8 Disember 2024, 15:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Presiden Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM), YBrs. Dr. Hasuria Che Omar menyeru graduan penterjemahan untuk terus beradaptasi dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk memperkasakan kerjaya mereka.

Dalam ucapan alu-aluan sempena Majlis Penyampaian Diploma Penterjemahan Profesional petang semalam, beliau menekankan pentingnya tekad dan ketekunan graduan untuk mengikuti kursus berkaitan dengan teknologi bagi meningkatkan kemahiran dalam bidang AI.

YBrs. Dr. Hasuria turut mengulas cabaran yang dihadapi oleh penterjemah muda, termasuklah penurunan permintaan untuk tugas penterjemahan.

Namun begitu, beliau menegaskan peluang masih luas jika graduan bijak memanfaatkan teknologi sedia ada.

Tambahnya, “Walaupun tidak melakukan kerja penterjemahan, graduan masih lagi mempunyai peluang untuk berkerjaya dalam bidang yang serupa seperti menjadi penyunting, bekerja dalam lapangan terjemahan berkomputer dan memberi servis pascasunting.”

“Selain itu, graduan juga boleh menjadi sebahagian daripada penyumbang data yang diinges kepada AI,” jelas beliau.

Beliau turut menarik perhatian kepada trend terkini dalam industri, yang memperlihatkan penterjemahan kini tidak lagi terhad dalam lingkungan bahasa antarabangsa kepada bahasa kebangsaan.

Sebaliknya, permintaan untuk menterjemah kepada bahasa sukuan dan dialek tempatan semakin meningkat.

Beliau menjelaskan, “Lulusan pada kali ini perlu melihat peluang perkhidmatan secara lebih luas dan tidak mengehadkan diri hanya kepada peluang penterjemahan bahasa Melayu-bahasa Inggeris atau bahasa Melayu-bahasa antarabangsa.”

“Kerencaman bahasa sukuan boleh dijadikan input bernilai dalam model bahasa besar (large language model, LLM),” ujar beliau.

Dalam majlis tersebut, sebanyak 56 orang graduan berjaya menerima Diploma Penterjemahan Profesional hasil kerjasama antara PPM dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada sesi penyampaian diploma bagi Modul Komunikasi 2/2023 dan 3/2023, serta Modul Komunikasi 1/2024.

Sesi penyampaian diploma tersebut memperlihatkan kejayaan 34 orang penerima daripada Sesi Biasa Modul Komunikasi 2/2023, 22 penerima daripada Sesi Biasa Modul Komunikasi 3/2023 dan 34 orang penerima bagi Sesi Biasa Modul Komunikasi 1/2024.

Sebagai rekod, Kursus Diploma Penterjemahan Profesional PPM-DBP ini merupakan inisiatif utama PPM sejak dimulakan pada tahun 1983.

Kursus tersebut dirancang untuk memastikan penterjemah negara memiliki latihan profesional dalam usaha menghasilkan karya terjemahan ilmiah berkualiti, terutamanya untuk memenuhi keperluan negara.

Sukatan kursus ini diadaptasikan daripada diploma pascaijazah penterjemahan Universiti Malaya dan dilancarkan oleh YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Asmah Hj. Omar.

Antara objektif kursus ini termasuklah untuk meningkatkan kemahiran, kecekapan dan keyakinan graduan dalam bidang penterjemahan.

Graduan dilatih untuk menghasilkan terjemahan berkualiti tinggi berdasarkan standard antarabangsa dan menjadi penterjemah profesional yang berwibawa.

Para peserta kursus dibimbing oleh tenaga pengajar yang terdiri daripada pensyarah pakar dari universiti tempatan, editor kanan dan pegawai perancang bahasa DBP.

Sejak diperkenalkan, kursus ini telah melatih sebanyak 4000 orang peserta.

Kredit Foto: Arina Musthafa
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.