Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMenurut Imam Al-Ghazali sebagaimana yang dikutip dari penelitian Siti Adila Layalia bertajuk “Al-Ghazālī’s Perspective on Human Spiritual Components: Heart, Spirit, Soul, and Intellect” dalam Al-Falasifah: Journal of Philosophy and Islamic Studies, perbezaan utama antara “alim” dan “arif” ialah “alim” ialah orang yang memiliki ilmu dengan cara perolehan dan usaha intelektual, manakala “arif” ialah orang yang memiliki makrifat dalam bentuk intuitif, pengalaman, dan anugerah Tuhan. Keadaan “arif” dianggap sebagai darjat kerohanian yang lebih tinggi berbanding dengan “alim” dalam tradisi sufi.
Selanjutnya Imam Al-Ghazali membezakan antara kedua-duanya dari segi sumber pengetahuan. Pengetahuan bagi orang “alim” sebahagian besarnya diperoleh melalui cara konvensional seperti pembelajaran, kajian, dan usaha rasional atau intelek yang disebut sebagai ilm al-husuli atau ilm al-‘aql. Makrifat di sisi orang “arif” pula ialah ilmu yang langsung, segera, dan intuitif yang disebut sebagai ilm al-huduri atau ilm al-kashf yang merupakan anugerah istimewa daripada Allah SWT yang dikenali sebagai cahaya atau sinaran Allah SWT sebagai anugerah kepada hamba-Nya.
Menurut Imam Al-Ghazali, seorang “alim” memahami hukum dan sifat Tuhan berdasarkan bukti intelektual dan bukti teks yang memberikan kepercayaan, tetapi mungkin kekurangan pengalaman peribadi yang mendalam. Adapun seorang “arif” mencapai pemahaman yang transformatif dan intim tentang realiti Ilahi yang mengatasi pemahaman intelektual semata-mata, iaitu dengan pemahaman dan pengalaman yang mendalam.
Ilmu seorang “alim” disifatkan sebagai melihat api dari jauh, manakala makrifat seorang “arif” adalah seperti cahaya yang terpancar daripada nyalaan api, yakni pengalaman langsung kepanasan dan pencahayaannya. Dengan demikian, seorang “arif” digambarkan telah mencapai kemuncak segala ilmu kerana dekatnya kedudukannya dengan Allah SWT apabila individu tersebut mengalami kedekatan (dhawq) dengan Allah SWT.
Seorang “alim” berurusan dengan ilmu agama eksoterik antaranya termasuklah fiqh dan tafsir, manakala seorang “arif” mementingkan dimensi dalaman yang merujuk esoterik iman, jalan kerohanian (tariqah), realiti muktamad (haqiqah), memfokuskan terhadap penyucian jiwa (tazkiah al-nafs) dan rahsia peraturan Allah SWT.
Ahli sosiologi dan pemikir abad ke-14, iaitu Ibn Khaldun membezakan antara “alim” dengan “arif” melalui sumber dan sifat pengetahuan mereka sebagaimana menurut rangkuman Fadillah Ulfa yang bertajuk “Ibnu Khaldun’s Thoughts on Sufism Through his Books al-Muqaddima and Syifa’ al-Sail Nuansa”. Apa-apa yang dimaksudkan oleh Ibn Khaldun di sini ialah perbezaan antara “alim” dengan “arif” terletak pada kaedah atau cara mereka memperoleh ilmu dan sifat ilmu yang mereka cari.
“Alim” memperoleh ilmu melalui cara konvensional, khususnya menerusi pembelajaran, penyelidikan, dan spekulasi intelektual (‘aql). Domain mereka ialah ilmu rasional (ulum ‘aqliyah) dan ilmu yang diturunkan (ulum naqliyah) yang diperoleh melalui pendidikan dan pengajian. Ilmu ini secara umumnya ditanggapi melalui pancaindera dan akal serta mesti menepati fakta luaran dan nas agama yang ditetapkan menurut al-Quran dan sunah.
“Arif” pula mencari jenis pengetahuan yang berbeza, yang sering disebut sebagai irfan atau makrifat, yang merupakan persepsi langsung dan intuitif tentang realiti rohani. Pengetahuan ini tidak diperoleh melalui kajian atau deduksi rasional, tetapi melalui latihan rohani, zuhud, dan proses penyucian jiwa (nafs) yang membolehkan penerimaan bantuan atau pencerahan Ilahi. Hal ini sebagaimana menurut penelitian Aliah Schleifer bertajuk “Ibn Khaldun’s Theories of Perception, Logic and Knowledge: An Islamic Phenomenology” dalam American Journal of Islamic Social Sciences.
Jalan harmoni antara “alim” dengan “arif” boleh dilihat menerusi pandangan Imam Al-Ghazali yang menyatakan bahawa pengetahuan tetap dianggap sebagai langkah awal pada jalan kerohanian sebagaimana yang dikutip dari penelitian Kholili Hasib, Amal Fathullah Zarkasyi dan Muhammad Khalid Muslih bertajuk “Intuition According to Imam al-Ghazali and It’s Role as Methods of Acquiring Knowledge” dalam Kalam, jilid 18. Dalam bahasa yang lebih mudah, memiliki pengetahuan dan membasmi kejahilan merupakan prinsip paling penting. Dengan kata lain, asas untuk mencapai “arif” mestilah terlebih dahulu menjadi “alim”. Hanya selepas memiliki pengetahuan yang sempurna, maka barulah seseorang dapat berada pada tahap “arif” yang mencapai keintiman yang mendalam, transformatif dengan Ilahi yang melampaui kefahaman intelektual semata-mata dan membawa ke arah kesedaran langsung tentang kewujudan yang hakiki.
Pada dasarnya, seorang “alim” mempunyai pengetahuan tentang Tuhan dan perintah-Nya melalui kajian, manakala seorang “arif” mempunyai pengetahuan langsung, pengalaman tentang zat Tuhan dan rahsia tersembunyi alam semesta melalui kesedaran rohani. Di sini Imam Al-Ghazali menekankan bahawa seseorang yang hendak sampai pada pengalaman rohani mestilah mempunyai kesedaran terhadap pengetahuan menerusi akalnya, iaitu kedua-duanya adalah saling melengkapi dan pada akhirnya tidak melampaui batas akal atau kewarasan individu, di samping pada masa yang sama dapat memberikan dirinya rasa rohani langsung untuk mencapai keadaan “arif”. Oleh sebab itulah dikatakan bahawa walaupun Imam Al-Ghazali mengesahkan pengalaman sakr (mabuk) sebagai sebahagian daripada perjalanan mistik, tetapi beliau menekankan tentang keperluan untuk bergerak melampauinya kembali pada keadaan sahw yang makrifat. Hal ini merujuk kembalinya diri kepada keadaan tenang selepas rohani mengalami kemabukan (sakr) atau keghairahan dalam kehadiran Ilahi untuk kehidupan rohani yang lengkap dan sempurna selaras dengan hukum dan akal Islam sebagaimana menurut tulisan Kamarudin Haji Salleh yang bertajuk “An Examination on the Nature of al-Ghazali Sufism”.
Tokoh sufi paling berpengaruh pada abad ke-12, Ibn Arabi menganggap bahawa pengetahuan makrifat yang dimiliki oleh golongan “arif” sebagai bentuk pengetahuan yang lebih tinggi dan lebih lengkap daripada ilmu yang merupakan bentuk pengetahuan yang dimiliki oleh golongan “alim”. Hal ini kerana pengetahuan tersebut adalah kesedaran dalaman secara langsung tentang realiti ketuhanan dan bukannya pemahaman intelektual tentang maklumat luaran semata-mata. Alasannya ialah “arif” mempunyai darjat kerohanian yang lebih tinggi daripada “alim” dalam hierarki sufi, kerana pengetahuan mereka berdasarkan penyaksian kebenaran secara langsung (shuhud) dan bukannya pengetahuan tentang konsep semata-mata.
Walaupun beliau tidak menjelaskan dengan tuntas bahawa menjadi “alim” itu adalah prasyarat yang ketat atau mencukupi untuk menjadi “arif” dan memandang bahawa makrifat itu adalah bentuk pengetahuan yang lebih tinggi, namun Ibn Arabi tetap menekankan bahawa pengalaman dan ilmu mistik itu mesti ditimbangi dengan cahaya syariat (hukum Islam) dan ajaran Nabi Muhammad SAW yang menunjukkan bahawa pengetahuan yang berlandaskan teks seperti al-Quran dan hadis masih menjadi kerangka panduan yang penting, bukan sesuatu yang boleh diabaikan begitu sahaja.
Kesimpulannya, “alim” dan “arif” dalam kerangka pengetahuan mempunyai pemberat yang berbeza. Jika ditimbang antaranya kedua-duanya, maka “alim” berada pada kedudukan yang lebih ringan kerana tumpuannya terletak pada mengetahui, menimbang tara atau menilai berdasarkan kefahaman. Adapun “arif” memiliki ciri yang lebih spesifik melangkaui ciri yang dimiliki “alim”, iaitu mereka mengalami dan merasai sendiri pengetahuan tersebut. Seperti mana yang disebut oleh Imam Al-Ghazali dalam karyanya yang bertajuk Ayyuhal Walad . Menurut beliau,“Dan setiap urusan rasa, menyifatinya tidaklah dapat dijelaskan dengan ucapan seperti manisnya sesuatu yang manis dan pahitnya sesuatu yang pahit, kamu tidak akan mengerti kecuali merasakannya”. Mesej utama yang hendak disampaikan di sini ialah ilmu perlu diamalkan bukan sekadar diketahui, demi mencapai hakikat dan kemanisan iman serta makrifat Allah SWT.