Diterbitkan pada 22 Jun 2026, 11:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Lapangan Penterjemahan Karya Ternama Dunia

Satu daripada pencapaian terbesar DBP ialah kejayaannya memperkenalkan karya agung dunia kepada pembaca tempatan melalui usaha penterjemahan. Inisiatif ini membuka peluang kepada masyarakat Malaysia untuk menikmati karya sastera antarabangsa dalam bahasa Melayu tanpa perlu menguasai bahasa asalnya. Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Melalui usaha penterjemahan ini, pembaca tempatan berpeluang menelusuri pelbagai hikmah yang terkandung dalam novel, karya falsafah dan buku ilmiah yang sarat dengan wacana pemikiran. Dalam erti kata lain, DBP telah menjadi jambatan yang menghubungkan masyarakat Malaysia dengan pengalaman, sejarah dan pemikiran bangsa lain di seluruh dunia.

Melalui program penterjemahan, pembaca Melayu dapat mengenali karya terkenal dari Amerika Syarikat yang banyak membincangkan tentang persoalan kemanusiaan, kebebasan, perjuangan dan perubahan sosial. United States Information Service (USIS) misalnya, pernah bekerjasama dengan DBP dalam usaha menterjemahkan novel Moby Dick karya Herman Melville yang kaya dengan gambaran tentang semangat penerokaan dan pengalaman Amerika Syarikat dalam proses pembinaan negara bangsa. Novel In Dubious Battle karya John Steinbeck yang berlatarbelakangkan era progresivisme di Amerika Syarikat pada awal abad ke-20 pula diterjemahkan dengan judul Perjuangan Sia-sia. Kehadiran karya-karya ini dalam bahasa Melayu membolehkan nilai sejagat yang terkandung di dalamnya difahami oleh khalayak pembaca yang lebih luas. Pada masa yang sama, usaha penterjemahan turut merapatkan jurang budaya antara masyarakat Malaysia dengan dunia Barat yang mempunyai pelbagai pengalaman dan nilai yang boleh dijadikan iktibar.

Kumpulan Cerpen: Perempuan dengan Anjing karya Anton Chekhov (kiri) dan Sejarah Ringkas Masa: Dari Letupan Besar ke Lohong Hitam karya Stephen Hawking (kanan) merupakan antara buku terjemahan DBP yang terbaik.

DBP turut memperkenalkan karya sastera Rusia yang terkenal dengan kekuatan falsafah, psikologi dan analisis terhadap kehidupan manusia. Antara karya yang mendapat tempat dalam bahasa Melayu termasuklah Anna Karenina karya Leo Tolstoy, Dosa dan Balasan karya Fyodor Dostoevsky serta Kumpulan Cerpen: Perempuan dengan Anjing karya Anton Chekhov. Melalui karya pengarang Rusia yang diterjemahkan ini, pembaca dapat memahami pelbagai persoalan berkaitan dengan moral, keadilan, kemiskinan dan konflik kemanusiaan yang bersifat sejagat. Pengalaman membaca karya sedemikian bukan sahaja memperkaya pemikiran, malah meningkatkan kepekaan terhadap realiti sosial yang digarap secara kreatif untuk dijadikan pengajaran dalam kehidupan sebenar. Lebih istimewa lagi, usaha penterjemahan ini turut mendapat sokongan sarjana Rusia sendiri, khususnya Victor A. Pogadaev yang banyak menyumbang terhadap pengenalan kesusasteraan Rusia dalam bahasa Melayu.

Antara karya dari Tanah Besar China yang mendapat tempat dalam penerbitan terjemahan DBP termasuklah Hikayat Pinggir Air dan Baotown.

