dan maklumat kepada orang ramai seperti “Waktu Operasi: 8:00 pagi hingga 5:00 petang”.  Selain itu, terdapat juga papan tanda keselamatan yang bertujuan untuk menyampaikan langkah keselamatan seperti “Pintu Kecemasan” dan papan tanda jalan raya untuk memberikan informasi kepada pemandu dan pengguna jalan raya, misalnya “Laluan Kecemasan”.

Berbeza pula dengan papan iklan, khususnya papan iklan perniagaan yang memerlukan penggunaan bahasa atau teks bagi mempromosi produk jualan atau perniagaan. Kebiasaannya teks yang digunakan bersifat retorik dan bertujuan menarik masyarakat umum untuk mendapatkan produk perniagaan yang telah disediakan. Dalam konteks ini, bahasa lain selain bahasa Melayu digunakan bertujuan untuk mempromosikan produk dan perniagaan mereka. Namun demikian, papan iklan tersebut perlulah mematuhi prosedur tertentu sebagaimana yang telah dispesifikasikan oleh pihak berwajib yang menetapkan agar premis perniagaan mematuhi peraturan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Bersifat Mandiri

Penulis berpandangan bahawa bahasa Melayu pada papan tanda perlu bersifat mandiri dan tiada kemestian diterjemahkan ke dalam bahasa asing. Manakala kewajaran istilah bahasa Melayu yang disertakan dengan simbol atau grafik lebih praktikal untuk membantu menjelaskan makna mesej yang mahu disampaikan kepada masyarakat umum.  Menerusi strategi tersebut, papan tanda yang berbahasa Melayu dapat mengukuhkan identiti bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi dan lambang perpaduan negara.  Justeru, penggunaan bahasa Melayu pada papan tanda dapat mengukuhkan identiti bahasa kebangsaan, lambang perpaduan negara dan menggalakkan penggunaan bahasa Melayu secara meluas dalam kalangan rakyat dan warga asing.

Oleh hal yang demikian, keutamaan penggunaan bahasa Melayu pada papan tanda dan papan iklan perlu dipatuhi dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu pada peringkat lokal dan antarabangsa. Menurut Awang Sariyan pada 19 Mac 2022 menerusi bicara bahasa bertajuk “Sokongan Pindaan Akta DBP – Pengerusi Lembaga Pengelola DBP” menyatakan bahawa terdapat tiga perkara utama dalam pindaan Akta DBP. Antaranya termasuklah pemberian kuasa penguatkuasaan penggunaan bahasa Melayu dalam sektor yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan, khasnya Perkara 152 (6) yang memperuntukkan penggunaan bahasa Melayu dalam pentadbiran kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam.

Mempromosi bahasa Melayu dalam sektor pelancongan

Intihanya, sama ada papan tanda atau papan iklan, keutamaan penggunaan bahasa Melayu dalam kedua-dua alat komunikasi visual tersebut tentunya dapat memberikan kemudahan awam di samping membantu mempromosikan bahasa Melayu dalam sektor pelancongan negara. Dampaknya, penggunaan bahasa Melayu secara mandiri di papan tanda dan keutamaan penggunaan bahasa Melayu pada papan iklan tidak menimbulkan kekangan kepada mereka yang tidak menguasai bahasa Melayu.

Pelbagai kemudahan teknologi dapat berperanan dalam membantu para pelancong memahami makna mesej yang ingin disampaikan. Antaranya, langkah strategik pihak DBP yang telah membangunkan Kamus Dewan Edisi Digital dan PRPM (Pusat Rujukan Persuratan Melayu) dapat memudahkan pencarian makna perkataan, mengenal pasti variasi makna, sinonim, antonim dan frasa. Oleh hal yang demikian, pendedahan serta khidmat nasihat dan rujukan secara digital dapat memberikan pendedahan tentang konteks penggunaan istilah tertentu termasuklah asal usul perkataan bahasa Melayu.

Sehubungan dengan itu, warga asing yang tidak jelas dengan mesej yang disalurkan menerusi papan tanda dan papan iklan akan terpanggil untuk mempelajari bahasa Melayu menerusi alat terjemahan yang tepat.  Contohnya, aplikasi mudah alih secara lintas bahasa seperti “Kamus Dewan Digital” dapat membantu pencarian makna yang tepat.   Berdasarkan Akta DBP 1959 (Semakan 1978), pihak DBP telah sedaya upaya memenuhi matlamat menerusi pelaksanaan pelbagai aktiviti yang dianjurkan secara kontribusi serta signifikan dengan pelbagai institusi, individu dan masyarakat untuk mempertahankan, membina dan mengembangkan bahasa Melayu.  Pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh DBP ini persis kata peribahasa Melayu, “Genggam bara api, biar sampai jadi arang”.

Tuntasnya, penggunaan bahasa Melayu pada papan tanda dan papan iklan mengikut spesifikasi yang telah ditentukan oleh pihak berwajib bukan hanya mampu memartabatkan bahasa Melayu, malah menyebarluaskan bahasa Melayu kepada mereka yang tidak menguasai bahasa Melayu.  Sementelahan, dengan hanya “di hujung jari”, pengguna dapat mempelajari lebih banyak kosa kata dan memperbaik penggunaan tatabahasa.  Sementara itu, keutamaan penggunaan bahasa Melayu pada papan tanda dan papan iklan menunjukkan rasa hormat segenap lapisan masyarakat terhadap budaya dan bahasa tempatan yang sewajarnya dijulang secara berterusan, persis “di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung”.

Profesor Madya Dr. Roslina binti Abu Bakar ialah Pensyarah di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia.  

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.