Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangGuru sebagai Pemimpin Bahasa
Keistimewaan PPMS terletak pada falsafahnya yang melihat guru bukan sekadar penyampai ilmu, bahkan sebagai pemimpin bahasa. Di sekolah, guru Bahasa Melayu merupakan individu yang paling hampir dengan usaha membentuk budaya berbahasa dalam kalangan murid. Cara guru bertutur, menulis, berkomunikasi dan mengendalikan aktiviti sekolah akan mempengaruhi sikap murid terhadap bahasa Melayu. Oleh sebab itu, Munsyi Siswa bukan sahaja dilatih agar mampu menjelaskan asas tatabahasa atau membimbing murid menghasilkan karangan yang baik, tetapi turut berupaya mengendalikan forum bahasa, pengucapan awam, klinik bahasa dan pelbagai program yang menjadikan bahasa Melayu lebih dekat dengan kehidupan generasi muda.
Lebih penting lagi, mereka dididik supaya mampu menjadi ejen perubahan dalam persekitaran sekolah. Sekadar contoh, Munsyi Siswa boleh memimpin pelaksanaan Minggu Bahasa Kebangsaan, membimbing penggunaan bahasa Melayu dalam komunikasi rasmi sekolah, memperkasakan sudut bacaan, menggerakkan Kelab Bahasa Melayu dan menjalinkan kerjasama dengan DBP, perpustakaan awam, universiti atau badan bukan kerajaan bagi memperluas aktiviti kebahasaan.
Apabila seorang guru muda memasuki sekolah dengan identiti sebagai Munsyi Siswa, beliau hadir bersama-sama kesedaran bahawa bahasa Melayu bukan sekadar subjek peperiksaan. Bahasa Melayu ialah wahana ilmu, alat perpaduan, medium komunikasi rasmi negara dan lambang identiti nasional. Kesedaran ini akan diterjemahkan melalui cara beliau mengajar, membimbing murid dan mengurus pelbagai aktiviti sekolah. Pada masa yang sama, guru yang mempunyai kecintaan terhadap bahasa akan lebih terdorong untuk membudayakan amalan membaca, menggalakkan penulisan kreatif, memperkenalkan karya sastera kebangsaan dan memupuk apresiasi terhadap warisan bahasa Melayu. Hal ini amat penting kerana pembentukan sikap terhadap bahasa berlaku melalui pengalaman harian, bukannya semata-mata melalui sukatan pelajaran.
Manfaat Jangka Panjang terhadap Negara
Pelaksanaan PPMS diyakini memberikan manfaat yang besar terhadap sistem pendidikan dan pembangunan negara. Dalam jangka pendek, program ini akan meningkatkan kualiti pengajaran Bahasa Melayu di sekolah melalui kehadiran guru yang lebih kompeten dan berkeyakinan. Dalam jangka sederhana, sekolah akan mempunyai lebih ramai guru yang mampu memimpin pelbagai program bahasa secara profesional. Hal ini akan menyemarakkan budaya berbahasa Melayu yang lebih baik, meningkatkan pelibatan murid dalam aktiviti bahasa dan sastera serta memperkukuh penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi sekolah. Manfaat yang lebih besar dapat dilihat dalam jangka panjang.
Setiap tahun, IPGM melahirkan guru baharu yang akan berkhidmat di seluruh negara. Sekiranya setiap kohort guru Bahasa Melayu tahun akhir menerima latihan dan pentauliahan sebagai Munsyi Siswa, negara akan memiliki rangkaian pemimpin bahasa yang semakin berkembang dari tahun ke tahun. Dalam tempoh sedekad, ribuan guru yang mempunyai kompetensi sebagai Munsyi Siswa akan berkhidmat di sekolah rendah seluruh Malaysia, sekali gus memperluas jaringan pemasyarakatan bahasa Melayu hingga akar umbi.
Kesan limpahannya bukan sahaja dirasai oleh murid, malah turut melibatkan ibu bapa, komuniti setempat dan masyarakat keseluruhannya. Guru yang aktif menganjurkan program bahasa akan mewujudkan ekosistem yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi yang bermutu dan dihormati. Lebih jauh daripada itu, PPMS turut menyokong aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan insan berilmu, berakhlak dan berjati diri. Bahasa Melayu menjadi wahana penting untuk menyampaikan nilai, membentuk pemikiran kritis dan menyemai semangat kebersamaan dalam sebuah masyarakat majmuk.
Pelaburan Strategik demi Kelangsungan Bahasa Kebangsaan
Pada hakikatnya, pemartabatan bahasa Melayu tidak boleh bergantung pada dasar semata-mata. Kejayaannya bergantung pada manusia yang melaksanakan dasar tersebut. Dalam konteks pendidikan, guru ialah pelaksana paling penting kerana mereka berinteraksi secara langsung dengan jutaan murid setiap hari. Atas dasar itulah, PPMS wajar dilihat sebagai satu pelaburan strategik negara. Program ini bukan sekadar melahirkan guru yang cekap mengajar bahasa Melayu, tetapi membentuk generasi pendidik yang mempunyai kesedaran, komitmen dan kepimpinan untuk mempertahankan martabat bahasa kebangsaan dalam apa-apa juga keadaan. Sesungguhnya, bahasa yang ampuh ialah bahasa yang sentiasa diperkasakan oleh penuturnya. Apabila setiap guru bahasa Melayu menjadi pendukung bahasa yang berwibawa, setiap sekolah menjadi medan pemasyarakatan bahasa dan setiap murid membesar dengan rasa bangga terhadap bahasa kebangsaannya, maka cita-cita untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa perpaduan dan bahasa yang disegani di persada dunia bukan lagi suatu impian yang jauh.
Program Pembinaan Munsyi Siswa memperlihatkan bahawa usaha memartabatkan bahasa Melayu perlu bermula daripada institusi yang melahirkan guru. Dengan membina barisan pendidik muda yang bukan sahaja menguasai ilmu bahasa, malah sanggup memimpin gerakan kebahasaan, negara sedang menanam benih yang akan terus bercambah dan berbuah untuk generasi akan datang. Dalam konteks inilah, PPMS bukan sekadar sebuah program pentauliahan, tetapi merupakan manifestasi iltizam negara untuk memastikan bahasa Melayu terus menjadi jiwa pendidikan, asas pembinaan bangsa dan lambang kedaulatan Malaysia.
Legasi Pendukung Bahasa
Program Pembinaan Munsyi Siswa merupakan manifestasi kesungguhan KPM untuk mengangkat profesion perguruan sebagai barisan hadapan dalam agenda pemartabatan bahasa Melayu. Inisiatif ini melangkaui latihan pedagogi konvensional dengan membentuk guru pelatih sebagai pendukung bahasa yang mempunyai kepakaran, kepimpinan dan tanggungjawab sosial. Dalam landskap pendidikan abad ke-21 yang sarat dengan cabaran globalisasi, kecerdasan buatan dan ledakan komunikasi digital, bahasa Melayu memerlukan lebih ramai pendukung yang bukan sahaja mahir menggunakannya, malah mampu mempertahankan martabatnya melalui ilmu, teladan dan tindakan. Program Pembinaan Munsyi Siswa memenuhi keperluan tersebut dengan menyediakan laluan sistematik bagi melahirkan barisan pendidik muda yang bersedia memimpin gerakan kebahasaan sejak hari pertama mereka menjejakkan kaki ke sekolah.
Sesungguhnya, masa hadapan bahasa Melayu tidak hanya ditentukan oleh dasar atau perundangan, tetapi juga oleh insan yang menghidupkannya di dalam bilik darjah, di pentas ilmu dan dalam kehidupan masyarakat. Dengan lahirnya sejumlah 1924 pemegang gelaran Munsyi Siswa sulung yang telah ditauliahkan dalam Istiadat Konvokesyen Institut Pendidikan Guru Kementerian Pendidikan ke-17, negara sedang membina sebuah legasi pendidik yang menjadikan bahasa Melayu bukan sekadar bahasa pengantar, tetapi juga bahasa yang mengangkat tamadun, memperkukuh perpaduan dan membina jati diri Malaysia.