Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kumpulan Pantun Universiti Malaya (KUNTUM) di bawah kelolaan Sri Genta Malaya dari Universiti Malaya dinobatkan sebagai juara Sayembara Pantun Canang Seni Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 pada 30 November 2024 yang lalu di Rumah PENA.
Sayembara tersebut merupakan anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Kolej Za’ba Universiti Pendidikan Sultan Idris dengan kerjasama Rimau Rights.
KUNTUM menggandingkan dua barisan jurulatih utama pemantun UM, iaitu Encik Muaz Abdul Samad dari Fakulti Pendidikan dan Encik Aeiman Haikal Shamshir dari Fakulti Sastera dan Sains Sosial.
Encik Muaz Abdul Samad yang sebelum ini bergiat aktif dalam melatih pemantun sekolah rendah, melakukan kemunculan kembali sebagai pemantun selepas meraih gelaran Pemantun Terbaik Temasya Pantun Kesedaran Kesejahteraan Mental 2023 yang diadakan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada tahun lalu.
Keunikan yang dibawa oleh pasukan pantun Meraga Sukma yang mewakili UIAM, pasukan pantun KUNTUM yang mewakili UM dan pasukan pantun Raksa Sakti yang mewakili Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam mengetengahkan budaya dan loghat negeri yang unik telah menambat hati juri sekali gus melayakkan diri ke peringkat akhir.
Pemantun dari pasukan Meraga Sukma bukanlah calang-calang pemantun, gandingan mantap Johan Pantun Lakon DBP x BSN, iaitu Encik Muhammad Syafeq Zainal Amin dan jurulatih UIAM sendiri, iaitu Encik Abd Razzuwan Awang Samsudin telah memberikan saingan yang cukup hebat kepada finalis yang lain.
Barisan pemantun veteran yang memeriahkan sayembara kali ini membuktikan bahawa umur bukanlah penghalang dalam memberikan saingan hebat kepada bakat-bakat muda lain yang turut bertanding.
KUNTUM membawa pulang hadiah wang tunai RM700 dan sagu hati berupa buku karya Sasterawan Negara yang disumbangkan oleh PENA.
Anugerah Pemantun Terbaik pula disandang oleh Encik Aeiman Haikal, manakala tempat kedua sayembara tersebut dimenangi oleh pasukan Meraga Sukma yang mewakili UIAM, dan tempat ketiga dimenangi oleh Raksa Sakti yang mewakili UPSI.
Pertandingan tersebut dinilai oleh juri berpengalaman, iaitu Encik Syamputra Razali dan Encik Wan Yusoff, bersama-sama juri jemputan dari Indonesia, Encik Rendra Setyadiharja.
Sesi penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Puan Roziah Md Yunus (Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, DBP) diiringi oleh Encik Yusop Ahmad (Pengetua Kolej Zaba UPSI), YBrs. Dr Saleeh Rahamad (Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia PENA) dan Dr. Norzuraina Mohd Nor (Pengarah Program Canang Seni UNESCO-Santun-Pena).