3 Januari 2025, 12:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Hazami Jahari yakin bahawa DBP akan meningkatkan kecemerlangan pada tahun 2025, setelah menyaksikan prestasi cemerlang agensi tersebut pada tahun lalu.

Beliau berucap sebelum Majlis Amanat Tahun Baharu Yang Amat Berhormat Perdana Menteri disambung siar dari Putrajaya ke Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, pagi tadi. 

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahani berkata kecemerlangan DBP tahun lalu menjadi penanda aras kepada prestasi DBP tahun ini.

“Balai Budaya Tun Syed Nasir ini telah menjadi saksi kepada pelbagai acara besar yang melibatkan pelbagai tokoh di negara ini.

“Jika diimbau semula, Balai ini telah menyambut kedatangan Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail; Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, TYT Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar,” ujar beliau.

“Selain itu, Auditorium DBP turut dikunjungi dan didatangi oleh pihak kenamaan utama negara,” katanya.

Kunjungan ini membuktikan bahawa citra DBP sebagai pusat bahasa, sastera, kesenian dan kebudayaan serta tonggak kepada tamadun negara kembali bersinar.

“Setidak-tidaknya, DBP menerusi program pada tahun lalu telah memberikan impak yang besar terhadap perkembangan bahasa dan sastera,” tambah beliau sebelum memberikan laluan kepada siaran langsung ucapan YAB Perdana Menteri.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), YBrs. Tuan Haji Md Johari Hasan; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), YBrs. Encik Zulfa Hamzah; Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa; Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed; Pengarah Pembinaan Bahasa dan Sastera, YBrs. Dr. Rusmadi Baharudin; Pengarah Jabatan Penerbitan, YBrs. Encik M Azahari Edin; Pengarah Cawangan dan Wilayah; Ketua Bahagian; Ketua Editor; Ketua Unit dan karyawan DBP.

Penyiaran Majlis Amanat Tahun Baharu Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang disaksikan oleh semua karyawan DBP tersebut merupakan anjuran Pejabat Ketua Pengarah DBP dan Bahagian Komunikasi Korporat DBP bersempena dengan perjumpaan YAB Perdana Menteri bersama-sama warga Jabatan Perdana Menteri bagi bulan Januari 2025. 

Kredit Foto: Adib Zulkifli
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.