23 Mei 2022, 17:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Debat Terbuka Keluarga Malaysia yang diadakan di Aras Enam, Wisma DBP bersempena dengan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu diteruskan untuk hari kedua, bermula pada pukul 10.00 pagi hari ini. Persembahan debat ini menampilkan 10 kumpulan daripada blok kerajaan dan pembangkang yang merupakan alumni debat dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) serta pelajar sekolah terpilih dari seluruh negara.

Pendebat dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Pagoh.

 

 

 

 

 

 

Debat Terbuka Keluarga Malaysia pada pagi ini dimulakan dengan usul yang bertajuk “Demi Menjunjung Perkara 152, Mandat Penguatkuasaan Perlu Diberikan kepada DBP”. Usul ini menjadi persembahan untuk debat sesi pertama yang menampilkan pendebat daripada alumni IPT, iaitu Shahrulnizam Ahmad, Mohd Hafiz Hood dan Zaifila Farina daripada blok kerajaan; dan Azizul Hakim, Azri Zahier dan Mohamed Zulfadli selaku pembangkang; manakala tugas Yang Dipertua (YDP) digalas oleh Shameerul Samad.

Usul yang bertajuk “Semangat Kenegerian Penghalang Penyatuan Keluarga Malaysia” pula menjadi persembahan debat bagi sesi kedua dengan menyaksikan pendebat dari Sekolah Menengah Sains (SMS) Banting, iaitu Irdina Tihani, Irfan Danier dan Tengku Yasser sebagai blok kerajaan; dan Aiesya Salsabila, Ali Hydar dan Muhd Shah Iqbal daripada blok pembangkang. Sementara itu, Nur Insyirah bertindak sebagai YDP.

Kumpulan debat dari Sekolah Menengah Sains Selangor.

 

 

 

 

 

 

Kehangatan Debat Terbuka Keluarga Malaysia diteruskan dengan usul ketiga yang bertajuk “Representasi Kaum dalam Sektor Awam Mengukuhkan Keluarga Malaysia”,  yang menjadi pilihan penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Pagoh, iaitu Ummi Khalilah, Syamsul Azam dan Muhd Arif Hakimi sebagai kerajaan, manakala pelajar dari SMS Selangor, iaitu Izhar Syahmi, Izz Ziqry dan Nurkhairiah Sofea pula bertindak sebagai pembangkang, dan Nur Suraya ditampilkan sebagai YDP.

Seterusnya, usul bertajuk “Anak Muda Kita Sudah Bijak Berpolitik” menjadi usul pilihan dalam sesi perdebatan pada petang ini. Usul ini dibentangkan oleh pelajar dari Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK), iaitu Mohd Faris Fitri, Mohd Asrarudin dan Mohamad Irfan di pihak kerajaan. Sementara itu, pelajar dari Sekolah Seri Puteri (SSP), iaitu Damia Qistina, Wan Nur Ashela dan Damia Qaisara berada di pihak pembangkang. Usul ini dipengerusikan oleh Alif Najmi.

Sebagai penutupan sesi perdebatan pada petang ini, penuntut dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Universiti Malaya (UM) masing-masing bertindak sebagai blok kerajaan dan pembangkang yang membahaskan usul bertajuk “Perang Dagang: Tindakan Berkecuali Menguntungkan”. UPNM diwakili oleh Nur Insyirah, Syamir Aizuddin dan Danial Haikal, manakala UM pula diwakili oleh Nur Zannah, Ahmad Shamel dan Mohd Nadjwan, dan tugas YDP disandang oleh Akmal Hariz.

Persembahan Debat 9 dengan tajuk “Anak Muda Kita Sudah Bijak Berpolitik”.

Usul yang dibentangkan pada hari kedua Debat Terbuka Keluarga Malaysia membuktikan bahawa generasi muda mampu menyuarakan cetusan pendapat yang berkaitan dengan isu semasa yang sedang berlaku di dalam negara mahupun isu antarabangsa. Debat Terbuka Keluarga Malaysia bakal melabuhkan tirai pada 24 Mei 2022 dengan lebih banyak usul yang akan dikupas dan diperbincangkan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.