Diterbitkan pada 2 Jun 2026, 09:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bahasa sentiasa berkembang seiring dengan perubahan masyarakat dan teknologi. Pada era media sosial yang pantas dan interaktif, muncul pelbagai ungkapan baharu yang tular dengan pantas dalam kalangan pengguna, khususnya generasi muda. Antara ungkapan yang sangat popular dan kerap digunakan pada hari ini dalam platform media sosial seperti Threads, TikTok dan X ialah kata “menekan-nekan”. Frasa ini sering muncul dalam ayat seperti “Janganlah menekan-nekan sangat”, “Netizen suka menekan-nekan orang”, atau “Dia rasa ditekan-tekan oleh keluarga”. Penggunaan tersebut menimbulkan persoalan dari sudut makna, tatabahasa dan kesesuaiannya dalam bahasa Melayu standard.

Berdasarkan penggunaan semasa dalam media sosial, kata “menekan-nekan” tidak membawa maksud ada sentuhan fizikal sama ada pada tubuh atau benda, tetapi lebih kepada desakan emosi atau sosial yang berulang dan agak mengganggu, namun sering dalam nada santai atau bergurau. Penggunaan kata “menekan-nekan” mirip dengan being pushy dalam bahasa Inggeris, iaitu mendesak seseorang untuk melakukan sesuatu secara berterusan, sama ada meminta balasan, mempromosikan sesuatu, atau menekan untuk sesuatu keputusan yang pantas. Sebagai contoh, “Jangan menekan-nekan sangat, bang” boleh bermaksud “Jangan terlalu mendesaklah, kawan.” Yang berikut dipaparkan 10 data penggunaan “menekan-nekan” yang diambil daripada platform Threads:

  • Khutbah Jumaat hari ini jangan nak menekan-nekan sangat ye.
  • Menekan-nekan la dia ni. Cuba rilek sikit.
  • Ada tak gim yang tak menekan-nekan suruh ambil pakej bulanan?
  • Kenalah faham bila tiada bayaran jangan menekan-nekan dengan pelbagai syarat.
  • Jadi, baik bagi tahu awal. Aku bukan jenis menekan-nekan pun.
  • Mana orang Setiawangsa ni? Menekan-nekan suruh datang, saya dah datang ni, tapi tak ada orang pun.
  • Menekan-nekan eh bos hari ni. Pandai betul menjual.
  • Laki aku jenis menekan-nekan. Ingat senang ke nak edit.
  • Jangan menekan-nekan pasal kahwin ni boleh tak?
  • Tak faham jenis customer yang menekan-nekan nak kereta cepat ni.

Secara asasnya, kata dasar bagi “menekan-nekan ialah “tekan”. Dalam Kamus Dewan Perdana (2020), “tekan” tidak diberikan takrifan khusus. Kata “tekan” melahirkan beberapa bentuk terbitan seperti menekan, menekankan, tertekan, tekanan dan penekanan. Dalam konteks umum, “menekan” boleh digunakan secara fizikal seperti “menekan butang”, atau secara abstrak seperti “majikan menekan pekerja”.

Namun demikian, bentuk “menekan-nekan” yang popular dalam media sosial pada hari ini tidak semata-mata membawa makna memberikan tekanan secara fizikal atau psikologi. Sebaliknya, penggunaannya lebih luas dan bersifat emosional. Yang berikut dipaparkan empat pecahan makna “menekan-nekan” yang terdapat dalam Kamus Dewan Perdana (2020):

menekan-nekan 1 digunakan utk menekankan menekan (makna 10): Sidang Jali menekan-nekan suaranya. Sengaja ditekan-tekan suaranya apb memarahi anak- anaknya. 2 menolak (sso atau sst) ke bawah, ke sisi, ke hadapan atau ke belakang dgn jari, tangan dsb berulang kali: Dia membongkok dan menekan-nekan dadanya. Alat pengungkit itu ditekan-tekan dgn kaki sehingga sebelah badan bas itu terangkat. 3 menjadikan (perasaan, hati, fikiran dsb) dihimpit oleh kesedihan, kebimbangan dsb dgn teruk: Perubahan ini walaupun sedikit, tetapi terasa benar menekan-nekan hidupnya. Pemulauan orang kampung semakin menekan-nekan hidupnya. 4 mengekang (kehendak, keingintahuan, kemarahan dsb) dgn bersungguh-sungguh: Ramli menekan-nekan rasa tidak sabarnya untuk mengetahui adakah dia akan dihantar ke sekolah Inggeris.

