Diterbitkan pada 1 Julai 2026, 11:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pernyataan bahawa pengukuhan bahasa ibunda dapat mempermudah penguasaan bahasa kedua bukanlah sesuatu yang baharu. Pernyataan ini bermula daripada suatu hipotesis, kemudian dibuktikan dalam banyak kajian di seluruh dunia. Hal ini bermula daripada hipotesis perkembangan kesalingbergantungan (developmental interdependence) yang digagaskan oleh James Cummins (1979) melalui kertas kerjanya, iaitu “Linguistics Interdependence and the Educational Development of Bilingual Children”.

Cummins mempersoalkan tentang mengapakah segelintir pelajar didapati lemah dalam dua bahasa, iaitu bahasa ibundanya sendiri dan bahasa kedua yang digunakan di sekolah seperti bahasa Inggeris? Beliau mencadangkan cara penelitian dibuat dengan serius melalui lensa bahasa. Bahasa merupakan faktor terbesar berlakunya fenomena ini. Apabila seorang pelajar itu berbahasa ibunda di rumah, kemudian mempelajari bahasa asing seperti bahasa Inggeris di sekolah, di samping subjek tertentu yang diajarkan dalam bahasa Inggeris tanpa mengira tahap penguasaan bahasa tersebut dalam kalangan pelajar akan memberikan cabaran yang besar kepada mereka. Mereka berisiko untuk tidak dapat menguasai kedua-dua bahasa.

Fenomena lemah dalam dua bahasa dinamakan sebagai semilingualisme. Bahasa asing tidak difahami, bahasa ibunda pula tidak dikuasai. Fenomena semilingualisme bukanlah sesuatu yang baharu kerana hal ini dapat dilihat jelas dipraktikkan di negara Afrika seperti Tanzania dan Kenya yang rata-rata menggunakan bahasa penjajah sebagai bahasa pengantar pendidikan.

Global Monitoring Report (2016) yang dijalankan oleh UNESCO mendapati bahawa hampir setengah populasi di dunia tidak mendapat pendidikan dalam bahasa ibunda dan hal ini merupakan faktor utama kegagalan pembangunan manusia di Afrika yang berlaku pada hari ini. Sebaliknya, apabila bahasa ibunda mulai digunakan sebagai bahasa pengantar pendidikan, para pelajar dilihat dapat mencapai tahap akademik yang tinggi seperti di Filipina.

Dalam bab penguasaan bahasa kedua pula, negara yang mengutamakan bahasa sendiri adalah lebih fasih dalam bahasa kedua berbanding dengan negara kita Malaysia yang mengamalkan “Program Dwibahasa”.

Sekiranya dilihat statistik kefasihan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di seluruh negara, English Proficiency Index (EF-EPI), didapati bahawa Malaysia yang menggunakan dwibahasa tidak tersenarai, sebaliknya negara yang mengutamakan bahasa ibunda seperti Belanda, Sweden, Norway dan Finland dilihat jauh lebih fasih berbahasa Inggeris daripada negara ini.

Sweden dan Finland menggunakan bahasa kebangsaan masing-masing sebagai bahasa pengantar pendidikan dan bahasa Inggeris diajar secara terancang. Hal ini merupakan rahsia kejayaan mereka. Mereka tidak meminggirkan bahasa sendiri semata-mata untuk bersaing di pentas antarabangsa, sebaliknya mereka memandaikan bangsa dengan bahasa sendiri, kemudian memasukkan bahasa Inggeris sebagai pelengkap.

Keunggulan ini dibahaskan dengan terperinci oleh James Cummins juga dalam bukunya pada tahun 2000, iaitu Language, Power and Pedagogy: Bilingual Children in the Crossfire. Model Sweden dan Finland ini wajar dijadikan bukti hidup bahawa pendidikan dalam bahasa ibunda dapat memudahkan penguasaan bahasa kedua, sekali gus memahamkan pelajar tentang kandungan subjek lain seperti Sains dan Matematik dengan lebih berkesan.

Golongan yang ingin mengutamakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar pendidikan perlulah mengambil pengajaran daripada kegagalan program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sekitar tahun 2009 demi meningkatkan keputusan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA). Ironinya, apabila PPSMI dimansuhkan, keputusan PISA negara ini memperlihatkan keputusan yang agak memberangsangkan. Secara logiknya, hal tersebut menunjukkan rata-rata pelajar kita yang berbahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan berdaya memperoleh keputusan yang cemerlang dalam PISA.

Oleh itu, usaha mengangkat bahasa Inggeris sebagai satu-satunya bahasa pengantar pendidikan adalah langkah yang tidak wajar kerana langkah tersebut telah meminggirkan keperluan sebahagian besar rakyat Malaysia. Sudah semestinya golongan elit akan menyokong penggunaan bahasa Inggeris, tetapi negara ini tidak akan maju jika hanya bertumpu pada kehendak satu golongan semata-mata. Kita seharusnya melihat dari sudut yang lebih luas.

Makalah ini bukanlah bertujuan menafikan kepentingan bahasa Inggeris, sebaliknya mengajak pembaca agar meneliti model Finland dan Sweden. Hal ini kerana mereka mengutamakan bahasa ibunda untuk membentuk sistem kognitif yang mantap, sebelum mereka memperkenalkan pengajaran bahasa Inggeris secara sistematik.

Dengan penguasaan bahasa ibunda yang mantap, lebih mudahlah mereka untuk menguasai bahasa kedua kerana pembelajaran bahasa kedua ini akan menjadi input yang lebih komprehensif, seperti kata Stephen Krashen, comprehensible input. Seandainya bahasa pertama mereka masih belum kukuh, maka itu apakah asas yang boleh digunakan untuk menguasai bahasa kedua? Hal ini akan mencampakkan mereka ke dalam lingkaran semilingualisme, bahasa pertama lemah, bahasa kedua yang dikatakan global turut tidak dapat dikuasai dengan baik.

Oleh hal yang demikian, penulis mencadangkan pembelajaran hendaklah dijalankan dalam bahasa ibunda terlebih dahulu, kemudian barulah diperkenalkan bahasa global secara sistematik. Memasukkan seberapa banyak bahasa ke dalam minda anak-anak tanpa struktur yang sistematik akan membawa lebih banyak kelemahan berbanding dengan kemaslahatan seperti yang berlaku di Afrika.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi