Diterbitkan pada 26 Mei 2026, 14:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bahasa bukan sekadar alat komunikasi, malah merupakan wadah yang menyimpan sejarah, falsafah, dan nilai sosiolinguistik sesuatu bangsa. Tanpa bahasa yang tepat, nilai murni dalam sesuatu ritual mungkin akan terhakis atau kehilangan roh asalnya apabila diterjemahkan mengikut peredaran zaman.

Dalam konteks Hari Raya Korban, bahasa Melayu telah bertindak sebagai penyerap dan penyaring istilah teologi yang kemudiannya diadaptasi ke dalam acuan budaya tempatan. Penggunaan istilah seperti “korban”, nahr, dan “sembelih” bukan sekadar label teknikal, tetapi membawa muatan emosi dan spiritual yang mendalam. Kekuatan bahasa Melayu untuk mendepani istilah pinjaman ini menunjukkan betapa fleksibelnya struktur leksikon bahasa ini bagi mendukung konsep ketauhidan yang dibawa oleh Islam, namun tetap mengekalkan ciri-ciri ketimuran yang santun. Artikel ini akan menelusuri kaedah bahasa Melayu menguruskan peristilahan ibadat ini, bermula daripada akar etimologi hingga manifestasi sosiolinguistiknya dalam masyarakat. Melalui lensa bahasa, kita dapat melihat sesuatu ibadat itu membentuk jati diri dan cara fikir (worldview) orang Melayu untuk memahami konsep ketaatan kepada Sang Pencipta.

Meneliti bahasa dalam ritual korban bermaksud kita sedang menyelami sejarah intelektual bangsa yang sentiasa dinamik untuk menerima pengaruh luar tanpa kehilangan identiti asalnya. Penelitian ini penting bagi memastikan generasi akan datang tidak sekadar melihat Aidiladha sebagai suatu tradisi tahunan, tetapi sebagai satu kesinambungan ilmu dan bahasa yang memperkukuh tamadun Melayu itu sendiri.

Dari sudut etimologi, perkataan “korban” yang menjadi teras dalam kosa kata Melayu berasal daripada akar kata bahasa Arab, qurbana, yang membawa makna “hampir” atau “mendekatkan diri” kepada Allah SWT. Proses penyerapan ini merupakan bukti nyata bahawa bahasa Melayu bersifat terbuka terhadap istilah teologi asing bagi mengisi kelompongan konsep yang tidak wujud dalam bahasa peribumi pada waktu itu.

Menariknya, dalam bahasa Melayu, perkataan ini telah mengalami proses perubahan semantik yang meluas dan mendalam. Jika dalam konteks asalnya, “korban” merujuk secara khusus kepada ritual penyembelihan haiwan ternakan, dalam korpus bahasa Melayu moden, “korban” telah berkembang menjadi “pengorbanan” yang membawa maksud pemberian yang tulus, penderitaan untuk mencapai sesuatu yang murni, malah mencakupi semangat patriotisme yang tinggi.

Perubahan ini menunjukkan bahawa bahasa Melayu mampu menyerap makna rohaniah menjadi makna sosioperilaku yang lebih luas dalam kehidupan seharian penuturnya, sekali gus memperkaya dimensi nilai dalam budaya bangsa.

Apabila meninjau landskap sosiolinguistik di Malaysia, wujud perbezaan penggunaan antara istilah “Aidiladha”, “Hari Raya Haji”, dan “Hari Raya Korban”. Secara formal dan laras bahasa tinggi, “Aidiladha” sering digunakan dalam teks rasmi, khutbah, dan penulisan akademik kerana ketepatan teologinya yang merujuk “Hari Penyembelihan”.

Namun begitu, dalam interaksi lisan masyarakat awam, istilah “Hari Raya Haji” atau “Hari Raya Korban” dilihat jauh lebih dominan dan kerap digunakan dalam perbualan harian. Kecenderungan ini berlaku kerana masyarakat Melayu secara tradisinya lebih selesa dengan istilah yang bersifat fungsional, praktikal, dan deskriptif. Penggunaan “Hari Raya Haji” merujuk solidariti terhadap kemuncak rukun Islam kelima yang sedang berlangsung di Makkah, manakala “Hari Raya Korban” merujuk aktiviti utama yang dilakukan oleh masyarakat setempat pada hari tersebut.

