Oleh Awang Sariyan
15 Disember 2021, 10:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sebagai sambutan Minggu Akademia, Jabatan Bahasa Melayu Kulliyyah Bahasa dan Pengurusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menganjurkan forum tentang cabaran dan strategi pintar budaya dalam pendidikan bahasa Melayu pada 28 Oktober 2021. Untuk perkongsian fikiran, saya catat inti sari pandangan yang saya kemukakan dalam forum itu.

Asas paling kuat untuk melakukan peralihan paradigma dalam sistem pendidikan bagi mewujudkan pintar budaya dalam kalangan pelajar ialah keadaan yang mengekang pelaksanaannya yang berlaku sejak puluhan tahun lalu. Kekangan itu ialah persepsi bahawa kecemerlangan pelajar diukur berdasarkan prestasi dalam peperiksaan am seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) [sebelum ini Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) pun demikian].

Walaupun prestasi pelajar dalam  peperiksaan dapat menjadi salah satu petunjuk kecemerlangan, namun obsesi masyarakat, pentadbir sekolah, guru, ibu bapa dan pelajar yang agak melampau menyebabkan kecemerlangan itu dianggap sebagai ukuran yang hampir mutlak dan muktamad. Dapat kita saksikan pemimpin atau orang besar Kementerian Pendidikan Malaysia membuat pengumuman keputusan peperiksaan SPM di sekolah yang paling cemerlang pada tahun tertentu dan hal itu dengan sendirinya merupakan pengesahan tentang persepsi umum bahawa kecemerlangan dalam peperiksaan ialah penanda aras kecemerlangan pelajar dalam pendidikan.

Terus-terang saya katakan bahawa persepsi itu semu atau palsu kerana ukuran kecemerlangan lebih luas dan rencam daripada keputusan peperiksaan. Antaranya termasuklah tahap celik budaya atau pintar budaya yang dijadikan tajuk forum. Memang kian ketara wujudnya pelajar dan lepasan sekolah dan institut pendidikan tinggi yang tidak atau kurang celik budaya.

Saya menyarankan agar cita-cita untuk melahirkan pelajar yang pintar budaya diasaskan pada empat tahap atau lingkungan budaya. Pertama, tahap budaya bangsa sendiri; yang kedua, tahap budaya kelompok lain senegara; ketiga, tahap budaya supra; dan keempat, tahap budaya sejagat.

Untuk tahap dan lingkungan budaya bangsa sendiri, banyak warisan dan unsur semasa yang perlu diteguhkan penghayatannya dalam kalangan pelajar. Aspek pemikiran, sistem nilai, kesantunan bahasa, pola hubungan interpersonal, sastera dan unsur yang lain, jika diabaikan dalam pendidikan bahasa (dan mata pelajaran lain) mengakibatkan pelajar kehilangan jati diri dan tidak menjalani kehidupan berdasarkan asas-asas teras budaya bangsanya. Inilah yang menimbulkan fenomena kehilangan adab, budi bahasa, sangkaan baik, tolak ansur, kerjasama dan segala budaya positif.

Golongan inilah yang apabila memikul amanah dalam kerjaya tidak menyerapkan unsur-unsur budaya positif tetapi sebaliknya menjadi kacang yang lupakan kulit, meremehkan teras bangsa seperti bahasa dan warisan bangsa, malah terjebak dalam jenayah seperti rasuah, pecah amanah dan sampai di peringkat “menjual negara” (seperti kes penjualan kad pengenalan dan pasport kepada bukan warganegara). Pintar budaya dalam konteks ini penting juga dalam kaitannya dengan penghormatan kepada pancang-pancang kenegaraan yang dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan, terutama tentang Islam agama Persekutuan, kedudukan raja-raja, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, serta kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera, dan hak sah kaum lain.

Untuk tahap dan lingkungan kedua, diperlukan pelajar yang pintar budaya agar dapat memahami, menghormati dan menghargai budaya kaum lain yang menjadi rakan senegara. Kewujudan orang Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dusun, Orang Asli dan puluhan etnik lain sebagai warganegara memerlukan pelajar didedahkan kepada unsur budaya kaum lain untuk mewujudkan persefahaman dan perpaduan.

Keperluan itu lebih mendesak dalam keadaan sejumlah ahli politik yang berasaskan politik perkauman mencetuskan keadaan tidak menyenangkan dan menjadikan generasi muda keliru tentang erti perpaduan apabila golongan “mantan muda” bertingkah laku tidak matang dalam budaya hidup mereka. Parlimen yang disebut “dewan yang mulia”, misalnya kehilangan kemuliaannya apabila sejumlah ahli Parlimen menggunakan bahasa dan bertingkah laku tidak mulia. Perihal “ketam mengajar anaknya berjalan betul” berulang terus.

Tahap dan lingkungan ketiga pula berkaitan dengan budaya supra. Hal ini secara khusus saya pertalikan dengan budaya Melayu yang menjadi teras Dasar Kebudayaan Kebangsaan negara kita. Pelajar perlu diberi masukan bahawa budaya Melayu bersifat budaya supra, iaitu merentas sempadan geopolitik, iaitu Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura, Thailand Selatan, sebahagian Filipina, Kampuchea, Vietnam, Laos dan Wilayah di luar alam Melayu yang menampung diaspora Melayu seperti Sri Lanka, Madagaskar, Capetown dan bahkan di Eropah dan wilayah lain di dunia. Inilah maksud Melayu Mahawangsa atau Melayu bangsa besar yang sering saya kumandangkan. Sementara itu, sikap parokial atau pandangan sempit yang menimbulkan rasa perseteruan dan cemburu buta antara negara patut dihindari supaya tidak timbul isu remeh seperti perebutan asal muasal sesuatu seni budaya, makanan dan yang lain.

Akhirnya, tahap dan lingkungan keempat berkaitan dengan kepekaan kepada budaya sejagat milik pelbagai bangsa sedunia. Melalui pendidikan bahasa, perlu didedahkan hal itu untuk persefahaman manusia sejagat dan juga untuk keperluan praktis kerana dengan ledakan teknologi canggih, perhubungan kita dengan dunia luar tidak dapat dielakkan.

Secara ringkas, saya mengaitkan hal itu dengan pemenuhan tuntutan Surah al-Hujurat ayat 13, iaitu agar semua manusia pelbagai bangsa yang diciptakan Allah saling berkenalan. Selain berkenalan tentang hal luaran seperti bentuk fizikal, warna kulit, bahasa, makanan dan busana yang lebih penting ialah mengenal pasti kekuatan dan kelebihan bangsa lain untuk kita manfaatkan bagi meningkatkan tamadun gangsa dan negara kita. Itulah asas pintar budaya untuk peringkat budaya sejagat.

Diharapkan dengan perkongsian fikiran di atas, dapat digerakkan peralihan paradigma pendidikan kita yang lebih peka budaya, peka masyarakat, dan peka akan keseluruhan fenomena semasa untuk akan datang yang lebih baik.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.