3 Disember 2024, 21:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memberikan respons terhadap kritikan yang terkandung dalam artikel yang diterbitkan dalam Utusan Malaysia bertajuk “DBP Ketinggalan Huraian Asal Usul Perkataan Bahasa Melayu”.

DBP menegaskan bahawa perbezaan pandangan dalam perbincangan akademik merupakan perkara biasa, dan organisasi tersebut menghargai pandangan yang diberikan tentang usaha DBP dalam memajukan kajian etimologi bahasa Melayu. Demikian yang dinyatakan dalam kenyataan media DBP hari ini.

Dalam kenyataan tersebut, DBP turut mengumumkan tentang penerbitan Kamus Etimologi Bahasa Melayu Dewan (KEBMD, 2024). KEBMD merupakan sebuah kamus khusus dalam bidang etimologi bahasa Melayu.

Kamus ini merupakan kamus janaan daripada Kamus Dewan Perdana (KDP, 2020), dengan lebih 7000 kata yang disertakan dengan maklumat etimologi, termasuklah kata-kata penting seperti “bahasa” dan “bangsa”. Kamus janaan bermaksud kamus yang kata masukan serta maklumatnya diperoleh daripada kamus sumber, diolah atau disesuaikan mengikut keperluan pengguna sasaran. Namun begitu, oleh sebab keterbatasan ruang, hanya sekitar 3000 kata terpilih yang dimasukkan dalam KEBMD edisi pertama ini.

DBP menyangkal dakwaan penulis artikel tersebut yang mendakwa bahawa DBP kurang beriltizam dalam kajian etimologi kosa kata Melayu kerana sesungguhnya penerbitan KDP dan KEBMD menunjukkan komitmen DBP. Terkini, usaha penyediaan maklumat etimologi sedang giat dilakukan untuk kamus edisi seterusnya dan beberapa acara seperti Kolokium Perkamusan turut diadakan.

Dalam kenyataan media itu juga, sidang editor KEBMD berpandangan bahawa etimologi memerlukan sumber yang lebih sahih dan lengkap. Perkara ini jelas memperlihatkan perbezaan pendapat penulis artikel tersebut yang telah membandingkan KEBMD dengan kamus susunan Chong Mun Wah dan karya YBrs. Dr. S. Nathesan yang dianggap lebih terperinci. 

Tegas DBP,

Meskipun terdapat beberapa pihak berpendapat bahawa kajian etimologi dalam KEBMD kurang terperinci berbanding dengan karya lain, KEBMD telah mengintegrasikan penemuan kajian terkini dan memaparkan asal usul kata dengan lebih sahih, berdasarkan sumber yang autentik.

Usaha ini diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya maklumat bahasa, khususnya yang berkaitan dengan asal usul kata atau bidang ilmu etimologi ini. DBP juga berpendirian sentiasa terbuka dengan pandangan penulis tetapi menyeru agar kritikan lebih adil dan seimbang dalam usaha pembinaan dan pengembangan bahasa kebangsaan. Bahasa Melayu merupakan bahasa milik bersama dan usaha memartabatkannya memerlukan tekad, masa, dana dan sinergi daripada semua pihak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.