Kekerapan penggunaan kedua-dua istilah tempatan ini berbanding dengan “Aidiladha” mencerminkan cara fikir masyarakat yang lebih mudah mengaitkan sesuatu perayaan dengan amal ibadat fizikal yang dilaksanakan atau disaksikan di depan mata. Istilah tempatan ini dirasakan lebih “mesra” dan mudah dihayati oleh semua lapisan umur, sekali gus membuktikan bahawa bahasa Melayu mempunyai mekanisme linguistik yang unik dalam menamakan fenomena agama tanpa menghilangkan esensi asalnya, namun tetap serasi dengan acuan citra budaya setempat yang diwarisi zaman-berzaman.

Apabila menyentuh tentang aspek teknikal penyembelihan, bahasa Melayu mempunyai kosa kata yang sangat spesifik dan deskriptif. Ritual ini melibatkan istilah anatomi yang teliti bagi memastikan syarat sah sembelihan dipenuhi mengikut hukum syarak yang ketat. Antaranya ialah istilah “urat merih” (esofagus) dan “halkum” (trakea), serta tambahan dua urat leher iaitu wadajain (vena jugular dan arteri karotid). Penggunaan istilah ini dalam teks panduan agama membuktikan bahawa bahasa Melayu mampu mengungkapkan konsep biologi dan sains veterinar secara ringkas namun sangat tepat. Ketepatan istilah ini bukan sekadar soal linguistik, malah menjadi penentu bagi status halal dan kualiti daging yang dihasilkan, sekali gus menunjukkan bahawa bahasa Melayu telah lama menjadi bahasa ilmu yang fungsional dalam urusan agama dan sains hayat.

Selain itu, terdapat diksi tradisional yang menggambarkan kepakaran teknikal masyarakat Melayu, seperti penggunaan kata “menumbangkan” yang merujuk proses merebahkan haiwan ternakan yang besar dengan teknik tertentu tanpa mencederakannya. Terdapat juga kata “lapah” yang membawa maksud khusus memisahkan kulit daripada daging, iaitu satu proses yang memerlukan kemahiran seni yang tinggi. Kehalusan bahasa Melayu juga terlihat dalam penggunaan kata kerja yang berbeza mengikut konteks. Kata “sembelih” digunakan untuk proses pengambilan nyawa haiwan secara ritual dan “potong” atau ”hiris” untuk penyediaan daging. Perbezaan diksi ini mencerminkan penghormatan yang mendalam terhadap nyawa makhluk Tuhan yang dikorbankan demi ibadat, sekali gus mempamerkan etika linguistik yang tinggi dalam budaya Melayu.

Meskipun demikian, dalam arus pemodenan hari ini, terdapat banyak istilah spesifik yang berkaitan dengan alatan atau teknik tradisional seperti “ikatan simpul pulih” kian jarang didengari oleh generasi muda. Kehilangan istilah ini dalam perbualan harian sebenarnya mengancam kelangsungan kosa kata warisan dalam korpus bahasa Melayu. Tanpa usaha pendokumentasian dan penggunaan semula, laras bahasa teknikal yang kaya dengan kearifan tempatan ini dikhuatiri akan lenyap dan digantikan dengan kata umum yang tidak mempunyai roh keilmuan yang sama.

Kesimpulannya, sambutan Aidiladha bukan sekadar manifestasi ketaatan spiritual, tetapi juga merupakan galeri kebahasaan yang mempamerkan kekayaan dan kedinamikan bahasa Melayu. Daripada proses etimologi yang merakam sejarah pertemuan budaya, hingga ke peristilahan ritual yang teknikal dan falsafah peribahasa yang mendalam, jelaslah bahawa bahasa Melayu telah berjaya mengimbangi peranan antara tradisi dengan wahyu. Keupayaan bahasa Melayu menyerap istilah asing dan memberikannya nyawa mengikut acuan budaya setempat merupakan bukti keteguhan jati diri bangsa. Namun begitu, cabaran kini menuntut kita untuk terus memartabatkan istilah warisan ini agar tidak hilang ditelan zaman atau digantikan dengan istilah asing yang tidak membawa roh yang sama.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi