Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangIstiadat Konvokesyen Institut Pendidikan Guru Kementerian Pendidikan ke-17 pada tahun ini menampilkan kelainan kerana selain menerima ijazah sebagai Siswa Guru, buat julung kalinya Siswa Guru menerima pentauliahan sebagai Munsyi Siswa. Pasti ada yang tertanya-tanya, “Apakah perkaitan antara Munsyi Siswa dengan Siswa Guru dalam Istiadat Konvokesyen Institut Pendidikan Guru Kementerian Pendidikan?” Adakah Munsyi Siswa sama atau setaraf dengan pemegang gelaran Munsyi Muda Bahasa atau Munsyi Dewan (Bahasa)? Persoalan ini berlegar-legar dalam atmosfera pencinta bahasa Melayu, terutama dalam kalangan pemegang gelaran “munsyi” itu sendiri.
Bahasa ialah jiwa bangsa. Apabila bahasa diperkasakan melalui pendidikan, maka masa hadapan bangsa turut diperkukuh. Semangat inilah yang menjadi teras bagi Program Pembinaan Munsyi Siswa (PPMS), satu inisiatif baharu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagaimana yang dihasratkan oleh Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek dalam amanatnya pada awal tahun 2026. Program ini bukan sekadar satu latihan kokurikulum kepada guru pelatih, malah merupakan suatu gerakan strategik untuk melahirkan generasi pendidik muda yang bukan sahaja mahir berbahasa Melayu, bahkan mampu menjadi pembimbing, penggerak dan pemimpin bahasa dalam masyarakat. Susulan daripada amanat tersebut, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah berpadu tenaga bagi menggerakkan PPMS yang melibatkan guru pelatih tahun akhir Opsyen Bahasa Melayu Pendidikan Rendah.
Dalam konteks pendidikan negara, bahasa Melayu bukan sekadar mata pelajaran yang diajarkan di bilik darjah. Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan yang menjadi asas pembinaan negara bangsa. Maka itu, guru bahasa Melayu tidak seharusnya hanya berperanan menyampaikan kandungan kurikulum, sebaliknya menjadi contoh pengguna dan penutur bahasa Melayu dengan cara yang betul, indah dan berwibawa. Aspirasi PPMS memberikan penekanan terhadap pembangunan sahsiah kebahasaan, kepemimpinan bahasa serta penguasaan ilmu bahasa yang lebih mendalam dalam kalangan guru pelatih tahun akhir Opsyen Bahasa Melayu. Mereka dipersiapkan sebagai tenaga pelapis agar mampu meneruskan agenda pemartabatan bahasa Melayu apabila ditempatkan di sekolah.
Berbeza daripada latihan perguruan yang lazimnya tertumpu pada pedagogi dan pentaksiran, PPMS memperluas dimensi latihan dengan memberikan tumpuan terhadap aspek advokasi bahasa. Guru pelatih bukan sahaja belajar cara mengajar bahasa Melayu secara berkesan, malah diasuh untuk menjadi individu yang mampu membimbing masyarakat tentang penggunaan bahasa yang tepat, menggalakkan pembudayaan bahasa Melayu yang berkesan serta menyebarluaskan kecintaan terhadap bahasa kebangsaan. Pemilihan guru pelatih tahun akhir opsyen Bahasa Melayu sebagai peserta PPMS juga amat signifikan. Pada tahap ini, mereka telah menguasai asas ilmu pendidikan, kandungan kurikulum dan kemahiran pengajaran. Oleh itu, latihan sebagai Munsyi Siswa menjadi pelengkap bagi pembentukan identiti profesional mereka sebelum melangkah ke alam perguruan. Yang pasti, dengan memegang gelaran Munsyi Siswa, mereka memasuki sekolah dengan satu nilai tambah yang membezakan mereka daripada guru bahasa Melayu yang lain.
Dalam ucapannya pada Sidang 4 Istiadat Konvokesyen Institut Pendidikan Guru Kementerian Pendidikan ke-17, Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek menzahirkan kegembiraannya kerana PPMS hadir tepat pada masanya. Tepat kerana kelahiran Munsyi Siswa secara langsung melahirkan guru bahasa Melayu yang mempunyai kebitaraan dalam bahasa Melayu dan PPMS terus memperkukuh Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa Inggeris. Maka tepatlah, kelahiran Munsyi Siswa ialah jihad bangsa untuk terus memartabatkan bahasa Melayu sebagai jiwa bangsa.
Menjadi harapan pihak KPM, IPGM dan DBP, melalui penguasaan bahasa Melayu yang mantap, Munsyi Siswa akan menjadi model bahasa yang baik kepada murid, rakan sejawat dan masyarakat. Secara tidak langsung, guru berkenaan dapat menyertai barisan pemimpin bahasa dalam kalangan pendidik muda. Manifestasi daripada PPMS yang jelas ialah memperkukuh jaringan kerjasama strategik antara KPM, IPGM dengan DBP. Hubungan sinergi ini penting bagi memastikan usaha pemartabatan bahasa Melayu dilaksanakan secara tersusun, berterusan dan berimpak tinggi. Sememangnya, PPMS menjadi wahana untuk menyemai rasa bangga terhadap bahasa kebangsaan. Pada era globalisasi yang memperlihatkan pengaruh bahasa asing semakin dominan, guru perlu mempunyai keyakinan bahawa bahasa Melayu mempunyai kemampuan sebagai bahasa ilmu, bahasa profesional dan bahasa antarabangsa.
Gerak Kerja Pembinaan Munsyi Siswa
Sebagai langkah persediaan untuk menduduki dua bentuk ujian, iaitu Ujian Bertulis dan Ujian Lisan, calon Munsyi Siswa diwajibkan menghadiri “Kelas Bahasa Melayu” secara dalam talian yang dilaksanakan serentak di 15 IPG seluruh negara. Kelas tersebut dibimbing oleh Munsyi Dewan (Bahasa) yang berlangsung selama dua siri, iaitu pada 25 April 2026 dan 2 Julai 2026. Pengajaran tentang Bahasa Melayu oleh Munsyi Dewan (Bahasa) meliputi semua aspek termasuklah golongan kata, jenis ayat, tanda baca, sinonim dan akronim. Bagi menguji pemahaman tentang aspek tatabahasa, calon Munsyi Siswa seterusnya menduduki Ujian Bertulis dan Ujian Lisan yang juga dilaksanakan serentak di 15 IPG pada 22 hingga 23 Mei 2026. Ujian Bertulis terbahagi pada soalan objektif dan subjektif. Menyusul selepas Ujian Bertulis ialah Ujian Lisan bagi menguji keterampilan calon berkomunikasi menggunakan bahasa Melayu yang baik dan betul. Dalam Ujian Lisan, calon diberikan soalan berkaitan dengan pandangan dan pendapat tentang penggunaan, pengembangan dan pemartabatan bahasa Melayu termasuklah soalan berkaitan isu dan kemelut yang melanda bahasa Melayu. Empat aspek diuji melalui Ujian Lisan, iaitu kupasan idea, kelancaran lisan, kosa kata dan kesantunan. Semua ujian berkenaan dinilai oleh gabungan tiga pihak, iaitu panel DBP, panel Munsyi Muda Bahasa dan panel Munsyi Dewan (Bahasa). Gabungan ahli panel tersebut membuktikan bahawa calon yang berjaya ditauliahkan sebagai Munsyi Siswa telah melalui tapisan yang ketat, telus dan sistematik.
Munsyi Siswa, Munsyi Muda Bahasa dan Munsyi Dewan (Bahasa): Peranan yang Berbeza, Matlamat yang Sama
Kewujudan PPMS melengkapkan ekosistem pemasyarakatan bahasa Melayu yang telah lama dibangunkan oleh DBP. Walaupun ketiga-tiga kelompok, iaitu Munsyi Siswa, Munsyi Muda Bahasa dan Munsyi Dewan (Bahasa) berkongsi matlamat untuk memartabatkan bahasa Melayu, fungsi, kumpulan sasar serta tahap kompetensinya berbeza mengikut peranan masing-masing. Munsyi Siswa merupakan kelompok pelapis yang dibentuk dalam kalangan guru pelatih tahun akhir IPGM yang mengikuti pengajian opsyen Bahasa Melayu. Program ini memberikan pendedahan awal terhadap ilmu kebahasaan, kepemimpinan bahasa, advokasi bahasa dan pengurusan program kebahasaan sebelum mereka melangkah ke alam profesion perguruan. Dalam erti kata lain, Munsyi Siswa ialah pemimpin bahasa dalam fasa prakelayakan yang sedang dipersiapkan untuk berkhidmat di sekolah.
Sebaliknya, Munsyi Muda Bahasa terdiri daripada penjawat awam yang telah mengikuti kursus bahasa Melayu dan melepasi tahap penilaian kefahaman bahasa Melayu anjuran Institut Tadbiran Awam Negara dan DBP. Golongan ini datang daripada pelbagai latar belakang kerjaya dan bukan terhad bagi bidang bahasa Melayu semata-mata. Mereka berperanan sebagai perujuk bahasa bagi warga kementerian atau agensi. Sementara itu, Munsyi Dewan (Bahasa) merupakan pengiktirafan tertinggi dalam hierarki kemunsyian bahasa yang dikendalikan oleh DBP. Mereka terdiri daripada pakar bahasa yang mempunyai pengalaman luas, kepakaran yang diiktiraf serta rekod sumbangan yang signifikan dalam bidang bahasa Melayu. Munsyi Dewan (Bahasa) berperanan sebagai pakar rujuk, pembimbing, penceramah, jurulatih dan penasihat dalam pelbagai program kebahasaan. Kepakaran mereka menjadi sandaran terhadap pelaksanaan dasar dan agenda pemartabatan bahasa Melayu. Jika diperhatikan, ketiga-tiga kategori ini sebenarnya membentuk satu laluan pembangunan profesional yang saling berkaitan. Munsyi Siswa menjadi tapak asas pembinaan bakat, Munsyi Muda Bahasa memperkukuh pengalaman lapangan dan pelibatan masyarakat, manakala Munsyi Dewan (Bahasa) menjadi kemuncak pengiktirafan terhadap kecemerlangan dan sumbangan dalam bidang kebahasaan. Kesinambungan ini dapat memastikan negara sentiasa mempunyai pelapis yang mampu meneruskan perjuangan memartabatkan bahasa Melayu.