Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Peristilahan dan Leksikologi telah menganjurkan Wacana Kecerdasan Buatan Bahasa Melayu bertemakan Bahasa dan Teknologi: Integrasi Kecerdasan Buatan dalam Memodenkan Perkhidmatan Bahasa Melayu di Dewan Seminar Dato’ Hassan Ahmad, Menara DBP.
Wacana ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman tentang teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi. Wacana ini turut menyediakan platform untuk ahli akademik, pemain industri dan pegawai sektor awam untuk berkongsi idea dan cadangan bagi memanfaatkan AI dalam memperkasakan perkhidmatan DBP, selain merangka strategi pelaksanaan projek AI yang menyokong usaha pemodenan bahasa.
Penyelidik Pusat Teknologi Kecerdasan Buatan (CAIT), Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), YBhg. Profesor Dr. Shahrul Azman Mohd Noah membuka wacana dengan pembentangan bertajuk “Masa Depan Teknologi Pemprosesan Bahasa Tabii (NLP) Bahasa Melayu”. Beliau mengulas keadaan semasa teknologi NLP untuk bahasa Melayu yang masih terbatas, walaupun potensinya amat besar.
“Banyak projek NLP untuk bahasa Melayu tidak melangkaui peringkat penyelidikan,” jelas beliau. Kekurangan set data yang berkualiti tinggi menjadi cabaran utama yang perlu diatasi untuk memastikan NLP yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penyampaian maklumat dapat dimanfaatkan secara meluas.
Beliau turut menekankan perlunya pembangunan model bahasa besar (large language model, LLM) seperti GPT atau BERT yang dioptimumkan untuk bahasa Melayu. Model ini menurut beliau, berpotensi meningkatkan pemahaman konteks, semantik, nuansa, nada, tatabahasa dan kosa kata unik yang terdapat dalam bahasa Melayu serta cabang dialeknya.
Selain itu, NLP dapat dimanfaatkan dalam pelbagai teknologi termasuklah sistem pengenalan suara, terjemahan automatik berkualiti tinggi dan analisis sentimen pada data sosial. Teknologi ini juga boleh digunakan untuk mendokumentasikan dialek atau variasi bahasa Melayu, sekali gus membantu usaha pemuliharaan bahasa.
“LLM menunjukkan kemampuan tinggi untuk melaksanakan pelbagai tugasan NLP dengan pendekatan pembelajaran tanpa-selia atau melalui penalaan halus (fine-tuning),” tambah YBhg. Profesor Dr. Shahrul Azman.
Setiausaha Bahagian Inkubator Digital Kementerian Digital, YBrs. Ts. Dr. Mohamed Hairul Othman, dalam pembentangannya bertajuk “Mengarusperdanakan Bahasa Melayu dalam Era Digital melalui Teknologi Kecerdasan Buatan”, menggariskan kaedah AI dapat membantu DBP merealisasikan visi dan misinya.
“Teknologi AI mampu meningkatkan mutu perkhidmatan DBP, sekali gus memberikan manfaat besar kepada rakyat,” ujar beliau.
Beliau menyebut AI generatif (Gen AI) sebagai alat penting yang dapat membantu organisasi seperti DBP dalam menghasilkan kerja berkualiti, membuat ramalan dan menyokong pakar-pakar bahasa dalam proses membuat keputusan. Untuk merealisasikan aspirasi ini, sebuah ekosistem AI yang kukuh amat diperlukan.
Ekosistem tersebut, menurut YBrs. Dr. Mohamed Hairul, perlu merangkumi tiga aspek utama, iaitu polisi yang mapan bagi memastikan AI digunakan secara beretika dan bertanggungjawab; sumber manusia yang berkemahiran tinggi untuk membangun dan menyelenggara perkhidmatan AI; teknologi dan data yang merangkumi model dan algoritma AI yang kompleks serta set data yang besar untuk meningkatkan keupayaan teknologi.
Beliau turut mencadangkan pembangunan Model Bahasa Besar Kebangsaan (NLLM) sebagai langkah strategik untuk mengarusperdanakan bahasa Melayu pada arena digital.
Pembentang terakhir, iaitu pengurus besar Pusat Kecemerlangan Kecerdasan Buatan Telekom Malaysia Berhad, YBrs. Encik Muhammad Qusairy Mohamad, menyampaikan pembentangan bertajuk “Membina Ekosistem Teknologi Bahasa Melayu melalui Kolaborasi Industri”.
Beliau menjelaskan konsep kedaulatan AI, iaitu keupayaan sesebuah negara untuk membangun dan mengurus AI menggunakan infrastruktur, data, tenaga kerja dan rangkaian perniagaan tempatan.
“DBP memainkan peranan penting sebagai penyedia data paling tepat dan sahih untuk bahasa Melayu,” ujar YBrs. Encik Muhammad Qusairy. Namun begitu, beliau turut menggariskan cabaran yang perlu diatasi termasuk proses digitalisasi data yang kebanyakannya masih dalam bentuk fizikal dan perlunya peningkatan keupayaan teknikal dalam pembangunan AI.
Beliau menekankan bahawa kerjasama antara industri, kerajaan dan komuniti teknologi amat penting untuk membina ekosistem AI yang mampan.
“Melalui perkongsian data, pemindahan teknologi dan inovasi bersama, sektor industri dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan aplikasi AI seperti sistem pengecaman suara, penterjemah automatik dan pembantu maya yang lebih canggih dalam bahasa Melayu,” tambah beliau.
Wacana ini menggariskan visi besar DBP untuk memastikan bahasa Melayu kekal relevan dalam era digital. Dengan pendekatan holistik, termasuk kerjasama strategik antara agensi kerajaan, industri dan akademik, aspirasi menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa digital unggul dapat direalisasikan.
Program sehari ini turut menarik kehadiran pelbagai pihak, termasuk ahli akademik, pegawai sektor awam, dan pemain industri, yang komited terhadap usaha pemodenan bahasa Melayu melalui teknologi AI.