Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangRanau – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah dengan kerjasama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Timbua telah melaksanakan program Bersahabat dengan Kamus, Taklimat Tunjuk Cara dan Perolehan Bahan WadahDBP, dan Taklimat Rakan Muda DBP di SMK Timbua Ranau.
Program ini diadakan bertujuan untuk memperkenalkan Kamus Dewan Perdana kepada murid; menyebarluaskan maklumat tentang portal WadahDBP sebagai ruang untuk penulis muda menghantar karya; menggalakkan peningkatan keintelektualan individu; dan meningkat minat membaca dalam kalangan murid.
Selain itu, SMK Timbua turut mengadakan program PINTOD Bahasa yang bermaksud Lonjakan Bahasa, iaitu sebuah program yang dilaksanakan bertujuan untuk mencungkil dan mengasah bakat penulisan dalam kalangan murid tingkatan satu hingga tingkatan empat.
Program pada hari tersebut dimulai dengan pelaksanaan Bengkel Penulisan Kreatif yang dikendalikan oleh Pengetua SMK Timbua dengan memberikan pendedahan asas tentang teknik menulis cerpen dan sajak kepada 610 orang murid. Program diteruskan dengan sesi Taklimat Rakan Muda DBP yang dikendalikan oleh Perancang Bahasa, Puan Fenny Liging dan Taklimat Tunjuk Cara dan Perolehan Bahan WadahDBP yang disampaikan oleh Penolong Pengarah DBP Cawangan Sabah, Puan Noorzanani Haji Kata kepada 50 orang murid yang terpilih.
Selanjutnya, aktiviti Bersahabat dengan Kamus dengan memperkenalkan Kamus Dewan Perdana melalui beberapa aktiviti permainan bahasa kepada murid telah dikendalikan oleh Perancang Bahasa, Puan Rahimah Jais dan Penolong Perancang Bahasa, Encik Rayner J. Francis.
Dalam ucapan penutupan, Pengetua SMK Timbua, YBrs. Dr. Marcus Shapi menyampaikan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada pihak DBP Cawangan Sabah atas pelaksanaan program tersebut.
Beliau turut menyatakan rasa bertuah kerana inilah julung-julung kalinya pihak DBP Cawangan Sabah melaksanakan program kerjasama dengan SMK Timbua dan berharap kerjasama erat sedemikian dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.