Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPada hari ini, media sosial membuka ruang terhadap kreativiti berbahasa apabila Gen-Z menggunakan bahasa sebagai medium untuk mengekspresikan diri, pembentukan identiti dan membina hubungan sosial. Penggunaan perkataan baharu seperti konten, fyp, dm dan viral mencerminkan perkembangan bahasa Melayu yang selari dengan budaya komunikasi digital dalam kalangan Gen-Z.
Dalam perbahasan sama ada penggunaan bahasa Gen-Z dalam media sosial merupakan satu bentuk pencemaran atau perkembangan bahasa, timbul pula persoalan lain tentang pihak yang bertanggungjawab untuk memastikan perubahan ini tidak menjejaskan keutuhan bahasa Melayu.
Sejajar dengan peribahasa “mencegah adalah lebih baik daripada merawat”, di sinilah peranan pihak Kementerian Komunikasi bagi memperkukuh kesedaran literasi digital dan etika komunikasi khususnya dalam kalangan Gen-Z. Sebagai contoh, Kementerian Komunikasi boleh memperkenalkan kempen literasi digital dan menyediakan garis panduan penggunaan bahasa dalam media sosial bagi membantu Gen-Z membezakan bahasa santai dan bahasa formal mengikut keperluan konteks agar perkembangan bahasa tidak terpisah daripada nilai dan jati diri bangsa.
Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) juga menjadi sangat penting untuk mendepani perubahan landskap komunikasi digital. Kebimbangan pihak DBP terhadap kemungkinan berlakunya kemerosotan mutu bahasa dalam kalangan Gen-Z dalam media sosial wajar difahami. Namun begitu, sekiranya kebimbangan ini hanya dizahirkan melalui penyampaian amaran semata-mata, pendekatan tersebut berisiko kurang memberikan kesan yang diharapkan. Dalam konteks ini, DBP tidak wajar dilihat sebagai penjaga standard bahasa semata-mata, sebaliknya perlu tampil sebagai pembimbing dan menjadi ejen yang memberikan kesedaran dan membantu Gen-Z memahami kesesuaian penggunaan bahasa mengikut konteks dan medium.
Selain daripada peranan pihak Kementerian Komunikasi dan DBP, pelibatan pempengaruh media sosial turut memainkan peranan penting dalam usaha membentuk sikap generasi Z terhadap penggunaan bahasa pada ruang digital, khususnya bagi menangani kebimbangan terhadap penggunaan bahasa tersebut yang boleh menghakis keutuhan bahasa Melayu. Oleh hal yang demikian, sesiapa sahaja yang cakna terhadap isu penggunaan bahasa Melayu dalam media sosial mahupun pencinta bahasa wajar melibatkan pempengaruh yang memahami cara dan ragam untuk menghasilkan kandungan berkaitan dengan bahasa Melayu.
Kini, Malaysia mempunyai pempengaruh yang aktif memperjuangkan penggunaan bahasa Melayu dalam media sosial dengan pendekatan yang kreatif, santai dan dekat dengan jiwa Gen-Z. Kehadiran pempengaruh seperti Cikgu Zack Kirana (@zackkirana27 di TikTok), Dr. Malar (@celotehdrmalar di Instagram) dan Dr. Faizul (@malaylingwist di X) berperanan mengangkat bahasa Melayu dalam media sosial melalui pendekatan yang menepati gaya komunikasi Gen-Z.
Penggunaan bahasa dalam media sosial oleh Gen-Z berada pada persimpangan antara pencemaran bahasa yang berpotensi menjejaskan mutu bahasa Melayu dengan perkembangan bahasa yang seiring perubahan landskap komunikasi digital. Penggunaan bahasa dalam media sosial oleh golongan ini mungkin kedengaran pelik dan kadangkala dianggap menyimpang daripada norma standard penggunaan bahasa Melayu yang betul. Namun begitu, perubahan ini boleh dianggap sebagai satu evolusi yang menjadi satu perkembangan bagi bahasa tersebut. Pada masa yang sama, kebebasan berbahasa dalam media sosial wajar disertakan dengan kesedaran dalam diri merema sendiri agar asas tatabahasa dan fungsi bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu tidak terhakis oleh kebiasaan yang berulang.
Kebimbangan pencinta bahasa Melayu terhadap cara bahasa Melayu digunakan dalam media sosial sememangnya wajar, namun begitu fokus perlu diberikan terhadap usaha memahami dan membimbing, bukan sekadar mengkritik semata-mata.
Kesimpulannya, bahasa bukan hanya berfungsi sebagai medium komunikasi semata-mata tetapi bahasa itu sendiri menjadi lambang serta identiti sesebuah masyarakat atau bangsa. Penggunaan bahasa dalan media sosial jelas membawa pengaruh yang besar terhadap cara generasi Z berkomunikasi dan mengekspresikan diri. Media sosial sememangnya menyediakan ruang yang luas untuk kreativiti bahasa berkembang secara lebih bebas, ringkas dan santai sekali gus mencerminkan perkembangan bahasa yang selari dengan perubahan zaman digital.
Namun begitu, kebebasan ini juga berpotensi mencetuskan pencemaran bahasa apabila penggunaan bahasa rancu, bahasa tidak baku dan singkatan semakin berleluasa tanpa kawalan. Penggunaan bahasa yang tidak terkawal dalam media sosial oleh Gen-Z mencetuskan kebimbangan sehingga boleh merendahkan nilai bahasa Melayu itu sendiri.
Oleh itu, isu penggunaan bahasa dalam media sosial tidak wajar dilihat secara hitam putih, sebaliknya perlu difahami sebagai usaha mencari keseimbangan antara kreativiti dengan ketepatan penggunaan bahasa. Sebenarnya, peranan Gen-Z yang menggunakan bahasa Melayu itu sendiri perlu menormalisasikan penggunaan bahasa Melayu yang standard dan bukan terikut-ikut dengan trend semasa. Sudah terang lagi bersuluh, kecelaan penggunaan bahasa Melayu dalam media sosial oleh Gen-Z ini dapat diperhatikan apabila mereka terlalu terpengaruh dengan trend semasa sehingga mengabaikan tanggungjawab untuk memelihara bahasa Melayu sebagai warisan bersama agar tidak terhakis nilai dan kelestariannya.
Dalam konteks media sosial yang menjadi medium utama komunikasi masa ini, peranan pelbagai pihak terutamanya Kementerian Komunikasi dan DBP amat penting khususnya bagi mendekati jiwa Gen-Z yang sinonim dengan penggunaan bahasa yang ringkas dan santai di media sosial. Pendekatan yang terlalu kaku dan bersifat menghukum dilihat kurang berkesan, sebaliknya usaha mendidik dan membimbing lebih efektif untuk membentuk kesedaran berbahasa dalam kalangan Gen-Z.