Diterbitkan pada 15 Februari 2026, 09:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bahasa merupakan ujaran atau butir percakapan yang berbunyi serta mengandungi makna-makna tertentu yang dapat melahirkan idea dan perasaan. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa bahasa sangat penting dalam kehidupan bermasyarakat kerana bahasa ialah satu keperluan bagi manusia untuk menyampaikan maklumat. “Bahasa Jiwa Bangsa” merupakan slogan yang menerangkan bahawa bahasa itu berkaitan rapat dengan identiti dan sanubari penuturnya. Namun begitu, kepesatan arus pemodenan teknologi telah mengancam kedudukan dan kewibawaan bahasa Melayu.

Menurut Abang Patdeli Abang Muhi dalam artikelnya yang bertajuk “Menjernihkan Ketidakfahaman tentang Pengekodan Bahasa”, bahasa Melayu telah mencapai tahap pembakuan atau penstandardan yang tinggi terutamanya dalam aspek ejaan, perbendaharaan dan tatabahasa. Namun begitu, masih ada dalam kalangan masyarakat Malaysia yang melakukan pelbagai bentuk pencemaran bahasa.

Pada era globalisasi ini, pencemaran bahasa dilihat berada pada tahap yang membimbangkan apabila ramai penutur sering menggunakan bahasa yang secara jelas menyalahi peraturan nahu seperti bahasa yang ringkas dan pendek untuk berkomunikasi.

Daripada perspektif yang lain, fenomena penggunaan bentuk bahasa yang melanggar hukum nahu dan percampuran kod dikenali sebagai bahasa rojak atau bahasa rancu. Menurut Nurul Emelda Abdullah Safarizal, Nur Farahkhanna Mohd Rusli dan Nurkhairunnisha Amani Mohd Faizal dalam penulisannya yang bertajuk, “Penggunaan Bahasa Rancu dalam Medium Twitter oleh Generasi Z”, bahasa rancu merupakan suatu keadaan bahasa yang tidak teratur serta bercampur aduk yang melanggar peraturan tatabahasa dari segi kosa kata, ejaan, peristilahan, perbendaharaan dan laras bahasa. Penggunaan bahasa rancu mengakibatkan terhakisnya budaya berbahasa menggunakan tatabahasa bahasa Melayu yang betul.

Bertitik tolak daripada hal ini, kelaziman berbahasa sebegini berdaya menyebabkan masyarakat memandang enteng terhadap penggunaan bahasa yang betul. Hal ini sekali gus mengakibatkan jati diri masyarakat semakin merudum. Fenomena ini berlaku disebabkan oleh beberapa faktor tertentu.

  • Pengaruh Bahasa Asing

Umum mengetahui bahawa pengiktirafan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan diperkasakan lagi dengan Akta 32 (Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67) sudah diisytiharkan sejak merdeka lagi. Walau bagaimanapun, bahasa Inggeris masih boleh digunakan dalam urusan pembelajaran dan industri. Sungguhpun demikian, dapat  dilihat pada masa ini bahawa penggunaan bahasa Inggeris dalam kalangan masyarakat Malaysia semakin meningkat sehingga terdapat dalam kalangan mereka lebih memilih untuk berkomunikasi dalam bahasa Inggeris berbanding dengan bahasa ibundanya sendiri khususnya generasi muda.

Pemilihan bahasa berlaku dalam sesebuah masyarakat adalah disebabkan oleh kemampuan untuk menuturkan lebih daripada satu bahasa seperti yang dinyatakan oleh Sa’adiah Ma’alip menerusi artikelnya “Pemilihan Bahasa dalam Komunikasi di Laman Sosial”. Pengaruh bahasa Inggeris yang semakin ketara memainkan peranan besar hingga mencetuskan fenomena percampuran kod dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Menurut Teo Kok Seong dalam artikelnya yang bertajuk “Kerancuan dalam Bahasa Melayu”, percampuran kod berlaku apabila bentuk dan penggunaan bahasa Melayu yang bercampur aduk dengan bahasa Inggeris sama ada pada peringkat perkataan, frasa, atau ayat. Percampuran kod berlaku apabila perkataan bahasa Inggeris yang bukan merupakan pinjaman atau serapan digunakan semasa berbahasa Melayu. Percampuran kod ini bukan sahaja berlaku dalam proses berkomunikasi secara maya, malah turut diguna pakai semasa berkomunikasi secara bersemuka, misalnya apabila seorang guru mengajar anak muridnya di dalam kelas. Amalan berbahasa sebegini bagaikan sudah diterima oleh masyarakat dan menjadi amalan biasa bagi sebuah masyarakat multilingual. Pendek kata, kebebasan dalam berbahasa telah mendorong ke arah percampuran kod dan penggunaan bahasa Melayu yang tidak mematuhi peraturan nahu.

  • Perkembangan Teknologi

Dewasa ini, perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi menawarkan pelbagai kemudahan kepada masyarakat bagi memudahkan proses berkomunikasi antara satu sama lain. Media sosial seperti aplikasi Whatsapp, Instagram dan Tiktok menjadi medan kepada pengguna untuk berkongsi maklumat, bertukar pendapat dan menyuarakan pendapat masing-masing dalam masa yang singkat tanpa batasan. Menurut Wan Azni Mohamad dalam penulisan artikelnya yang bertajuk “Media Sosial Jejaskan Kualiti Bahasa Remaja Malaysia”, bahasa yang singkat, pendek dan bersahaja yang sering digunakan oleh golongan remaja untuk berkomunikasi dalam media sosial memberikan kesan yang ketara terhadap penggunaan bahasa Melayu standard. Hal ini dikatakan demikian kerana penggunaan bahasa singkat dapat menjejaskan kualiti dan ketulenan sesuatu bahasa sekali gus menghakis keindahan ayat dalam bahasa Melayu. Ringkasnya, kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi ini bukan sahaja mendatangkan kesan yang baik terhadap masyarakat malah mendatangkan kesan buruk termasuklah gaya berbahasa yang semakin lemah dan merunsingkan.

Perkaitan Jati diri dan Jiwa Bahasa

Bahasa sangat berkaitan rapat dengan jati diri dan jiwa seseorang. Siti Nurul Jannah Fital dan Junaini Kasdan dalam artikel mereka yang bertajuk “Jati Diri Bahasa Melayu Generasi Z dalam Mendepani Revolusi Industri 4.0”, menyimpulkan bahawa bahasa merupakan unsur budaya yang kuat, berperanan sebagai wahana integrasi dan merupakan simbol identiti kesatuan rakyat pelbagai kaum di Malaysia. Penggunaan bahasa Melayu yang tepat melambangkan kepakaran sesebuah komuniti itu dalam berbahasa, sekali gus menjadi lambang kebanggaan dan perpaduan sesebuah masyarakat yang berbilang kaum. Sehubungan dengan itu, jika baik bahasa sesebuah bangsa, maka baiklah imej bangsa tersebut.

Namun begitu, jika ditelusuri dengan teliti masyarakat Malaysia semakin melupakan kepentingan menggunakan bahasa Melayu yang betul. Hal ini menyebabkan kerancuan bahasa semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat. Kerancuan bahasa dapat menjejaskan mutu bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Lanjutan daripada itu, penggunaan bahasa rancu menyebabkan kekuatan dan penghayatan terhadap bahasa Melayu terhakis jika tidak dikawal penularannya. Jelaslah bahawa kita perlu menyedari tentang kepentingan memartabat sesuatu bahasa itu supaya dapat menambahkan penghayatan terhadap bahasa.

Sebagai penutup wacana, pihak berkepentingan perlulah mengambil cakna dengan gejala kerancuan bahasa ini agar penggunaan bahasa yang bercampur aduk dapat dibanteras sehingga ke akar umbi. Kecanggihan Internet bukanlah alasan untuk penutur menggunakan bahasa yang sudah terang lagi bersuluh menyalahi peraturan tatabahasa, sebaliknya kecanggihan ini perlu dijadikan platform untuk memartabatkan bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa. Bahasa Internet ini membuktikan bahawa manusia mementingkan kemudahan berbicara daripada kepentingan tatabahasa seperti yang dinyatakan oleh Mohamed Pitchai Gani Mohamed Abdul Aziz dalam bukunya iaitu Evolusi Bahasa Melayu.

Rentetan daripada itu, sebagai penutur jati bahasa Melayu kita sewajarnya menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dan berbangga dengan bahasa kita. Oleh hal yang demikian, masyarakat sewajarnya tidak hanya memartabatkan bahasa Melayu dengan menguasai bahasa itu tanpa berusaha ke arah meningkatkan nilai bahasa Melayu. Kesedaran untuk memelihara bahasa Melayu dapat membantu ke arah pembinaan negara bangsa Malaysia yang bertamadun.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi