Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDemam Piala Dunia FIFA (Fédération Internationale de Football Association) 2026 kini berada pada tahap kemuncaknya apabila 48 buah negara bersaing untuk merebut gelaran juara bola sepak dunia dalam penganjuran edisi ke-23 kejohanan berprestij tersebut. Kejohanan yang buat pertama kalinya dianjurkan oleh tiga buah negara, iaitu Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico ini menampilkan pelbagai pembaharuan, termasuk peningkatan jumlah pasukan yang bertanding, pertambahan bilangan perlawanan serta pelaksanaan tempoh rehat penghidratan pada setiap separuh masa.
Meskipun landskap bola sepak terus berubah seiring perkembangan teknologi, peraturan dan profesionalisme sukan hakikatnya bola sepak tetap sama. Permainan ini terus menjadi bahasa sejagat yang menyatukan masyarakat tanpa mengira bangsa, budaya dan negara.
Meneliti dengan lebih mendalam, bola sepak bukan sekadar menyajikan aksi yang mendebarkan, malah memperkenalkan pelbagai istilah kepada penontonnya. Ironinya, dalam keghairahan mengikuti setiap detik perlawanan, kita sering lebih akrab dengan istilah bahasa Inggeris berbanding dengan padanan bahasa Melayunya. Istilah seperti offside, corner kick, hat-trick, clean sheet dan assist lebih lazim digunakan berbanding dengan padanan bahasa Melayu seperti ofsaid, sepakan penjuru, hatrik, gawang bersih dan bantuan gol. Keadaan ini memperlihatkan bahawa penggunaan istilah bahasa Inggeris lebih diutamakan dalam wacana bola sepak di negara kita. Bagi memartabatkan bahasa Melayu, istilah sukan dalam bahasa Melayu mulai diperluas dalam kalangan pengulas sukan, pembaca berita dan penulis makalah dalam bidang ini.
Pembentukan istilah dan perkataan yang majoritinya dalam bahasa Inggeris ini juga menitikberatkan ketepatan maksud serta kesesuaian perkataan baharu supaya difahami oleh penuturnya. Terdapat beberapa kaedah dan struktur pembentukan istilah ini yang boleh dibahagikan kepada jenis pola tertentu.
Peminjaman Istilah dengan Penyesuaian Ejaan
Berdasarkan buku Pedoman Umum Pembentukan Istilah Bahasa Melayu, penyerapan istilah asing hanya dapat dipinjam atas tiga dasar utama, iaitu kesesuaian maknanya, istilah tersebut lebih singkat daripada terjemahan bahasa Melayu serta istilah asing tersebut mudah diselaraskan lebih-lebih lagi jika istilah bahasa Melayu mempunyai banyak sinonim. Dalam kebanyakan situasi, peminjaman kata daripada bahasa asing khususnya bahasa Inggeris dilihat menjadi suatu keperluan atas tuntutan perkembangan pelajaran (Abbas Mohd Shariff, 1986). Penyesuaian ejaan ini boleh digolongkan kepada tiga kategori:
i) Istilah yang telah sebati
Istilah yang sudah sebati ini menunjukkan bahawa pengucapan dan penulisan kosa kata tersebut sudah menjadi kebiasaan dan diterima dalam masyarakat yang berbahasa Melayu. Istilah asing yang sudah lama digunakan hendaklah terus dipakai walaupun berkemungkinan tidak sesuai dengan peraturan bagi mengelakkan salah faham.
Sebagai contoh, istilah “gol” merupakan bentuk yang telah disesuaikan daripada perkataan goal. Dalam bahasa Inggeris, goal merujuk sasaran atau jaringan yang berjaya dihasilkan oleh sesebuah pasukan. Dalam bahasa Melayu, istilah “gol” bukan sahaja merujuk jaringan, malah telah berkembang penggunaannya dalam pelbagai ungkapan seperti menjaringkan gol, gol sendiri, gol kemenangan, gol penyamaan, gol pembukaan, gol tunggal, gol emas dan gol lewat permainan. Penggunaan istilah ini begitu meluas sehingga masyarakat tidak lagi menggunakan bentuk asal goal dalam komunikasi harian.
Selain itu, istilah “penalti”, yang dipinjam daripada perkataan penalty telah melalui proses penyesuaian ejaan dan sebutan. Dalam bola sepak, penalti merujuk sepakan yang diberikan akibat kesalahan yang dilakukan oleh pemain yang bertahan di dalam kawasan penalti. Istilah ini digunakan secara meluas dalam pelbagai konteks seperti sepakan penalti, tendangan penalti, penentuan penalti dan kawasan penalti. Penggunaan bentuk asal penalty hampir tidak ditemukan dalam penulisan bahasa Melayu kerana istilah “penalti” telah menjadi bentuk yang mantap dan baku.
Begitu juga dengan istilah “liga”, yang dipinjam daripada perkataan league. Pada asalnya, istilah ini merujuk gabungan beberapa pasukan yang bertanding dalam satu sistem pertandingan. Dalam bahasa Melayu, istilah “liga” telah menjadi istilah baku dan digunakan secara meluas bagi nama pertandingan seperti Liga Super Malaysia, Liga Perdana Inggeris, Liga Juara-juara, Liga Europa UEFA dan Liga Negara-negara UEFA. Penggunaan bentuk league dalam konteks bahasa Melayu dianggap tidak lagi sesuai kerana istilah “liga” telah mantap dan diterima sebagai bentuk standard.
Istilah ini digunakan secara meluas dalam media, penyiaran sukan dan dokumen rasmi sehingga penutur bahasa Melayu tidak lagi menganggapnya sebagai perkataan bahasa asing. Proses penyerapan ini membuktikan bahawa bahasa Melayu mampu menerima unsur asing tanpa menjejaskan sistem bahasanya.
ii) Istilah yang belum terserap sepenuhnya
Terdapat juga beberapa istilah yang belum terserap sepenuhnya dalam kamus bahasa Melayu disebabkan kewujudan istilah yang agak baharu dan kesesuaian istilah asal dengan maksudnya berbanding dengan padanan istilah baharu dalam bahasa Melayu. Istilah asing tertentu ini akan dikekalkan sebutan dan ejaannya dalam semua bahasa, digunakan juga dalam bahasa Melayu dengan syarat diberi garis bawah atau dicetak miring.
Dalam sukan bola sepak, istilah yang belum menerima penyerapan penuh ini dikaitkan dengan kemunculan strategi dan taktikal baharu dalam bidang sukan itu. Sebagai contoh, dalam perlawanan antara pasukan Perancis menentang Paraguay, pasukan Paraguay mengetengahkan sistem pertahanan yang ketat yang juga disebut sebagai catenaccio. Hal ini bertujuan untuk mengheret masa perlawanan ke masa tambahan dan memaksa penentuan sepakan penalti diperlukan bagi menentukan pemenang. Strategi catenaccio merupakan taktik bola sepak yang pernah diguna pakai oleh pasukan Itali, iaitu pemain pertahanan harus rapat dengan gawang gol untuk menyulitkan serangan daripada penyerang tengah.
Dalam perlawanan separuh akhir antara pasukan Sepanyol dengan Perancis, istilah tiki-taka mulai membanjiri komen warga Thread apabila pasukan Sepanyol menguasai permainan menerusi corak tiki-taka dengan melakukan siri hantaran pendek yang tepat di bahagian tengah formasi bagi mengawal tempo perlawanan dan membuka ruang untuk menghasilkan jaringan. Ejaan istilah taktikal ini mengguna pakai hukum yang sama dengan istilah catenaccio, iaitu turut dikekalkan dalam bentuk asal kerana merujuk falsafah permainan yang sangat khusus dan tidak mempunyai padanan bahasa Melayu yang benar-benar setara. Istilah ini berasal daripada bahasa Sepanyol dan dipopularkan oleh pasukan kebangsaan Sepanyol serta kelab Barcelona pada penghujung dekad 2000-an.
Selain itu, istilah sweeper keeper semakin popular dalam bola sepak moden kerana peranan penjaga gol kini tidak lagi terhad sebagai benteng terakhir pasukan. Sebaliknya, penjaga gol turut memainkan peranan penting bagi memulakan serangan dengan melakukan hantaran yang tepat kepada rakan sepasukan dari kawasan sendiri. Berbeza dengan penjaga gol tradisional yang kebanyakannya kekal berhampiran garisan gol, sweeper keeper berani bergerak keluar dari kawasan penalti untuk memintas hantaran lawan, menutup ruang di belakang barisan pertahanan dan membantu mengekalkan garisan pertahanan yang tinggi.
Peranan ini memerlukan penjaga gol mempunyai kebolehan membaca permainan, mengawal bola menggunakan kaki dan membuat hantaran yang tepat. Selain itu, pada minit-minit terakhir perlawanan apabila pasukan sedang ketinggalan satu gol, penjaga gol juga sering naik ke kawasan penalti lawan ketika sepakan penjuru bagi menambah bilangan pemain yang menyerang. Tindakan ini bertujuan untuk meningkatkan peluang pasukan mendapatkan gol penyamaan atau gol kemenangan sebelum wisel penamat dibunyikan.
Istilah yang belum terserap sepenuhnya juga merangkumi pembentukan akronim untuk istilah tertentu dalam dunia bola sepak moden. Pengakroniman ini lazimnya merujuk organisasi atau teknologi antarabangsa yang lebih sesuai untuk dikekalkan dalam penulisan dan dikenali secara universal dalam bidang tersebut. Istilah ini tidak diterjemahkan kerana merupakan nama rasmi atau singkatan antarabangsa. Sebagai contohnya, akronim FIFA, UEFA dan VAR ditulis mengikut pengakroniman perkataan daripada bahasa Inggeris. Meskipun istilah ini belum diserap sepenuhnya, ejaan istilah ini tidak perlu dicondongkan. Pengekalan bentuk asal membantu mengekalkan identiti dan mengelakkan kekeliruan dalam komunikasi global.
iii) Istilah yang mengalami penyesuaian ejaan
Bagi pembentukan istilah bahasa asing ini, kategori yang ketiga ialah istilah yang mengalami penyesuaian dan perubahan ejaan serta lebih banyak diimplementasikan dalam penyerapan bahasa asing. Tujuannya adalah untuk memudahkan sebutan dan penulisan oleh pengguna bahasa Melayu tanpa menghilangkan hubungan dengan istilah asal. Istilah seperti “ofsaid” dan hatrik menunjukkan proses penyesuaian ejaan mengikut sistem bahasa Melayu.
Penyesuaian ini sejajar dengan prinsip pembentukan istilah yang menitikberatkan keselarasan dengan sistem fonologi dan ortografi bahasa Melayu. Dalam Pedoman Umum Ejaan Bahasa Melayu, terdapat 54 kaedah penyesuaian ejaan yang telah disenaraikan. Sebagai contoh, dengan menggunakan hukum ke-53, konsonan ganda dalam bahasa asing perlu diubah kepada konsonan tunggal dalam bahasa Melayu menyebabkan perkataan offside disesuaikan menjadi “ofsaid”. Perkataan ini telah menerima pengguguran konsonan ganda iaitu huruf [f]. Perkataan asal hat-trick juga diterjemahkan kepada “hatrik” dalam bahasa Melayu.
Berdasarkan analisis dalam bidang fonologi oleh Muhammad Firdaus dan Sharifah Raihan (2021) perubahan bunyi bagi kata yang dipinjam daripada bahasa asal berlaku disebabkan adaptasi daripada bahasa sumber kepada bahasa peminjam. Apabila proses peminjaman ini berlaku, semestinya akan wujud bentuk fonologi yang tidak dibenarkan dalam bahasa peminjam. Bentuk fonologi ini merangkumi kelainan bunyi yang dituturkan penutur. Tambahan lagi, kelainan sebutan ini berlaku disebabkan oleh elemen bukan natif, iaitu kata yang diserap telah mengalami proses nativasi sepenuhnya.