Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSuatu ketika dahulu, penggunaan bahasa singkatan hanya terbatas dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mempunyai had aksara. Namun, pada era media sosial hari ini, bahasa singkatan bukan lagi sekadar alat untuk menjimatkan ruang atau masa, sebaliknya bahasa singkatan telah berkembang menjadi budaya komunikasi yang diterima tanpa banyak persoalan. Perkataan seperti sy, yg, tq, xde dan diorg digunakan secara meluas sehingga dianggap penggunaan yang normal dan betul dalam kehidupan seharian.
Persoalannya, adakah fenomena ini berlaku semata-mata kerana perkembangan teknologi? Atau sebenarnya berpunca daripada sikap masyarakat yang semakin longgar untuk menjaga mutu bahasa? Hakikatnya, media sosial hanyalah suatu medium. Yang menentukan cara bahasa digunakan ialah manusia itu sendiri. Oleh itu, peningkatan penggunaan bahasa singkatan lebih tepat dilihat sebagai manifestasi sikap masyarakat yang semakin menormalisasikan penggunaan bahasa singkatan dalam komunikasi harian.
Kesalahan Menjadi Kebiasaan
Satu daripada faktor utama yang menyumbang terhadap penggunaan bahasa singkatan ialah kecenderungan masyarakat untuk menerima dan mengamalkan bentuk bahasa tersebut secara melulu. Dalam dunia digital, sesuatu yang digunakan secara berulang akhirnya dianggap biasa walaupun hal tersebut tidak dipastikan betul.
Media sosial telah mewujudkan persekitaran yang membolehkan pengguna menulis secara spontan dan bebas tanpa kawalan bahasa yang ketat. Akibatnya, kebanyakan pengguna lebih mementingkan kepantasan berkomunikasi berbanding dengan ketepatan bahasa yang digunakan. Fenomena ini menyebabkan bahasa singkatan terus digunakan, dikongsi dan ditiru oleh pengguna lain sehingga akhirnya menjadi norma sosial. Kajian menunjukkan bahawa pengguna media sosial cenderung menggunakan bentuk bahasa yang dipendekkan kerana dianggap lebih mudah dan sesuai dengan budaya komunikasi digital.
Lebih membimbangkan, penggunaan bahasa singkatan kini tidak lagi terhad dalam ruang sembang peribadi. Bentuk bahasa tersebut semakin kerap muncul dalam hantaran umum, iklan digital, urusan organisasi dan kadangkala turut digunakan dalam tugasan akademik. Apabila masyarakat tidak lagi dapat membezakan penggunaan bahasa dalam konteks formal dan tidak formal, sempadan antara bahasa baku dengan bahasa santai semakin kabur.
Mengabaikan Kesan Demi Keselesaan
Banyak pengguna beranggapan bahawa penggunaan bahasa singkatan hanyalah perkara kecil yang tidak mendatangkan sebarang kesan. Sikap inilah yang sebenarnya menjadi punca utama masalah tersebut berterusan.
Bahasa bukan sekadar alat komunikasi, tetapi juga wahana ilmu, identiti dan warisan bangsa. Apabila masyarakat terlalu kerap menggunakan bentuk bahasa yang dipendekkan, mereka secara tidak langsung membiasakan diri dengan ejaan yang salah dan struktur bahasa yang tidak gramatis. Dalam jangka panjang, keadaan ini boleh mempengaruhi kemahiran menulis dan bertutur, khususnya dalam kalangan generasi muda yang sedang membina asas penguasaan bahasa.
Kajian tentang penggunaan kata singkatan di media sosial turut mendapati bahawa fenomena tersebut berdaya menyebabkan kekeliruan bahasa dan menjejaskan keupayaan pengguna menggunakan bahasa yang tepat mengikut konteks.
Ironinya, kebanyakan pengguna hanya menyedari kepentingan bahasa kebangsaan yang tepat dan betul apabila berdepan dengan situasi rasmi seperti temu duga pekerjaan, penulisan laporan atau urusan profesional. Ketika itu, kelemahan penguasaan bahasa mulai terserlah. Namun begitu, punca bagi masalah tersebut sebenarnya telah bermula sejak awal kesan tabiat berbahasa yang dipandang remeh.
