Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Menelusuri tujuh dekad perjalanan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di bumi Malaysia, sudah pasti rentang masa tersebut sarat dengan sejarah dan pelbagai cerita. Sejarah tentang kita sebagai pembaca dan cerita tentang bagaimana kita menjadi saksi kepada pertumbuhan ilmu pengetahuan yang disemai oleh institusi ini. Tarikh 22 Jun menjadi ruang untuk kita menoleh ke belakang, meninjau semula pelbagai pencapaian DBP demi menyuburkan pemikiran masyarakat melalui penerbitan karya yang bermanfaat.
Kepelbagaian wacana lahir daripada setiap himpunan aksara yang secara konsisten mengangkat bahasa Melayu sebagai wahana penyampaian ilmu, sama ada dalam bidang kemanusiaan mahupun sains dan teknologi. Bermula daripada pemeliharaan khazanah keilmuan Melayu, DBP kemudiannya membuka ruang terhadap penerbitan pelbagai buah fikiran anak tempatan, di samping memperkenalkan karya masyhur dari pelbagai pelosok dunia menerusi usaha penterjemahan. Sekali air bah, sekali pantai berubah, namun DBP tetap teguh menggalas tanggungjawab dan meneruskan sumbangannya berteraskan ilmu, bahasa dan budaya bangsa.
Ruang Khazanah Karya Klasik Melayu
DBP memainkan peranan penting sebagai penjaga dan penyebar khazanah pemikiran yang terkandung dalam kesusasteraan Melayu klasik kepada generasi semasa. Melalui penerbitan semula, penyuntingan ilmiah dan pemeliharaan teks lama, pelbagai karya agung Melayu terus dapat diakses oleh masyarakat. Usaha ini bukan sahaja memastikan warisan intelektual bangsa terus hidup, malah memperkukuh jati diri masyarakat Melayu yang berteraskan nilai sejarah, budaya dan tradisi ilmu. DBP juga tidak bertepuk sebelah tangan kerana karya seumpama ini terus mendapat sambutan pembaca walaupun sebahagian daripadanya diterbitkan dalam edisi yang lebih eksklusif.

Sebagai contoh, Hikayat Bayan Budiman telah diulang cetak beberapa kali untuk tatapan masyarakat masa ini yang ingin menimba pelbagai nilai murni daripada khazanah persuratan Melayu. Hikayat ini sarat dengan kisah teladan yang menonjolkan kebijaksanaan, kesetiaan dan kepentingan berfikir sebelum bertindak. Melalui jalan cerita yang menarik, pembaca dididik untuk berfikir secara rasional serta memahami akibat daripada sesuatu keputusan menerusi dialog antara seekor burung bayan dengan watak Bibi Zainab. Nilai tersebut masih relevan dalam kehidupan moden yang sering berhadapan dengan pelbagai cabaran moral dan sosial, lebih-lebih lagi pada era ledakan teknologi tanpa sempadan. Menariknya, kisah “Cerita Zahid dan Serimala dan Pandai Emas dan Pandai Tenun” dalam hikayat ini turut mengilhamkan Allahyarham Loloq untuk menghasilkan lirik lagu Berakit ke Langit nyanyian kumpulan XPDC.
Selain itu, DBP turut menerbitkan karya seperti Hikayat Perempuan Bernama Latifah yang memperlihatkan perkembangan pemikiran masyarakat Melayu terhadap kedudukan wanita, pendidikan dan kehidupan bermasyarakat. Karya ini memberikan gambaran tentang perubahan sosial yang berlaku dalam masyarakat pada zamannya. Pada masa yang sama, pembaca dapat menelusuri isu yang berkaitan dengan wanita dan keluarga telah dibincangkan dalam tradisi persuratan Melayu sejak dahulu lagi dalam kerangka masyarakat yang berteraskan nilai patriarki. Kesanggupan DBP menerbitkan karya transliterasi sebegini setidak-tidaknya membuka ruang kepada para pengkaji untuk menilai semula kedudukan wanita dalam masyarakat Melayu serta membahaskan peranan mereka mengikut tuntutan dan perubahan zaman.
Satu lagi karya penting yang diketengahkan oleh DBP ialah Taj Us-Salatin yang diterbitkan pada tahun 1992 melalui suntingan Khalid M. Hussain, sekali gus memberikan nafas baharu terhadap karya agung Bukhari al-Jauhari. Manuskrip ini telah beredar dalam dunia Melayu sejak dekad pertama abad ke-17 dan menawarkan sudut pandang bahawa siasah serta sahsiah masyarakat Melayu perlu berlandaskan wahyu al-Quran sebagai pedoman hidup. Mesej utamanya mengingatkan kita bahawa kehidupan bangsa Melayu bukan semata-mata berasaskan kerangka feudal ataupun kepercayaan yang bersifat sakral terhadap pemerintah. Keberanian DBP mengetengahkan karya seperti ini turut memperlihatkan kesungguhannya menyebarluaskan teks yang pernah dipinggirkan pada zaman kolonial British. Dalam konteks tersebut, Taj Us-Salatin menjadi sebahagian daripada lipatan sejarah yang mengukuhkan peranan DBP sebagai institusi ilmu dan kebudayaan bangsa.
Lanjutan daripada itu, DBP setidaknya telah menunaikan tanggungjawab untuk menghubungkan generasi hari ini dengan peninggalan karya agung generasi terdahulu yang berteraskan identiti bangsa dan bahasa. Melalui usaha penyuntingan serta penerbitan semula, masyarakat dapat menikmati karya lama yang kaya dengan pengajaran, pedoman dan teladan apabila dibaca dengan kaca mata yang kritis. Karya seperti Sulalatus Salatin, Hikayat Hang Tuah, Tuhfat al-Nafis, Hikayat Panca Tanderan dan Hikayat Pahang, misalnya menawarkan pengalaman bacaan yang pelbagai serta sarat dengan nilai sejarah dan pemikiran. Pada masa yang sama, DBP turut menyediakan ruang kepada pembaca untuk menikmati nukilan pemikir ulung seperti Raja Ali Haji melalui usaha sarjana tempatan seperti Abu Hassan Sham menerusi karya Puisi-puisi Raja Ali Haji. Hasilnya, naskhah seumpama ini terus hidup dan kekal relevan walaupun masyarakat sentiasa bergerak mengikut perubahan zaman.
Tempat Pertumbuhan Penulisan Pemikir Tempatan
Sejak penubuhannya, DBP berfungsi sebagai wadah utama dalam perkembangan penulisan ilmiah tempatan. Institusi ini membuka ruang kepada para sarjana, penyelidik dan pemikir Malaysia untuk menerbitkan hasil kajian dalam pelbagai bidang ilmu. Melalui penerbitan yang sistematik dan berkualiti, DBP bukan sahaja memperkayakan khazanah ilmu dalam bahasa Melayu, malah turut mengukuhkan kedudukan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu yang mampu mengungkapkan pelbagai wacana akademik. Dalam perjalanan panjangnya, DBP telah menjadi medan penting yang menemukan pemikiran, penyelidikan dan masyarakat pembaca dalam satu ekosistem ilmu yang terus berkembang.
Dalam bidang sains sosial, DBP telah menerbitkan pelbagai karya yang menyentuh aspek sejarah, politik, ekonomi, sosiologi, antropologi dan hubungan antarabangsa. Karya ini membantu masyarakat memahami isu semasa dan perkembangan negara melalui perspektif akademik yang lebih mendalam. Pada masa yang sama, penerbitan tersebut menjadi sumber rujukan penting kepada pelajar, guru dan penyelidik di institusi pendidikan tinggi. Buktinya dapat dilihat menerusi penerbitan karya seperti Tamadun Rusia karya Zulkanain Abdul Rahman dan Konflik Bosnia-Herzegovina 1875-1918 karya Azlizan Mat Enh yang membuka jendela pengetahuan kepada pembaca untuk mengenali masyarakat, sejarah dan pengalaman negara lain di luar Malaysia.
Pada masa yang sama, DBP turut memberikan perhatian yang besar terhadap penerbitan dalam bidang sains tulen. Buku berkaitan fizik, kimia, biologi, matematik, teknologi dan geografi diterbitkan bagi memenuhi keperluan pendidikan negara serta memperluas akses masyarakat terhadap ilmu saintifik. Usaha ini membuktikan bahawa bahasa Melayu mampu berfungsi sebagai medium penyampaian ilmu yang berkesan tanpa bergantung sepenuhnya terhadap bahasa asing. Lebih penting lagi, penerbitan tersebut memperlihatkan keupayaan bahasa Melayu untuk mengungkapkan konsep saintifik dan wacana akademik yang kompleks dengan jelas serta bermutu tinggi.

Selain penerbitan buku ilmiah, DBP juga bijak memperluas capaian ilmu melalui wadah yang lebih santai dan dekat dengan masyarakat. Terbitan majalah seperti Dewan Bahasa, Dewan Budaya, Dewan Tamadun Islam, Dewan Kosmik, Dewan Ekonomi, Dewan Sastera dan Dewan Masyarakat menjadi bukti kesungguhan DBP untuk menyebarluaskan ilmu pengetahuan kepada khalayak yang lebih luas. Menerusi pelbagai kolum dan rencana yang diterbitkan, para penulis berbilang kaum dan latar belakang kepakaran yang berbeza dapat berkongsi pandangan, hasil penyelidikan dan pengalaman mereka untuk manfaat pembaca. Tradisi ini telah mewujudkan budaya ilmu yang subur dan merancakkan perbincangan intelektual dalam kalangan masyarakat.
Bagi golongan pelajar pula, DBP menyediakan bahan bacaan yang bersesuaian melalui penerbitan seperti majalah Dewan Siswa, Dewan Pelajar dan Pelita Bahasa. Majalah ini menjadi pintu masuk bagi dunia ilmu, bahasa dan pemikiran yang lebih luas. Seiring dengan perubahan zaman, DBP turut memanfaatkan platform digital dan penerbitan dalam talian bagi memastikan hasil penulisan ilmiah terus dapat diakses oleh masyarakat dengan lebih mudah dan pantas. Perkembangan ini menunjukkan bahawa DBP sentiasa menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi tanpa mengabaikan matlamat asalnya untuk menyebarkan ilmu, ditambah dengan sifat progresif dalam kalangan editor majalah yang terlibat. Justeru, tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa DBP telah berjaya menjadikan wacana intelektual sebagai milik bersama yang dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang dan generasi.