Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur − Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi Bahagian Ensiklopedia telah menganjurkan Permainan Bahasa: Kenali Ensiklopedia bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Program yang berbentuk didik hibur ini bertujuan untuk memperkenalkan pelbagai ensiklopedia terbitan DBP kepada masyarakat serta menggalakkan kemahiran mencari, menilai dan menggunakan maklumat daripada sumber rujukan yang berwibawa sekali gus memberikan peluang kepada peserta untuk mengenali fungsi ensiklopedia sebagai sumber ilmu yang menghimpunkan pelbagai maklumat dalam pelbagai bidang secara sistematik dan menyeluruh.
Menurut Ketua Bahagian Ensiklopedia DBP, Encik Shah Rizal Azwan Ghazali, penganjuran aktiviti berasaskan permainan bahasa secara interaktif ini dapat meningkatkan minat masyarakat, khususnya generasi muda untuk meneroka bahan rujukan ilmiah seperti ensiklopedia.
Tambahnya, melalui pendekatan ini, peserta didedahkan dengan kaedah mendapatkan maklumat dengan tepat menggunakan sumber rujukan yang berkualiti seperti ensiklopedia ini.
“Kandungan entri ensiklopedia terbitan DBP yang disusun mengikut turutan abjad memudahkan pembaca mencari maklumat yang diperlukan”, ujar beliau lagi.

Antara ensiklopedia yang digunakan dalam program ini termasuklah Ensiklopedia Sastera Melayu, Ensiklopedia Ikan Air Tawar, Ensiklopedia Ikan Air Laut, Ensiklopedia Serangga, Ensiklopedia Penyakit Berjangkit, Ensiklopedia Pari dan Ensiklopedia Sains Nuklear.
Kepelbagaian bidang yang diketengahkan menerusi bahan rujukan tersebut membolehkan peserta meneroka ilmu pengetahuan yang luas serta memahami kepentingan merujuk sumber yang tepat dalam proses pembelajaran.
Program ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengunjung PBAKL 2026 dan berjaya menarik minat peserta dari pelbagai peringkat usia untuk mengenali serta memanfaatkan ensiklopedia sebagai sumber rujukan yang penting dalam pembelajaran dan pencarian ilmu.

Penganjuran program kebahasaan ini berjaya mencapai objektifnya bagi memperkenalkan pelbagai ensiklopedia terbitan DBP kepada masyarakat. Program ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran tentang kewujudan dan kepentingan ensiklopedia sebagai sumber rujukan yang sahih, malah turut menggalakkan budaya membaca, meneroka ilmu dan membuat rujukan berdasarkan sumber yang berautoriti.
Inisiatif seperti ini diharapkan dapat memperluas penggunaan ensiklopedia DBP dalam kalangan masyarakat serta memperkukuh peranannya sebagai gedung ilmu yang menyokong pembelajaran sepanjang hayat.