Pengaruh dan Budaya Ikut-ikutan
Fenomena bahasa singkatan juga berkembang kerana wujudnya budaya ikut-ikutan dalam kalangan masyarakat digital. Apabila seseorang melihat rakan, pempengaruh atau individu popular menggunakan bentuk bahasa tertentu, mereka terdorong untuk melakukan perkara yang sama bagi menyesuaikan diri dengan kelompok sosial tersebut.
Dalam konteks ini, bahasa bukan lagi sekadar alat komunikasi, tetapi turut menjadi simbol identiti kumpulan tertentu. Pengguna yang menulis secara ringkas dianggap lebih santai, mesra dan mengikuti trend semasa. Sebaliknya, mereka yang menggunakan bahasa yang standard kadangkala dianggap terlalu formal atau ketinggalan zaman.
Sikap sedemikian menyebabkan banyak pengguna memilih untuk mengikut arus walaupun menyedari bahawa bentuk bahasa yang digunakan tidak menepati standard bahasa Melayu yang betul. Fenomena ini selari dengan pemerhatian bahawa pengguna media sosial sering terpengaruh dengan trend komunikasi digital yang menormalisasikan penggunaan bahasa singkatan.
Media Sosial Cerminan Sikap
Media sosial sering kali dipersalahkan apabila membincangkan isu pencemaran bahasa. Namun demikian, menyalahkan teknologi semata-mata merupakan pendekatan yang terlalu mudah. Hakikatnya, media sosial hanyalah suatu platform. Platform yang sama boleh digunakan untuk menyebarkan ilmu, mempromosikan penggunaan bahasa yang baik atau sebaliknya.
Pada hakikatnya, media sosial mencerminkan sikap pengguna itu sendiri. Jika masyarakat memilih untuk menggunakan bahasa yang tepat, media sosial akan dipenuhi dengan bahasa yang berkualiti. Sebaliknya, jika masyarakat mengutamakan kemudahan semata-mata dan mengabaikan aspek ketepatan bahasa, maka budaya bahasa singkatan akan terus berkembang.
Oleh sebab itu, isu bahasa singkatan tidak boleh dilihat sebagai masalah teknologi, sebaliknya sebagai isu kesedaran dan tanggungjawab sosial. Seperti yang dibincangkan dalam wacana semasa berkaitan dengan penggunaan bahasa oleh generasi muda, cabaran utama bukanlah kewujudan media sosial, tetapi kegagalan pengguna mengekalkan keseimbangan antara kreativiti berbahasa dengan tanggungjawab memelihara bahasa Melayu standard.
Masyarakat sebagai Benteng Bahasa
Dalam usaha menangani fenomena in, masyarakat perlu memainkan peranan yang lebih aktif. Pengguna media sosial harus sedar bahawa setiap hantaran, komen dan mesej yang ditulis menyumbang terhadap pembentukan budaya bahasa masyarakat.
Hal ini bukanlah bermaksud bahasa singkatan perlu dihapuskan sepenuhnya. Namun, dalam komunikasi tidak formal, penggunaan bahasa tertentu mungkin masih relevan dan praktikal dan pada masa yang sama, pengguna perlulah bijak memilih konteks. Bahasa singkatan tidak seharusnya menjadi pilihan utama dalam semua keadaan sehingga menenggelamkan penggunaan bahasa Melayu yang betul.
Kesimpulannya, masa hadapan bahasa Melayu bukalah ditentukan oleh algoritma media sosial atau kecanggihan teknologi digital. Masa hadapan bahasa kebangsaan Malaysia ini bergantung pada sikap masyarakat pengguna bahasa itu sendiri. Jika masyarakat terus menormalisasikan penggunaan bahasa singkatan tanpa kawalan, maka itu mutu bahasa kebangsaan yang betul akan semakin terhakis. Sebaliknya, jika masyarakat mengamalkan disiplin berbahasa dan menghargai kepentingan bahasa yang gramatis, media sosial mampu menjadi ruang yang memperkukuh, bukannya melemahkan martabat bahasa Melayu.