29 Disember 2024, 16:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Lim San Shien, seorang daripada enam Ikon Bahasa 2024, mendedahkan bahawa minatnya terhadap bahasa Melayu telah bermula sejak kecil. Menurut beliau, ibunya yang merupakan seorang guru sekolah menjadi pendorong utama dalam menyemai kecintaannya terhadap bahasa kebangsaan itu.

Dalam sesi temu bual bersama-sama RTM pagi tadi, Lim San Shien berkongsi perjalanan hidupnya yang mencerminkan dedikasi dan kecintaan yang mendalam terhadap bahasa Melayu sejak kecil.

“Saya mempunyai minat yang mendalam (terhadap bahasa Melayu) sejak dibangku sekolah rendah lagi, apabila saya menyertai pertandingan kuiz Bahasa Melayu dan telah dinobatkan sebagai pemenang pertandingan tersebut pada peringkat daerah Johor Bahru,” ujarnya, mengimbas kembali kenangan manisnya.

Lim San Shien turut mengakui pengaruh besar ibunya sebagai seorang guru yang menggunakan pendekatan interaktif dan mesra untuk mendidiknya. Melalui aktiviti seperti bercerita, menulis diari dan merakam nota harian dalam bahasa Melayu, minatnya terhadap bahasa itu semakin mendalam.

“Ibu saya sentiasa mengingatkan saya bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi negara dan bahasa kebangsaan. Justeru, sebagai warganegara Malaysia, (menguasai bahasa Melayu) merupakan tanggungjawab dan amanah yang harus dipikul dengan baik dan bijak supaya kita dapat bertutur dan berkomunikasi dengan baik,” ujarnya penuh keyakinan.

Lim San Shien menekankan betapa pentingnya penguasaan bahasa Melayu dalam menyatupadukan rakyat Malaysia. Menurut beliau, bahasa ini bukan sahaja memudahkan komunikasi, tetapi juga berperanan sebagai alat perpaduan yang menyatukan pelbagai kaum.

“Rakyat Malaysia perlu terima hakikat bahawa di bawah Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, bahasa Melayu telah diangkat sebagai bahasa kebangsaan. Oleh itu, sebagai belia, kita sepatutnya menjadi peneraju dalam menggunakan bahasa yang betul dan tepat,” tegasnya.

Kepada Lim San Shien dan lima ikon lain, gelaran Ikon Bahasa dianggap sebagai amanah yang perlu dipikul bagi mempromosikan bahasa Melayu melalui platform media sosial dengan pendekatan yang kreatif. Usaha ini menurutnya, adalah sebahagian daripada komitmen menyeluruh kerajaan dan masyarakat.

Lim San Shien turut menyokong pandangan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Hazami Jahari bahawa bahasa Melayu tidak wajar dianggap sebagai bahasa kedua. Sebaliknya, bahasa ini harus dipandang sebagai cerminan intelektual dan kekuatan tamadun negara.

“Bahasa merupakan cerminan tahap intelektual dan kekuatan ketamadunan sesebuah negara. Kalau bahasa itu berkembang dengan baik, seiring dengan ekonomi, sudah tentu negara kita akan dihormati, dan sekali gus bahasa serta budaya akan turut disanjungi,” katanya mengakhiri perbualan.

Gelaran Ikon Bahasa baginya bukan sekadar penghormatan, tetapi juga satu tanggungjawab besar untuk terus memperjuangkan bahasa kebangsaan.

Penganugerahan Ikon Bahasa dalam Majlis Apresiasi Anugerah Citra DBP.

Sebagai rekod, Ikon Bahasa merupakan pengiktirafan yang diberikan melalui DBP kepada individu dalam pelbagai bidang yang telah menunjukkan rasa cinta, semangat dan ketekalan yang berterusan dalam memartabatkan serta menggunakan bahasa Melayu yang baik dan betul. 

Pengiktirafan ini bertujuan untuk mengangkat peranan individu dalam menyemarakkan penggunaan bahasa Melayu di pelbagai peringkat dan bidang.

Pengiktirafan Ikon Bahasa ini juga mempunyai beberapa objektif utama. Antaranya termasuklah memberikan penghargaan kepada individu yang komited dalam memperjuangkan bahasa Melayu; menggalakkan keterlibatan individu berpengaruh dalam penggunaan bahasa Melayu sama ada melalui penulisan atau lisan; serta menarik minat masyarakat untuk mendekati bidang bahasa dan persuratan Melayu melalui pelbagai platform.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.