Diterbitkan pada 2 Mei 2026, 12:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Keupayaan bahasa Melayu dalam wacana intelek yang tinggi memang tidak dapat disangkal. Namun begitu, sejak akhir-akhir ini, keupayaan penulisan panjang pengguna bahasa Melayu makin menunjukkan tanda kemerosotan, khususnya dalam kalangan pelajar sekolah menengah dan mahasiswa. Penulisan panjang bukan sekadar tentang jumlah kata yang banyak, tetapi juga cara olahan dalam penulisan yang menggambarkan ketajaman minda, keupayaan berfikir dan kemahiran berbahasa dengan cara yang holistik.

Penulis yang baik haruslah mengekalkan keupayaan untuk menggunakan bahasa Melayu untuk menjana idea berlapis dan menghuraikan hujah secara terperinci. Walaupun kecerdasan buatan (AI) mampu menjamin ketepatan tatabahasa dan ejaan dengan sekelip mata, keupayaan kognitif penulis untuk menggarap hujah yang kompleks dan mempertimbangkan hasilan carian sangat teruji. Lebih membimbangkan, kemudahan teknologi perlahan-lahan menyebabkan kemampuan penghasilan karya panjang makin merosot. Penulis yang terlalu bergantung pada hasil carian AI tidak begitu mengasah ketajaman analisis kritisnya.

Banyak orang beranggapan bahawa penulisan panjang agak ketinggalan zaman. Apabila diberi tugasan dalam bentuk penulisan panjang, pelajar berasa bahawa tugasan tersebut membebankan dan tidak melihatnya sebagai proses intelektual yang patut dipelajari. Kemerosotan ini berpunca daripada pelbagai faktor yang saling berkait.

Pertama, alat digital memendekkan sinaps berfikir. Era digital mewujudkan tabiat berfikir secara pantas dan ringkas. Kini, otak banyak dibiasakan untuk memproses maklumat dalam bentuk serpihan yang disampaikan dalam tempoh yang singkat.

Masyarakat lebih tertarik pada kandungan dalam media sosial yang kapsyennya tidak melebihi 280 aksara atau menonton video berdurasi 15 saat. Tanpa disedari, otak mula menolak maklumat yang memerlukan tumpuan jangka panjang.

Kemunculan teknologi tidak menghalang pembentukan generasi yang mahir menulis sesuatu yang tular, tetapi hal yang membimbangkan adalah apabila penulis itu gagal membina esei seribu kata yang baik. Penulisan yang dihasilkan mempunyai banyak kelompangan dari segi kesinambungan dan huraian yang lebih cenderung kepada kesimpulan tanpa mengetengahkan proses analisis yang matang.

Hasilnya, kebanyakan pelajar kini berhadapan dengan kesukaran untuk mengembangkan idea. Oleh itu, terhasillah penulisan yang tidak berstruktur dan gagal menyentuh akar umbi permasalahan sebenar.

Kedua, proses berperingkat yang memenatkan. Dalam hal ini, teknologi yang ada di hadapan mata gagal digunakan dengan bijaknya. Bagi menyiapkan tugasan pada saat akhir, banyak pelajar memilih jalan mudah, iaitu salin dan tampal. Idea yang mengalir secara ajaib tanpa memerlukan masa yang lama untuk membaca dan mencari bahan, serta tidak memerlukan usaha berfikir yang kritis dibentangkan atau dihantar tanpa rasa bersalah. Dalam hal ini, pelajar malas menggunakan teknologi untuk menghasilkan perancangan, menyusun rangka karangan, membina perenggan, membuat semakan dan melakukan refleksi.

Selain itu, pelajar didapati tidak cenderung untuk menggunakan teknologi dalam proses fasa prapenulisan. Pelajar juga tidak menggunakan peluang untuk menghasilkan peta minda dan penyusunan struktur hujah kerana mahukan sesuatu yang sudah sempurna di hadapan mata.

Hasil penulisan pelajar juga dihasilkan secara spontan tanpa perancangan yang jelas. Kegagalan untuk memahami bahawa penulisan merupakan suatu disiplin mental yang memerlukan ketahanan menyebabkan banyak penulis mudah berputus asa apabila teksnya menjangkau halaman kedua. Akibatnya, karangan tidak tersusun, idea melompat-lompat dan hujah tidak berkembang secara sistematik.

Ketiga, kelemahan berhujah. Apabila pelajar diberi pilihan untuk menjawab soalan karangan bahasa Melayu antara soalan berbentuk naratif (bercerita) dengan soalan berbentuk analitikal (berhujah), banyak pelajar cenderung untuk memilih soalan berbentuk naratif.

Jika pelajar diminta untuk menulis isu ekonomi, banyak pelajar mengupas punca, kesan dan langkah mengatasi. Kupasan punca yang terlalu umum dan sesuai untuk semua karangan, serta kegagalan untuk membedah data atau membina hujah yang kuat menjadikan hasil karangan setiap pelajar hampir sama.

Kemahiran berhujah dalam Bahasa Melayu juga menunjukkan kelemahan yang ketara. Hujah yang dibina sering bersifat emosional, bukannya berteraskan bukti kukuh. Apabila keupayaan berhujah ini lemah, pelajar tidak mempunyai “bahan” yang cukup untuk memanjangkan tulisannya secara bermakna, lalu terjebak dalam putaran ayat yang sama.

Apabila pelajar diberi kebebasan untuk mencari maklumat secara berkumpulan, ada juga penulisan pelajar bersifat tidak bersinambung antara perenggan. Pelajar ini mengambil jalan mudah dengan mengagihkan perenggan berdasarkan bilangan ahli. Setelah itu, pelajar menggabungkan perenggan tersebut tanpa membaca dan memurnikan ayat demi ayat agar setiap perenggan bersinambung. Hasilnya, himpunan idea penulisan bersifat umum dan tidak saling menguatkan antara satu dengan lain.

Dalam keadaan ini, banyak pelajar mampu menceritakan sesuatu isu, tetapi kurang berupaya untuk menilai, membandingkan atau mengkritik isu tersebut. Kesannya, pelajar tidak mampu untuk menghasilkan penulisan aras tinggi yang mengemukakan pendirian yang jelas, serta disokong oleh alasan yang logik dan contoh yang relevan.

Kelemahan ini juga menyebabkan tulisan tidak mencapai tahap intelektual yang diharapkan, khususnya dalam konteks akademik dan profesional. Oleh itu, pelajar sebegini perlu melalui latihan khusus dalam pembinaan hujah.

Keempat, perangkap templat. Kebergantungan tegar terhadap templat atau formula penulisan yang kaku ternyata membunuh kreativiti dan keaslian pemikiran pelajar. Dalam hal ini, pelajar terbiasa dengan format standard, seperti pendahuluan, isi dan penutup.

Keterikatan terhadap format tersebut menjadikan pelajar kekal berada di zon “selamat” dan menghasilkan penulisan yang bersifat mekanikal dan stereotaip. Akibatnya, idea sering dipaksa untuk memasuki acuan tetap tanpa mengambil kira keperluan konteks atau kehendak sebenar soalan.

Dalam hal ini, pelajar tidak memasukkan pendapat peribadi yang menunjukkan kematangan pemikiran. Lebih membimbangkan, sindrom kebergantungan jangka panjang ini bukan sahaja mengekang potensi untuk meneroka idea secara meluas, malah melunturkan keberanian pelajar untuk memberikan pendapat terhadap sesuatu isu.

Kelima, defisit kosa kata dan ketandusan pengetahuan berkenaan isu semasa. Kualiti sesebuah penulisan panjang sering terjejas kerana kekurangan perbendaharaan kata, ketidakmampuan diksi dan ketandusan pengetahuan mengenai isu semasa. Keterbatasan variasi leksikal juga memerangkap pelajar ketika menulis karangan panjang.

Pelajar yang berhadapan dengan masalah hanya mampu menggunakan frasa klise yang berulang-ulang dan tidak mampu menyusun hujah yang tepat dan meyakinkan. Ketika berhujah tentang isu serius yang merangkumi pelbagai disiplin, seperti geopolitik, falsafah dan sains, pelajar gagal membina analogi dan menyokong hujah dengan contoh yang konkrit.

Akhirnya, terhasillah penulisan panjang yang meleret dengan hujah yang dangkal. Hal ini ibarat buih di lautan yang nampak meriah di permukaan, namun hakikatnya kosong tanpa pengisian makna.

Kesimpulannya, kemerosotan keupayaan penulisan panjang dalam bahasa Melayu merupakan isu kompleks yang serius. Jika tidak ditangani, keadaan ini dapat menjejaskan kualiti wacana akademik dan tahap profesionalisme dalam bahasa Melayu. Oleh itu, usaha bersepadu antara pendidik, pelajar dan institusi pendidikan amat diperlukan untuk memulihkan budaya penulisan panjang sebagai asas pembinaan intelektual yang matang dan berdaya saing.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi