Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPengurniaan Anugerah Khas Diraja daripada kerajaan negeri Pahang kepada Munsyi Teo Wei Sing baru-baru ini bukan sekadar pengiktirafan kepada seorang individu. Acara gilang-gemilang yang disempurnakan oleh Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu membawa mesej yang sangat mendalam tentang perpaduan nasional.
Penghargaan tertinggi daripada Institusi Diraja Pahang dan Kerajaan Negeri Pahang ini merupakan manifestasi nyata betapa komitmen jitu dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan melangkau sempadan etnik dan keturunan.
Bagi masyarakat majmuk seperti di Malaysia, kebolehan menguasai bahasa Melayu dalam kalangan komuniti bukan Melayu sering kali dipandang sepi. Ada kalanya, isu ini sekadar dianggap sebagai pematuhan terhadap syarat wajib akademik. Namun begitu, Munsyi Teo Wei Sing telah berjaya mematahkan stereotaip lapuk tersebut. Sebagai seorang tokoh akademik dan sasterawan berbangsa Tionghua, beliau membuktikan bahawa bahasa Melayu bukan milik eksklusif satu kaum sahaja. Sebaliknya, bahasa kebangsaan merupakan instrumen penyatuan yang boleh dikuasai secara mutlak demi kemajuan jati diri bangsa.
Melihat akan latar belakang beliau, kelayakan akademik dan pencapaian yang dimiliki sememangnya tidak tertanding. Sebagai lulusan dalam bidang Pendidikan (Pengajaran Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Pertama) dari Universiti Putra Malaysia (UPM), beliau meletakkan dirinya setaraf dengan pakar rujuk penutur jati. Ditambah pula dengan didikan langsung daripada tokoh sastera tersohor tanah air, iaitu Sasterawan Negara S. Othman Kelantan dan Datuk Dr. Lim Swee Tin, kualiti persuratan beliau berada pada kelas yang tersendiri.
Pengalaman beliau sebagai pendidik amat luas. Beliau pernah menabur bakti di SMK Teluk Chempedak, SMJK Tanah Puteh, Universiti Terbuka Malaysia dan Kolej Taylor. Kredibiliti beliau dalam dunia pendidikan diperkukuhka lagi dengan penghasilan 14 buah buku puisi, sebuah novel, 124 buah buku rujukan dan buku kerja Bahasa Melayu yang digunakan secara meluas oleh pelajar di seluruh negara. Sejarah seni tanah air turut menyaksikan beliau bergelar penulis Tionghua pertama di Malaysia yang ditauliahkan dengan dua gelaran berprestij serentak oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), iaitu Munsyi Dewan (Bahasa) pada tahun 2021 dan Munsyi Dewan (Sastera) pada tahun 2022.
Lebih membanggakan, perjuangan beliau tidak hanya terkurung di dalam sempadan domestik. Kebijaksanaan beliau memanipulasi keindahan bahasa Melayu telah membawa citra budaya Malaysia menembusi pasaran global. Antara pencapaian antarabangsa yang paling ikonik adalah apabila beliau diundang mendeklamasikan sajak berbahasa Melayu di pentas UNESCO di Paris pada tahun 2016. Malah, buku solo beliau yang berjudul Sejiwa telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dan bahasa Perancis sekali gus membawa denyut nadi rakyat Malaysia ke persada dunia. Beliau juga pernah menjadi panel diskusi di Universitas Sumatera Utara, Medan dan penceramah jemputan di Guangxi Minzu University, Nanning, China.
Pengiktirafan tinggi daripada Institusi Diraja Pahang dan Kerajaan Negeri Pahang ini dilihat sebagai satu isyarat yang jelas kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa bahasa Melayu ialah jambatan ampuh yang menyatukan kepelbagaian. Sesiapa sahaja yang meletakkan jiwa dan raganya untuk menyiram subur pohon sastera serta bahasa kebangsaan akan sentiasa dihargai setinggi-tingginya oleh negara. Syabas diucapkan kepada Munsyi Teo Wei Sing atas pengurniaan Anugerah Khas Diraja ini. Semoga pencapaian beliau menjadi pemangkin semangat buat generasi muda untuk terus berbakti demi nusa dan bangsa.