Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPenipuan siber di Malaysia bukan lagi isu kecil dalam kehidupan digital masyarakat. Pada tahun 2024, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman merekodkan sebanyak 35,368 kes penipuan dengan jumlah kerugian sebanyak RM1.6 bilion. Jumlah ini mewakili 84.5 peratus daripada sejumlah 41,701 kes jenayah komersial yang dilaporkan pada tahun tersebut.
Statistik ini menunjukkan bahawa penipuan siber sudah menjadi masalah sosial dan ekonomi yang serius. Masyarakat didedahkan dengan kempen kesedaran tentang pautan palsu, nombor tidak dikenali, akaun bank keldai dan aplikasi yang meragukan dengan semakin kerap. Namun begitu, kes penipuan masih terus berlaku. Laporan National Scam Awareness Survey 2024 oleh CelcomDigi menunjukkan bahawa sebanyak 87 peratus daripada sejumlah 10,893 responden semakin menyedari tentang penipuan siber, namun rakyat Malaysia masih terdedah dengan taktik penipuan tersebut.
Keadaan ini menimbulkan pelbagai persoalan. Jika masyarakat semakin celik tentang risiko digital, mengapakah masih ramai dalam kalangan masyarakat yang menjadi mangsa? Jawapannya mungkin terletak pada satu aspek yang jarang diberikan perhatian, iaitu bahasa. Penipuan siber bukan masalah literasi digital semata-mata, tetapi juga masalah literasi bahasa. Penipu siber tidak hanya bergantung pada teknologi semata-mata. Mereka turut bergantung pada ayat yang mampu mengubah rasa, fikiran dan tindakan mangsa. Sebelum seseorang menekan pautan, biasanya terdapat ayat seperti “klik pautan ini”. Sebelum seseorang membuat bayaran, biasanya terdapat ayat seperti “buat bayaran sekarang”. Sebelum seseorang menyerahkan maklumat peribadi, biasanya terdapat ayat seperti “hantar IC untuk pengesahan”.
Ayat ini tidak boleh dibaca sebagai ayat biasa kerana setiap ayat mempunyai fungsi tertentu. Dalam kajian terhadap wacana penipuan siber, ujaran penipu didapati berfungsi untuk mengawal tindakan mangsa, membina realiti palsu, mencipta harapan palsu, mengeksploitasi emosi dan membentuk autoriti palsu. Hal ini bermakna, penipu bukan sekadar menyampaikan maklumat palsu, tetapi juga menggunakan bahasa untuk melakukan sesuatu terhadap mangsa. Bahasa menjadi alat untuk membina kepercayaan, mencipta tekanan, menawarkan harapan dan akhirnya mendorong kepatuhan.
Penipuan siber juga tidak boleh difahami sebagai tindakan memalsukan maklumat semata-mata. Penipuan siber ialah proses komunikasi yang tersusun. Mangsa bukan hanya ditipu oleh fakta palsu seperti barang yang tidak wujud, pelaburan yang tidak sah atau pekerjaan yang direka. Mangsa turut dipengaruhi oleh persona penipu yang kelihatan sah, hubungan yang kelihatan mesra dan bahasa emosi yang disusun untuk mendorong kepatuhan terhadap apa-apa yang diarahkan.
Penipu perlu kelihatan seperti penjual yang dipercayai, pegawai yang berautoriti, majikan yang profesional atau wakil pelaburan yang berjaya. Persona ini dibina melalui bahasa. Ayat seperti “kami trusted seller”, “pegawai kami akan bantu”, “platform kami selamat” dan “syarikat kami berdaftar” bukan sekadar hiasan komunikasi. Ayat-ayat ini membentuk gambaran bahawa penipu ialah pihak yang sah, cekap dan boleh dipercayai. Apabila persona ini sudah terbina, mangsa lebih mudah menerima arahan seterusnya. Pada tahap inilah bahasa menjadi topeng sosial terhadap penipuan. Penipu meminjam gaya bahasa pihak sah untuk membina kepercayaan palsu. Kata yang paling mudah dikenali dalam penipuan siber ialah kata arahan.
Penipu sering menggunakan arahan seperti “buat deposit dulu”, “klik link ini”, “hantar nombor TAC”, “lengkapkan tugasan”, “tambah modal” dan “jangan beritahu sesiapa”. Pada permukaan, frasa tersebut kelihatan seperti arahan biasa dalam urusan jual beli, pelaburan, pekerjaan atau pengesahan akaun. Namun begitu, frasa ini bertujuan menggerakkan mangsa melakukan tindakan yang menguntungkan penipu. Dalam penipuan jual beli, ayat “buat deposit dulu untuk booking barang” menjadikan bayaran awal kelihatan seperti prosedur biasa. Dalam penipuan pelaburan, ayat “sila tambah modal sebelum withdrawal dibuat” menjadikan bayaran tambahan kelihatan seperti syarat sistem. Dalam penipuan pekerjaan, ayat “lengkapkan tugasan dan hantar bukti bayaran” menjadikan penipuan kelihatan seperti proses kerja.
Kata seperti “sila”, “mohon”, “perlu” dan “segera” menjadikan arahan itu kelihatan sopan, namun berunsur desakan. Mangsa tidak berasa dipaksa, sebaliknya berasa sedang mematuhi prosedur. Hal inilah liciknya bahasa penipu. Arahan tidak disampaikan sebagai paksaan, tetapi sebagai langkah yang kononnya perlu diikuti. Selain kata arahan, penipu juga menggunakan kata yang meyakinkan. Kata jenis ini berfungsi membina realiti palsu supaya mangsa mempercayai bahawa sesuatu perkara benar-benar wujud. Dalam penipuan pelaburan, penipu mungkin menyatakan “modal puan sudah aktif dalam sistem”. Dalam penipuan pekerjaan, mangsa mungkin menerima ayat seperti “kerja ini sah” atau “permohonan anda sedang diproses”. Dalam penipuan penyamaran, ayat seperti “akaun bank tuan mempunyai transaksi mencurigakan” digunakan untuk mencipta situasi krisis. Kata seperti “sistem”, “akaun”, “pengesahan”, “proses”, “resit” dan “kelulusan” menjadikan mesej kelihatan rasmi.
Mangsa mungkin tidak sempat menilai sama ada maklumat itu benar atau palsu kerana bahasa yang digunakan menyerupai bahasa urusan harian yang biasa. Pelaburan palsu seolah-olah sedang bergerak dalam sistem yang sah. Realiti palsu ini dibina bukan melalui bukti yang kukuh, tetapi melalui ayat yang kelihatan meyakinkan.
Kata janji turut menjadi umpan yang sangat kuat dalam penipuan siber. Manusia mudah tertarik terhadap harapan, terutamanya apabila harapan itu berkaitan dengan wang, kerja, keuntungan atau penyelesaian masalah. Penipu memahami keadaan ini lalu menggunakan ayat seperti “keuntungan akan masuk dalam masa dua jam”. Mereka juga menulis “komisen akan dikreditkan selepas tugasan selesai”. Dalam penipuan jual beli, janji seperti “barang akan dihantar selepas bayaran penuh diterima” membuatkan mangsa berasa transaksi itu selamat. Dalam keadaan tertentu, penipu menambah janji seperti “jika barang rosak, kami akan refund semula”.
Kata seperti “akan masuk”, “akan dihantar”, “akan dikreditkan”, “refund semula” dan “dijamin” membina kepercayaan. Mangsa berasa bahawa tindakan mereka mempunyai pulangan yang pasti. Dalam penipuan pelaburan, janji keuntungan segera boleh menutup pertimbangan rasional. Dalam penipuan pekerjaan, janji komisen membuat mangsa terus menyelesaikan tugasan palsu. Harapan yang dicipta melalui bahasa akhirnya menjadi jerat. Mangsa terus bertindak kerana percaya bahawa ganjaran yang dijanjikan akan diterima. Penipu juga menggunakan kata yang menenangkan untuk mengurangkan keraguan mangsa.
Kata seperti “jangan risau”, “trusted seller”, “terima kasih kerana percaya”, “kami faham” dan “mohon kerjasama” kelihatan lembut dan sopan. Namun begitu, kata-kata ini memainkan peranan penting dalam usaha menjaga hubungan palsu antara penipu dengan mangsa.
Apabila mangsa mulai ragu-ragu, penipu mungkin menulis “jangan risau, kami trusted seller”. Apabila mangsa sudah membuat bayaran, penipu mungkin menulis “terima kasih kerana percaya dengan platform kami”. Apabila penipu mahu kelihatan rasmi, mereka menggunakan ayat “kami mohon kerjasama tuan”. Ungkapan seperti ini menjadikan penipu kelihatan prihatin, profesional dan boleh dipercayai. Mangsa mulai merasakan bahawa individu di balik mesej tersebut benar-benar membantu. Nada mesra mengurangkan kewaspadaan, manakala pujian melembutkan pertimbangan. Oleh itu, bahasa manis tidak boleh dipandang ringan dalam penipuan siber. Penipu tidak semestinya menjerit, mengugut atau memaki. Kadang-kadang, mereka menipu dengan ayat yang sopan. Kata yang menakutkan pula sering digunakan dalam penipuan dan penyamaran.
Penipu juga meniru bahasa pihak berkuasa, bank, mahkamah, syarikat penghantaran atau agensi kerajaan. Mangsa mungkin menerima mesej seperti “akaun anda telah dibekukan sementara”. Terdapat juga mesej yang berbunyi “kes tuan telah didaftarkan untuk tindakan lanjut”. Ayat seperti “saman akan dikeluarkan sekiranya tiada pengesahan dibuat” mencipta tekanan yang kuat. Kata seperti “dibekukan”, “kes”, “saman”, “tindakan lanjut”, “pengesahan” dan “pegawai” membawa bayangan autoriti. Mangsa yang panik mungkin tidak sempat menyemak kesahihan mesej tersebut. Mereka hanya mahu menyelesaikan masalah dengan segera. Dalam keadaan takut, seseorang lebih mudah mematuhi arahan. Penipu menggunakan ketakutan sebagai jalan pintas untuk mendapatkan kepatuhan. Autoriti palsu ini tidak dibina melalui kuasa sebenar. Autoriti palsu dibina melalui gaya bahasa yang kelihatan rasmi dan mendesak. Oleh hal yang demikian, bahasa rasmi yang palsu boleh menjadi senjata manipulasi yang sangat berkesan.
Satu lagi perangkap bahasa yang sangat berbahaya ialah desakan masa. Penipu sering menggunakan kata atau frasa seperti “sekarang”, “segera”, “hari ini sahaja”, “sebelum terlambat” dan “peluang terhad”. Kata-kata ini direka untuk mengecilkan ruang berfikir mangsa. Apabila mangsa berasa tergesa-gesa, mereka kurang menyemak maklumat dengan telitinya. Mereka mungkin tidak sempat menelefon bank, bertanya kepada ahli keluarga atau membuat carian rasmi. Ayat “peluang ini hanya untuk hari ini” menekan mangsa melalui rasa takut terlepas peluang. Ayat “akaun akan disekat jika lambat bertindak” pula menekan mangsa melalui rasa takut menerima hukuman. Kedua-dua bentuk ayat ini menggunakan emosi yang berbeza, tetapi tujuan yang sama. Penipu mahu mangsa berhenti berfikir dan segera mematuhi arahan. Bahasa desakan menjadi jam palsu yang memaksa mangsa bergerak mengikut masa penipu.
Larangan berkongsi maklumat juga merupakan tanda bahasa penipuan yang perlu diambil perhatian. Penipu sering menggunakan ayat seperti “jangan beritahu sesiapa”, “ini urusan sulit”, “jangan maklumkan kepada keluarga” atau “siasatan masih berjalan”. Pada permukaan, ayat ini kelihatan seperti arahan keselamatan. Namun begitu, ayat tersebut bertujuan memutuskan hubungan mangsa dengan bantuan luar. Penipu mengetahui bahawa penipuan mudah terbongkar jika mangsa bertanya kepada orang lain. Ahli keluarga, rakan, pegawai bank atau pihak berkuasa mungkin dapat mengenal pasti tanda penipuan dengan cepat. Oleh itu, mangsa perlu diasingkan daripada suara yang boleh menyedarkan mereka. Bahasa rahsia digunakan untuk membina ruang kawalan. Pada ruang ini, mangsa mulai bergantung pada arahan penipu kerana tiada pandangan kedua. Kerahsiaan palsu ialah dinding bahasa yang dibina untuk memerangkap mangsa.
Secara keseluruhannya, bahasa penipu siber mempunyai susunan yang boleh dikenali. Pada peringkat awal, penipu membina persona sah melalui kata seperti “trusted seller”, “pegawai kami”, “platform kami” atau “syarikat berdaftar”. Kemudian, mereka membina kepercayaan melalui kata yang meyakinkan seperti “kerja ini sah” atau “barang masih ada stok”. Selepas itu, mereka akan menawarkan harapan melalui ayat “keuntungan akan masuk” atau “komisen akan dikreditkan”. Mereka juga mengurus emosi melalui frasa seperti “jangan risau” dan “terima kasih kerana percaya”. Jika mangsa masih ragu-ragu, penipu mungkin menggunakan kata yang menakutkan seperti “akaun dibekukan” atau “saman akan dikeluarkan”. Akhirnya, penipu menggerakkan tindakan melalui kata yang mengarahkan mangsa seperti “buat bayaran sekarang”, “klik pautan ini” atau “hantar maklumat peribadi”.
Pola ini menunjukkan bahawa kegiatan penipuan tidak berlaku secara rawak. Penipu menyusun kata mengikut keadaan psikologi mangsa. Mereka mengetahui masa untuk kelihatan mesra, masa untuk berjanji dan masa untuk mendesak. Kempen kesedaran awam perlu memberikan perhatian yang lebih besar terhadap literasi bahasa. Nasihat seperti “jangan klik pautan” dan “jangan kongsi nombor TAC” memang penting. Namun begitu, masyarakat juga perlu diajar mengenal kata yang membina persona, membina hubungan, menjanjikan ganjaran, mencipta tekanan dan mendorong kepatuhan. Mesej yang terlalu mendesak perlu dicurigai. Janji keuntungan yang terlalu mudah perlu diperiksa. Dakwaan rasmi yang menakutkan perlu disahkan melalui saluran sebenar. Penipu mahu mangsa bergerak pantas, sedangkan keselamatan memerlukan pertimbangan yang tenang. Sehubungan dengan itu, sikap celik teknologi perlu berjalan seiring dengan sikap celik bahasa.
Kesimpulannya, bahasa mempunyai kuasa yang besar dalam kehidupan manusia. Namun begitu, bahasa juga boleh digunakan untuk memperdaya, menakutkan dan mengawal tindakan seseorang. Penipu siber memahami kuasa ini lalu menjadikan kata-kata sebagai alat utama mereka. Mereka mungkin bersembunyi di balik nombor telefon, akaun palsu atau gambar profil yang direka. Walau bagaimanapun, perangkap sebenar sering bermula daripada ayat yang kita baca dan percaya. Oleh itu, keselamatan digital tidak cukup dengan pengetahuan teknologi semata-mata. Kita juga perlu mempunyai kepekaan terhadap bahasa. Kenali kata seperti “segera”, “dijamin”, “jangan risau”, “akaun di bekukan, “jangan beritahu sesiapa” dan “buat bayaran sekarang”. Jangan biarkan kata-kata orang yang tidak dikenali menentukan tindakan kita.