Diterbitkan pada 31 Mac 2026, 09:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Secara zahir dan mudah, kedua-dua perkataan “alim” dan “arif” bermaksud tahu, tetapi jika mengikut konteks penggunaan, kedua-dua perkataan ini membawa makna yang berbeza. Kedua-duanya berkaitan dengan pengetahuan, tetapi “arif” sering kali menunjukkan tahap pemahaman yang lebih mendalam dan praktikal manakala “alim” selalunya menguasai perbincangan khususnya yang berkaitan dengan hal-ehwal keintelektualan. Secara ringkasnya, “alim” merujuk sifat tahu dan pandai berasaskan ilmu dan hujah akal, manakala “arif” merujuk sifat tahu dan bijak juga berasaskan ilmu dan juga pengalaman serta penghayatan peribadi.

Perkataan “alim” berasal daripada bahasa Arab, iaitu عَالِم yang bermaksud orang yang berpengetahuan atau orang yang berilmu. Dalam konteks bahasa Melayu, perkataan ini sering dikaitkan dengan hal ehwal agama Islam apabila “alim” mempunyai beberapa makna khusus seperti mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang agama Islam di samping memiliki sifat warak, iaitu sangat berhati-hati; zuhud, iaitu tidak mementingkan keduniaan; dan takwa, iaitu takut kepada Allah, patuh terhadap ajaran agama Islam serta rajin beribadat atau soleh. Istilah “alim” apabila digabungkan dengan ulama, iaitu “alim ulama” membawa maksud pakar atau ilmuwan agama Islam. Secara ringkas, “alim” merujuk seseorang yang mempunyai banyak ilmu atau mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu secara khusus.

Sama seperti “alim”, perkataan arif juga datang daripada bahasa Arab, iaitu عاريف yang bermaksud yang bijak, mengetahui, terpelajar, berwibawa dan bijaksana. Dalam bahasa Melayu, perkataan “arif” mempunyai beberapa pengertian yang bergantung mengikut konteks penggunaannya, iaitu pertama, yang mengetahui dan berpengetahuan luas. Pengertian ini merujuk seseorang yang memahami sesuatu perkara dengan mendalam atau mempunyai pengetahuan yang luas dalam bidang tertentu. Kedua, bijaksana yang sering dikaitkan dengan sikap bijak, waras, dan mampu membuat pertimbangan yang baik dan adil. Ketiga, terpelajar dan berilmu, iaitu seseorang yang berpendidikan atau berwibawa melalui ilmu yang dimilikinya. Secara ringkas, “arif” membawa maksud sifat kepandaian, kebijaksanaan dan pengetahuan yang mendalam. Perkataan ini boleh digunakan untuk memuji seseorang yang menunjukkan sikap yang matang dan berpengetahuan.

Perbezaan yang lebih ketara antara kedua-dua perkataan ini dapat dilihat dalam terminologi Islam, iaitu “alim” yang merujuk seseorang yang memiliki pengetahuan luas (ilm) melalui kajian dan logik, manakala “arif” atau selalunya disebut sebagai arif billah merujuk seseorang yang telah mencapai pemahaman yang mendalam, pengalaman dan rohani yang disebut sebagai makrifat melalui keinsafan batin dan cahaya ketuhanan.

Mengikut takrifan yang digunakan dalam Islam, individu yang digelar “alim” biasanya berpendidikan di madrasah atau universiti Islam, yang memelihara dan menjelaskan hukum-hakam dan ilmu agama seperti fiqh, hadis, tafsir, dan lain-lain. Sumber ilmunya diperoleh melalui pendidikan formal, buku, logik, dan usaha intelektual. Adapun fokusnya tertumpu pada bidang yang berkaitan dengan penerapan syariah secara zahir dan memberikan bimbingan hukum merangkumi fatwa. Contoh keluasan ilmunya adalah dengan mengetahui tentang sesuatu misalnya apakah buah zaitun dan kegunaannya melalui kajian dan pemahaman. Dari segi status atau kedudukannya dalam masyarakat, hal tersebut dipandang tinggi dan disegani kerana ketinggian ilmunya dan menjadi rujukan oleh banyak pihak sama ada dari kalangan pemimpin atau pemerintah mahupun dari kalangan rakyat atau orang awam.

Individu yang digelar “arif” pula dikaitkan dengan pelibatan mistik yang telah mencapai tahap kerohanian yang tinggi, disertakan dengan pengalaman ketuhanan yang mendalam, langsung dan intuitif. Sumber ilmu adalah berupa anugerah rohani daripada Allah SWT yang diterima melalui penyucian batin, pengabdian dan hubungan peribadi yang mendalam dengan Tuhan. Fokus seorang “arif” adalah tertumpu pada hakikat kerohanian dalaman, penyucian diri, dan hubungan peribadi yang mendalam dengan Allah SWT. Seorang “arif” merasai dan mengalami sendiri pengalaman misalnya merasai sendiri buah zaitun dan mengetahui khasiatnya setelah mengalami perubahan positif dalam diri berbanding dengan apa-apa yang seorang “alim” ketahui secara teori, iaitu melalui kajian dan pemahaman. Dari segi status, seorang “arif” biasanya tidak suka menonjolkan diri dan tidak dikenali orang ramai kerana sifatnya yang memberikan penekanan terhadap kerendahan hati dan wawasan rohani.

Ringkasnya, seorang “alim” mempunyai pengetahuan intelek dan teori yang luas, manakala seorang “arif” memiliki pemahaman yang mendalam, secara langsung dan pengalaman tentang hakikat ketuhanan yang melampaui pengetahuan kitab semata-mata. Oleh sebab itu, sering dikatakan bahawa setiap orang “arif” secara amnya adalah “alim” dalam beberapa kapasiti terutamanya dari aspek memiliki pengetahuan asas, tetapi tidak setiap orang “alim” itu adalah “arif”. Hal ini kerana “arif” telah mengorak langkah lebih jauh dengan menghayati dan meneroka pengalamannya pada peringkat rohani.

Perbezaan antara “alim” dan “arif” dengan lebih terperinci mengikut terminologi Islam boleh dilihat menerusi jadual yang berikut:

Ciri Alim (Ulama) Arif (Kesufian)
Asas Pengetahuan Pemahaman intelektual dan logik, selalunya melalui pendidikan formal seperti madrasah,universiti dan mengikuti pengajian teks. Pemahaman intuitif, pengalaman, dan rohani melalui introspeksi, penyucian hati, dan perjalanan rohani secara langsung.
Tumpuan Teori, ketetapan seperti fiqh, dan kesemua aspek yang boleh dipelajari menerusi teks. Amali yang melibatkan keadaan rohani, realiti dalaman, dan hubungan peribadi yang mendalam dengan Allah SWT.
Pengalaman Tahu tentang sesuatu (contohnya secara teori tahu tentang sesuatu sifat). Telah mengalami atau merasai realiti bagi sesuatu itu (contohnya telah mengalami atau merasai sifat itu sendiri).
Hubungan dengan Allah Beriman kepada Allah SWT berdasarkan bukti dan akal, tetapi tidak semestinya rasa takut dan cinta kepada Allah SWT secara mendalam. Mengalami cinta dan kesedaran yang mendalam terhadap Allah SWT dan merasakan kehadiran-Nya dalam segala sesuatu.
Hasil Menjadi rujukan bagi masyarakat dari segi memberikan pendapat hukum (fatwa). Mencapai keadaan manusia yang sempurna (insan kamil), bercirikan kerendahan hati yang mendalam dan akhlak yang patut dicontohi.
Status (Panggilan) Dianggap sebagai ulama atau fuqaha Gelaran yang sering digunakan ialah arif billah (yang mengetahui Allah SWT ).

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi