13 Disember 2024, 17:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ipoh–“Kerangka Standard Bahasa Melayu (KSBM) merupakan kayu ukur untuk memperlihatkan tahap bahasa Melayu kepada penutur natif dan bukan natif. Hal ini dikatakan demikian kerana kumpulan ini mampu mencapai tahap yang sama walaupun terdapat perbezaan kaedah pembelajaran. Terdapat lima tahap ukuran iaitu sangat terbatas, terbatas, memadai, memuaskan, cekap dan sangat cekap.”

Demikian menurut Tuan Haji Khairulanuar Ismail, iaitu ahli panel tetap Jawatankuasa Penarafan Kerangka Standard Bahasa Melayu (JPKSBM) yang juga merupakan pensyarah di Institut Perguruan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Ipoh ketika berkongsi ilmu tentang KSBM.

Menurutnya lagi, kajian dalam bentuk jurnal dan artikel tentang KSBM akan diterbitkan untuk memperkaya bahan rujukan dalam bidang ini, memandangkan kajian tersebut ditulis oleh pakar yang berpengalaman dalam bidang KSBM. Bukan itu sahaja, KSBM juga sudah mula diterima oleh Bahagian Kurikulum sebagai rujukan bagi tahun 2027 akan datang.

Peserta yang mengikuti sesi perkongsian tentang KSBM.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Akademi DBP (ADBP) telah melaksanakan Wacana Profesional Kerangka Standard Bahasa Melayu Siri 3/2024 di Dewan Seri Melati, IPG Kampus Ipoh. Sebanyak 120 orang pelajar dan pensyarah IPG Kampus Ipoh telah menyertai Wacana Profesional KSBM ini.

Objektif wacana ini diadakan adalah untuk memberikan ilmu pengetahuan dan kefahaman terhadap khalayak tentang KSBM. Antaranya termasuklah mendedahkan kepada masyarakat tentang kepentingan KSBM sebagai rujukan dalam pembinaan, penilaian dan penguasaan bahasa Melayu. Malah, wacana seperti ini mampu membuktikan kepada masyarakat bahawa KSBM merupakan satu daripada ukuran yang mampu memperkukuh kedudukan bahasa Melayu.

Selain itu, wacana profesional ini juga menampilkan YBrs. Dr. Mohd. Hafiz Mohamad Tarmizi, iaitu pensyarah IPGM Kampus Ipoh sebagai moderator yang mengendalikan wacana ini.

Sesi bergambar bersama-sama pensyarah dan pelajar IPGM Kampus Ipoh dalam Wacana Profesional KSBM.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.