Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPada Jun lalu, Amerika Syarikat dan Iran menandatangani Memorandum Persefahaman Islamabad, sebuah kerangka persetujuan bagi menamatkan perang antara dua negara yang bermula Februari tahun ini. Walaupun memorandum yang mengandungi 14 perkara itu bukanlah perjanjian damai muktamad, hal ini telah menunjukkan bahawa Iran telah muncul sebagai kuasa yang berpengaruh besar apabila Amerika dilihat mulai mengalah terhadap tuntutan Iran. Amerika bersetuju menggantung pelbagai sekatan ke atas eksport minyak Iran, menarik keluar sekatan tenteranya secara berperingkat, malah bersetuju membangunkan pelan pembangunan semula dan ekonomi Iran yang bernilai sekurang-kurangnya USD 300 bilion. Namun bagi Iran, kemenangan yang lebih besar daripada itu adalah apabila buat julung kalinya dalam sejarah hubungan dua negara ini, teks bahasa Parsi ditandatangani bersama-sama dengan teks bahasa Inggeris dan diiktiraf sebagai dokumen rasmi yang sah sepenuhnya dan bukan sekadar terjemahan sampingan.
Pengiktirafan ini tidak datang dengan mudah. Sumber rapat delegasi Iran mendedahkan bahawa sejak awal rundingan, Tehran mendesak agar perjanjian digubal dan ditandatangani dalam kedua-dua bahasa, dengan kedua-dua teks mempunyai kekuatan dan impak perundangan yang setara. Pihak Amerika pada mulanya enggan, dengan pelbagai dalih prosedur. Namun Iran tidak berganjak. Jurucakap Kementerian Luar Iran kemudiannya mengesahkan bahawa Washington akhirnya akur kepada tuntutan tersebut.
Mengapakah Iran begitu berkeras mempertahankan satu perkara yang pada zahirnya kelihatan teknikal sahaja? Bak kata Menteri Luar Iran, Abbas Aragchi, “Iran mengambil iktibar daripada sejarahnya”. Pada tahun 1953, rampasan kuasa yang diatur CIA dan MI6 menjatuhkan kerajaan terpilih Iran demi kepentingan minyak Barat. Pada tahun 1979, Revolusi Islam memutuskan hubungan diplomatik dengan Amerika selepas krisis tebusan kedutaan yang berlarutan selama 444 hari. Seterusnya pada tahun 2018, Presiden Trump menarik diri secara unilateral daripada Perjanjian Komprehensif Tindakan Bersama (JCPOA) dengan dakwaan bahawa perjanjian itu kabur dan tidak mengikat. Ketiadaan teks Parsi yang sah secara rasmi dalam JCPOA menjadi punca pertikaian tafsiran yang berpanjangan. Iran berulang kali mendakwa bahawa terjemahan Parsinya bagi terma tertentu adalah berbeza daripada apa-apa yang difahami pihak Amerika. Tanpa dua teks yang sama-sama mengikat dari segi undang-undang, jurang bahasa membuka ruang kepada pihak yang lebih berkuasa untuk mentafsir mengikut kepentingannya sendiri.
Apabila rundingan damai diusulkan oleh Pakistan pada April 2026, Iran nekad bahawa perjanjian mesti juga ditulis dalam bahasa Parsi dan teks perjanjian dalam bahasa Parsi itu mesti diiktiraf setaraf dengan teks bahasa Inggeris. Teks yang hanya tertulis dalam bahasa pihak lawan akan dijadikan landasan untuk perjanjian itu dimanipulasi pada masa hadapan. Lebih daripada itu, hal tersebut memberikan isyarat kepada dunia bahawa duduknya Iran di meja perjanjian bukanlah sebagai pihak yang mengalah dan menerima syarat daripada kuasa besar, tetapi sebaliknya sebagai sebuah negara berdaulat yang menentukan nasibnya melalui perjanjian yang tertulis di dalam bahasanya sendiri.
Apa-apa yang berlaku antara Iran dengan Amerika pada tahun 2026 bukanlah perkara asing bagi kita. Tanah Melayu pernah melalui tragedi yang sama. Pada 20 Januari 1874, di atas sebuah kapal British yang berlabuh di perairan Pangkor, suatu perjanjian ditandatangani antara Gabenor Negeri-negeri Selat, Sir Andrew Clarke, dengan Raja Abdullah dan beberapa pembesar Melayu Perak. Pada zahirnya, Perjanjian Pangkor kelihatan seperti penyelesaian bagi perseteruan dalaman dan persengketaan takhta. Namun jurang bahasa pada perjanjian itu akhirnya membawa musibah yang lebih besar.
Fasal 6 Perjanjian Pangkor menetapkan bahawa Sultan perlu menerima seorang Residen British di istananya. Tetapi versi Inggeris dan versi Melayu fasal ini membawa makna yang tidak selari. Teks Inggeris menulis bahawa Residen mestilah dirujuk dan nasihatnya mestilah dilaksanakan dalam semua perkara kecuali dalam hal agama Islam dan adat Melayu. Hal ini membawa erti Tanah Melayu menyerahkan kuasa pentadbiran negara kepada British. Teks Melayu pula yang diterjemahkan daripada teks Inggeris dan ditranskripsi ke dalam Jawi menggunakan bahasa yang lebih lunak, iaitu Sultan perlu bermuafakat dengan Residen sebelum menjalankan urusan negeri. Hal ini diertikan dan dimaksudkan sebagai berunding, dan Sultan mempunyai pilihan untuk sama ada menerima atau tidak pendapat yang diutarakan. Justeru, hal tersebut bukanlah kewajipan mutlak untuk akur terhadap setiap nasihat si Residen.
Satu pernyataan yang disampaikan dalam dua bahasa memberikan dua makna yang berbeza. Bagi pembesar Melayu yang membaca teks Jawi, adalah molek bagi mereka bersepakat dengan British dan pandangan Residen perlu diambil kira. Bagi pegawai British yang membaca teks Inggeris pula, Residen ialah pemegang kuasa sebenar yang mesti dipatuhi dan “pandangannya” mesti dilaksanakan. Apabila J.W.W. Birch dilantik sebagai Residen pertama Perak, beliau mentadbir mengikut makna yang difahami berdasarkan tafsiran Inggeris semata-mata dan mengetepikan struktur pemerintahan tradisional yang dipegang erat oleh pembesar tempatan. Bagi British, tafsiran merekalah yang sah kerana merekalah yang menulis dan mengesahkan dokumen itu di London. British sememangnya tidak mahu berkompromi dengan tafsiran bahasa Melayu yang dianggap sebagai terjemahan yang tidak tepat dan kabur. Ketegangan yang terkumpul akhirnya meledak dan Birch dibunuh pada tahun 1875.
Pada masa itu, tiada Konvensyen Vienna untuk melindungi pihak yang lebih lemah. Prinsip bahawa setiap teks rasmi sesuatu perjanjian adalah sama autentik hanya menjadi norma antarabangsa yang diiktiraf hampir satu abad kemudian, iaitu melalui Konvensyen Vienna mengenai Undang-undang Perjanjian 1969. Sudah tentu hal tersebut terlalu lewat untuk Perak. Penjajah menjajah dengan menentukan tafsirannya sendiri, lalu melaksanakannya tanpa mengira apa-apa yang termaktub dalam bahasa rakyat yang ditadbirnya. Inilah harga yang dibayar oleh sebuah bangsa yang bahasanya tidak diiktiraf setara di meja rundingan.
Kedaulatan Bahasa Kedaulatan Negara
Dua kisah ini, iaitu Perjanjian Pangkor 1874 dan Memorandum Persefahaman Islamabad 2026, menyingkap satu kenyataan bahawa kedaulatan bahasa ialah kedaulatan sesebuah negara. Hal ini bukan klise mahupun kiasan, sebaliknya hakikat struktur kuasa dan kedaulatan.
Bahasa merupakan wadah yang menentukan siapakah yang berhak mentafsir makna, siapakah yang berhak menulis sejarahnya sendiri, dan siapakah pula yang hanya menjadi objek tafsiran kuasa lain. Sebuah negara yang bahasanya tidak diiktiraf setara dalam urusan rasmi, sama ada dalam perjanjian antarabangsa, pentadbiran negara, mahupun sistem pendidikan dan kehakiman, sebenarnya tidak benar-benar berdaulat, walaupun benderanya berkibar dan sempadannya diiktiraf di peta dunia. Perjanjian Pangkor telah memberikan pengajaran bahawa apabila bahasa rakyat ditafsir sepihak oleh kuasa asing, maka pentadbiran, undang-undang, dan akhirnya nasib seluruh negeri turut jatuh ke tangan tafsiran asing itu.
Hanya British yang menentukan makna fasal perjanjian itu mengikut tafsiran Inggeris semata-mata, tanpa mengambil kira, merujuk atau bersetuju dengan tafsiran Jawi/Melayu yang dipegang oleh pembesar Perak. Mereka tidak berunding untuk menyelaraskan dua makna yang berbeza dan mereka terus bertindak seolah-olah tafsiran mereka sahajalah yang sah dan mengikat. Kini, Iran telah membuktikan bahawa sebuah negara yang mempertahankan bahasanya di meja rundingan, akan berjaya mempertahankan ruang untuk menentukan nasib dan kedaulatan negaranya.
Sesungguhnya bahasa bukanlah sekadar identiti negara, mahupun sekadar simbol semata-mata. Pada hakikatnya, bahasa ialah akar yang menunjanginya dan roh yang memaknainya. Sebuah negara yang menyerahkan bahasanya untuk ditafsir oleh orang lain, waima tanpa peperangan dan tanpa penaklukan fizikal, sebenarnya menyerahkan kuasa yang paling asas, iaitu kuasa untuk menentukan makna kewujudannya sendiri.
Malaysia hari ini adalah sebuah negara majmuk yang meraikan kepelbagaian bangsa, agama dan bahasa. Keharmonian ini adalah kekuatan yang perlu terus dipelihara dan setiap kaum di negara ini berhak mengamalkan bahasa dan budaya masing-masing. Namun di sebalik keterbukaan dan keraian kepelbagaian ini, terdapat satu perkara yang perlu diakui bersama, iaitu kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara ini, sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
Kedudukan ini bukanlah hadiah yang diberi secara percuma, apatah lagi belas ihsan penjajah. Hal ini adalah hasil perjuangan,yang dipertahankan dan telah dibayar dengan keringat dan darah, sama seperti yang dibuktikan oleh Iran pada tahun 2026 dan pengajaran pahit yang dialami oleh Perak pada 1874. Pejuang kemerdekaan negara ini arif bahawa sebuah negara yang baharu merdeka tidak boleh terus-terusan menuturkan kedaulatannya dalam bahasa bekas penjajah, lalu mereka menuntut dan mempertahankan kedudukan istimewa bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa pentadbiran negara.
Jelaslah bahawa mencabar kedaulatan bahasa Melayu bukanlah sekadar isu bahasa semata-mata. Hal ini bererti mencabar asas yang membentuk kontrak sosial negara ini sejak merdeka. Kontrak ini adalah sebuah kontrak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Keraian terhadap kepelbagaian bukan bermakna penswastaan kedaulatan. Bahasa Melayu kekal sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa perpaduan negara Malaysia yang dikasihi ini. Pada tahun yang ke-69 kemerdekaan, peranan bahasa Melayu sebagai asas yang menyatukan etnik dan bangsa yang majmuk ini tidak seharusnya disalah erti, apatah lagi diperdebatkan lagi. Seharusnya hal ini diterima dengan tulus ikhlas oleh seluruh rakyat sebagai teras yang menjamin kelangsungan hidup bersama. Hanya apabila bangsa yang pelbagai ini menghormati bahasa kebangsaannya, bangsa tersebut akan menjadi satu bangsa yang lebih gagah melangkah ke hadapan bersama-sama sebagai satu negara.
Dr. Najwa binti Abd Ghafar merupakan Felow di Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan (EMAS), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)