Selain itu, karya dari Tanah Besar China turut mendapat tempat dalam penerbitan terjemahan DBP. Melalui novel, cerpen dan karya klasik China, pembaca diperkenalkan dengan nilai budaya, sejarah dan falsafah yang membentuk satu daripada tamadun terbesar dunia. Pendedahan ini bukan sahaja menggalakkan pemahaman silang budaya, malah memperkukuh hubungan intelektual antara masyarakat Malaysia dengan dunia Timur. Karya seperti Hikayat Pinggir Air dan Baotown misalnya, membuka ruang kepada pembaca untuk memahami kehidupan masyarakat China daripada pelbagai sudut. Tidak sekadar memperkenalkan dinasti yang pernah mewarnai sejarah negara itu, karya tersebut turut menggambarkan pengalaman masyarakat biasa yang hidup dalam pelbagai perubahan politik dan sosial, termasuklah pada era pemerintahan Mao Zedong. Kesediaan DBP menerbitkan karya terjemahan seperti ini akhirnya menjadi pemangkin terhadap kemunculan penerbit lain yang turut aktif membawa karya luar ke dalam bahasa Melayu.

Selaku pembaca, penulis mempunyai pengalaman yang tersendiri untuk menikmati karya terjemahan terbitan DBP yang penulis anggap antara yang terbaik, khususnya Voss karya Patrick White, Riwayat Mayta karya Mario Vargas Llosa dan Kota yang Mencabar karya F. Sionil José. Voss mengangkat perbahasan tentang kolonialisasi British di Australia, Riwayat Mayta pula menampilkan kritikan sosial terhadap realiti politik dan pembangunan di Peru, manakala Kota yang Mencabar memperlihatkan keberanian kesusasteraan untuk menentang pemerintahan autoritarian di Filipina pada era Presiden Ferdinand Marcos. Novel ini wajar dibaca dengan kaca mata kritis dan penilaian yang rasional agar kita dapat memahami pelbagai bentuk hegemoni yang pernah membentuk masyarakat, sama ada melalui warisan kolonial mahupun propaganda politik. Tidak lengkap juga jika karya Stephen Hawking, Sejarah Ringkas Masa: Dari Letupan Besar ke Lohong Hitam, tidak disebut sebagai antara terjemahan terbaik DBP. Melalui karya tersebut, masyarakat awam di Malaysia berpeluang mendekati dunia sains yang kompleks, termasuk perbahasan tentang fizik kuantum, kosmologi dan alam semesta, dalam bahasa Melayu yang lebih mudah difahami. Bagi penulis, usaha penterjemahan seperti inilah yang wajar terus dipergiat kerana perkara ini bukan sahaja memperluas ufuk pemikiran masyarakat, malah memperkukuh budaya ilmu yang menjadi asas terhadap pembinaan sebuah Malaysia MADANI yang berteraskan pengetahuan.

Kesimpulannya, perjalanan tujuh dekad DBP merupakan sebuah kisah yang panjang tentang kesungguhan memartabatkan ilmu, bahasa dan budaya di bumi Malaysia. Daripada usaha memelihara khazanah karya klasik Melayu, menyediakan ruang kepada pemikir tempatan untuk berkarya hinggalah menterjemahkan karya agung dunia, DBP telah membina satu simbiosis maklumat yang memperkaya pemikiran masyarakat. Setiap terbitan yang dihasilkan bukan sekadar himpunan aksara di atas kertas, sebaliknya menjadi jambatan yang menghubungkan pembaca dengan pengalaman, sejarah dan kebijaksanaan pelbagai zaman serta tamadun. Dalam dunia yang semakin pantas berubah, peranan DBP sebagai institusi ilmu terus relevan untuk membentuk masyarakat yang berpengetahuan, kritis dan berbudaya. Sesungguhnya, pencapaian DBP tidak hanya dapat diukur melalui jumlah penerbitan yang dihasilkan, tetapi juga melalui pengaruhnya bagi membentuk landskap intelektual negara. Justeru, sambutan ulang tahun penubuhannya pada hari ini wajar dilihat sebagai penghargaan terhadap sebuah institusi yang selama ini menjadi nadi terhadap perkembangan bahasa, persuratan dan ilmu pengetahuan di Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi