12 Disember 2024, 09:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pattani − Program pertukaran ilmu bahasa Melayu melalui mobiliti pelajar antara mahasiswa Akademi Pengajian Melayu (APM) Universiti Malaya, Malaysia dengan mahasiswa Program Bahasa Melayu dan Pengajian Melayu, Fakulti Kemanusiaan dan Sains Sosial (HUSO) Universiti Prince of Songkla, Kampus Pattani, Thailand telah membuka ruang dan pengalaman kepada pelajar dari dua negara itu untuk menghayati, menimba ilmu bahasa dan nilai budaya Melayu di Pattani, Thailand.

Program ini dijalankan pada 9 hingga 11 Disember 2024 dengan pengisian forum antarabangsa oleh wakil pelajar dari APM dan HUSO yang bertajuk “Bahasa Melayu sebagai Bahasa Dunia: Melakar Peluang, Menangani Cabaran”.

Menurut YBrs. Dr. Azimah Mohd. Bukhari selaku pembimbing pelajar APM, program pertukaran ini dapat mendedahkan pelajar terhadap proses pembelajaran di luar bilik kuliah, didedahkan dengan bahasa, cara hidup dan nilai budaya masyarakat di Thailand serta membolehkan pelajar berhubung dengan masyarakat global di luar sana.

Program ini juga memberikan tumpuan terhadap lawatan amal bagi meningkatkan nilai kemanusiaan dalam diri pelajar kedua-dua institusi tersebut.

Usaha ini disokong sepenuhnya oleh Penolong Dekan Bahagian Perkhidmatan Akademik HUSO, YBrs. Prof. Madya Abdulkhalid Arrahimi dan wakil Ketua Program Bahasa Melayu dan Pengajian Melayu HUSO, YBrs. Dr. Aminoh Jehwae dan YBrs. Prof. Madya Dr. Ruslan Uthai yang memuji dan berharap agar program ini dapat memberikan manfaat kepada pelajar dari kedua-dua universiti tersebut.

Selain itu, program ini juga memberikan peluang kepada pelajar untuk turun ke lapangan bagi menikmati suasana masyarakat di sekitar Pattani khususnya di kawasan Daerah Yaring, disebabkan daerah tersebut memiliki banyak tempat yang bersejarah termasuklah masjid Kerisek dan Surau Aho.

Sesi lawatan ke tempat bersejarah di Pattani, iaitu Masjid Kerisek.

 

Pelajar mendengar penjelasan yang diberikan oleh pengukir kayu di kampung Barahom, Daerah Yaring, Pattani, Thailand.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.