Daripada empat pecahan makna entri “menekan-nekan”, takrifan yang hampir dan menyerupai makna “menekan-nekan” yang popular penggunaannya dalam media sosial pada masa ini ialah pecahan makna yang ketiga.

Dalam banyak hantaran media sosial, kata “menekan-nekan” merujuk perbuatan mendesak, mempersoalkan secara berulang-ulang, menyindir, memperlekeh atau membuat seseorang berasa serba salah. Dalam erti kata lain, makna sosial yang berkembang pada hari ini lebih dekat dengan konsep “mendesak secara berlebihan”. Fenomena ini menunjukkan bahawa sesuatu kata boleh mengalami peluasan makna mengikut konteks penggunaan masyarakat. Hal sedemikian bukanlah sesuatu yang baharu dalam perkembangan bahasa. Media sosial memperlihatkan peranannya mempercepat proses tersebut kerana pengguna berinteraksi secara spontan dan tidak formal.

Kajian tentang slanga media sosial turut menunjukkan bahawa bahasa dalam platform digital sering dipengaruhi unsur ekspresi, emosi dan budaya kelompok tertentu. Dari sudut morfologi, bentuk “menekan-nekan” ialah kata kerja ganda separa yang terbentuk daripada kata kerja berimbuhan “menekan” yang diulang. Penggandaan dalam bahasa Melayu lazimnya berfungsi untuk menunjukkan perbuatan berulang-ulang, banyak atau berterusan. Oleh itu, melihat dari aspek tatabahasanya, “menekan-nekan” boleh dianggap gramatis kerana penggandaan tersebut memberikan maksud tindakan menekan yang dilakukan berkali-kali atau secara berlebihan. Walau bagaimanapun, persoalan utama bukan sekadar gramatis atau tidak, tetapi sama ada pengguna memahami makna sebenar kata tersebut.

Berdasarkan penggunaannya dalam media sosial, banyak pengguna menggunakan “menekan-nekan” sebagai sinonim bagi tindakan “memaksa” atau “menggesa”. Ketiga-tiga kata ini sememangnya mempunyai pertalian makna, tetapi tidak sepenuhnya sama. Kata “memaksa” membawa maksud menyuruh atau menginginkan seseorang melakukan sesuatu dengan kehendak yang sukar ditolak. Unsur dominan dalam kata ini ialah paksaan dan kekerasan kehendak. Sebagai contoh, “Ibu bapanya memaksa dia mengambil jurusan perubatan.” Dalam ayat tersebut, wujud unsur tekanan yang kuat sehingga individu berkenaan tiada pilihan. Kata “menggesa” pula membawa maksud mendorong atau meminta seseorang melakukan sesuatu dengan segera. Unsur utama kata ini ialah desakan terhadap masa atau tindakan. Misalnya, “Kerajaan menggesa rakyat berjimat cermat.” Kata ini tidak semestinya bersifat negatif.

Sebaliknya, “menekan-nekan” dalam penggunaan semasa lebih bernuansa emosi dan sosial. Kata tersebut menggambarkan tindakan yang membuat seseorang berasa diasak, dipersenda atau didesak secara psikologi. Oleh hal yang demikian, penggunaan “menekan-nekan” sering muncul dalam konteks hubungan sosial dan komunikasi digital. Perhatikan contoh yang berikut:

  1. “Jangan menekan-nekan dia soal kahwin.”
  2. “Netizen asyik menekan-nekan artis itu.”
  3. “Bosnya menekan-nekan pekerja setiap hari.”

Dalam ketiga-tiga ayat tersebut, terdapat unsur tekanan emosi yang berulang. Jika digantikan dengan kata “memaksa” atau “menggesa”, makna ayat tersebut akan berubah dan tidak lagi membawa nuansa yang sama.

Yang menariknya, populariti kata “menekan-nekan” dalam media sosial dipercayai berkembang melalui budaya komunikasi generasi Z. Generasi ini terkenal dengan gaya bahasa yang santai, hiperbola dan ekspresif. Mereka sering menggunakan kata biasa dengan makna yang diperluas bagi menggambarkan emosi secara lebih dramatik. Hal ini dapat dilihat pada penggunaan kata seperti trigger, burnout, cringe dan flex yang turut diserap dalam pertuturan harian. Platform seperti Threads pula menggalakkan bentuk komunikasi pendek, spontan dan berbentuk reaksi sosial. Dalam ruang sebegini, ungkapan yang bersifat emosi dan mudah difahami cepat tular dalam kalangan penggunanya. Kata “menekan-nekan” akhirnya berkembang menjadi satu bentuk slanga sosial yang membawa makna tertentu dalam kalangan generasi muda. Fenomena ini memperlihatkan cara media sosial mempengaruhi perkembangan semantik bahasa Melayu.

Jika dahulu, sesuatu kata mengalami perubahan makna dalam tempoh yang panjang melalui penggunaannya oleh masyarakat. Kini, perubahan tersebut boleh berlaku dalam tempoh yang singkat melalui algoritma media sosial dan budaya tular. Namun demikian, perkembangan bahasa tidak bermaksud semua bentuk bahasa media sosial sesuai digunakan dalam semua konteks. Dalam penulisan rasmi, akademik atau kewartawanan, pengguna masih perlu berhati-hati agar tidak menggunakan kata secara terlalu longgar sehingga mengaburkan makna asal. Misalnya, penggunaan “menekan-nekan kerajaan” dalam laporan berita mungkin kurang tepat jika maksud sebenar ialah “mengkritik” atau “menggesa”.

Pemilihan kata yang tepat penting bagi memastikan kejelasan makna. Dalam tradisi bahasa Melayu, ketepatan makna amat dititikberatkan. Oleh sebab itulah, kamus dan pedoman bahasa berfungsi sebagai rujukan utama. Walaupun slanga dan bahasa media sosial memperkaya ekspresi masyarakat, pengguna bahasa tetap perlu memahami perbezaan antara bahasa santai dengan bahasa standard. Pada masa yang sama, fenomena seperti dalam penggunaan kata “menekan-nekan” juga menunjukkan bahawa bahasa Melayu masih hidup dan dinamik. Bahasa yang berkembang ialah bahasa yang digunakan secara aktif oleh masyarakatnya. Sejarah bahasa membuktikan bahawa banyak kata yang dahulunya dianggap tidak baku akhirnya diterima sebagai sebahagian daripada kosa kata umum apabila penggunaannya semakin meluas.

Kesimpulannya, kata “menekan-nekan” yang popular dalam media sosial pada hari ini ialah contoh peluasan makna dalam bahasa Melayu moden. Dari sudut tatabahasa, bentuk tersebut masih boleh diterima kerana mematuhi proses penggandaan kata kerja. Namun demikian, maknanya dalam penggunaan semasa telah berkembang daripada sekadar “memberikan tekanan” kepada maksud yang lebih emosional dan sosial. Kata tersebut juga tidak sepenuhnya sama dengan “memaksa” atau “menggesa”, walaupun ketiga-tiganya berkongsi unsur desakan tertentu. Fenomena ini memperlihatkan hubungan rapat antara bahasa, generasi muda dengan media sosial. Dalam keghairahan mengikuti trend bahasa semasa, masyarakat perlu terus memelihara kejelasan dan ketepatan bahasa Melayu agar perkembangan bahasa tidak menghilangkan nilai makna yang sebenar.

Kepopularan penggunaan perkataan “menekan-nekan” juga menunjukkan generasi Z menjadi pencipta bahasa yang menyesuaikan penggunaan kata itu dengan keperluan komunikasi pantas, emosional dan inklusif. Fenomena ini juga menjelaskan bahawa bahasa ialah alat sosial yang digunakan untuk mengekspresikan sindiran, gurauan dan peringatan. Walau bagaimanapun, penggunaannya secara berlebihan boleh mengaburkan makna asal jika tidak diimbangi dengan pemahaman terhadap pecahan maknanya seperti yang didokumentasikan dalam kamus.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi