Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangApabila berbicara tentang bahasa, kita sering kali terarah kepada institusi formal seperti sekolah, universiti, atau organisasi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Namun begitu, jika ditelusuri akar paling dalam, proses pembentukan jati diri manusia, didapati bahawa “universiti” pertama bagi setiap insan tidak terletak pada bangunan konkrit yang gah, melainkan di pangkuan seorang ibu. Istilah “bahasa ibunda” itu sendiri bukan sekadar label teknikal untuk bahasa pertama yang dipelajari, tetapi suatu pengiktirafan bahawa bahasa itu lahir, mengalir, dan berakar umbi daripada kasih sayang serta didikan seorang ibu.
Ibulah yang berjasa mendidik bahasa. Ungkapan ini bukanlah satu retorik emosional, melainkan satu kebenaran sosiolinguistik yang tidak boleh disangkal. Sejak janin berada di dalam rahim ibu sehingga saat anak itu mampu menyusun ayat yang sempurna, ibu memainkan peranan sebagai arkitek komunikasi yang paling utama.
Proses pendidikan bahasa oleh si ibu sebenarnya bermula jauh lebih awal daripada tangisan pertama seorang bayi. Kajian neurosains oleh Graven dan Browne (2008) dalam Journal of Perinatology mengesahkan bahawa sistem auditori janin mulai berfungsi sepenuhnya seawal usia 24 hingga 27 minggu dalam kandungan. Di sinilah “makmal bahasa” pertama tercipta. Suara ibu yang beralun, intonasi yang lembut, serta ritma percakapan seharian menjadi input auditori pertama yang membentuk saraf pendengaran bayi.
Apabila seorang ibu berbicara dengan bayi di dalam kandungannya, dia sebenarnya sedang memperkenalkan struktur asas bunyi atau fonem bahasa tersebut. Kajian perintis oleh DeCasper dan Fifer (1980) membuktikan bahawa bayi yang baru lahir (berusia kurang tiga hari) menunjukkan reaksi luar biasa dan lebih responsif terhadap suara ibunya berbanding dengan suara wanita asing. Malah, kajian Moon, Lagercrantz, dan Kuhl (2013) menunjukkan bahawa bayi mampu membezakan bunyi vokal bahasa ibunda mereka daripada bahasa asing hanya beberapa jam selepas dilahirkan. Hal ini membuktikan bahawa jasa ibu untuk mendidik bahasa bermula sebelum anak itu mengenal dunia.
Pemerolehan Lawan Pembelajaran
Selepas kelahiran, peranan ibu beralih daripada pemberi input pasif kepada pemudah cara aktif. Dalam bidang linguistik, Stephen Krashen (1981) melalui Input Hypothesis menjelaskan perbezaan ketara antara pemerolehan bahasa (language acquisition) dengan pembelajaran bahasa (language learning). Anak-anak tidak “belajar” bahasa daripada ibu mereka secara formal, sebaliknya mereka “memperoleh” bahasa tersebut secara semula jadi melalui interaksi yang penuh dengan emosi dan bermakna.
Ibu mempunyai gaya komunikasi unik yang dikenali secara saintifik sebagai Child-Directed Speech (CDS) atau secara santai disebut motherese. Menurut pakar psikolinguistik Anne Fernald (1985), gaya ini melibatkan nada suara yang lebih tinggi, tempo yang lebih perlahan, dan penekanan pada kata-kata penting. Walaupun kadangkala kedengaran remeh, motherese sebenarnya ialah kaedah pedagogi semula jadi yang sangat berkesan untuk menarik perhatian bayi dan membantu mereka memetakan bunyi kepada makna. Setiap kali seorang ibu menamakan objek seperti “Ini susu,” dan “Itu kucing”, dia sedang membina leksikon mental (mental lexicon) dalam minda anaknya.
Di Malaysia, bahasa tidak dapat dipisahkan daripada budaya dan adab. Di sinilah jasa ibu menjadi sangat signifikan. Ibu bukan sekadar mengajar kosa kata, tetapi dia mengajar sosiolinguistik, iaitu cara menggunakan bahasa mengikut konteks dan kesantunan.
Profesor Emeritus Datuk Dr. Asmah Haji Omar yang merupakan satu daripada tokoh bidang linguistik di negara ini sering menekankan bahawa sistem panggilan dalam keluarga Melayu merupakan asas bagi kesantunan berbahasa. Seorang ibu akan memastikan anaknya tahu membezakan kata ganti nama diri yang sesuai. Penggunaan “saya”, “adik”, atau “kakak” ialah pelajaran awal tentang hierarki sosial dan nilai hormat. Apabila seorang ibu menegur, “Sebut terima kasih apabila orang memberikan barang,” dia sebenarnya sedang mengintegrasikan elemen moral ke dalam struktur pragmatik bahasa anak tersebut.
Pada era globalisasi, peranan ibu sebagai pendidik bahasa menjadi semakin signifikan. Kita melihat kecenderungan penggunaan bahasa rojak atau pengutamaan bahasa asing di rumah. Namun begitu, ibu yang sedar akan jati dirinya akan bertindak sebagai “benteng pertama” yang memastikan kelestarian bahasa Melayu pada peringkat akar umbi. Sebagaimana pihak tentera digelar benteng pertama pertahanan negara, frasa yang sama juga boleh merujuk kepada golongan ibu sebagai benteng pertama yang memupuk dan memelihara keluhuran serta kelangsungan bahasa kebangsaan.
Ibu yang membacakan buku cerita dalam bahasa Melayu sebelum tidur, yang mendodoikan lagu tradisional, dan yang konsisten menggunakan laras bahasa yang betul, sebenarnya sedang melakukan perjuangan nasionalisme yang besar. Mereka berperanan memastikan bahawa bahasa Melayu tidak pupus di bibir generasi muda. Jasa ibu dalam hal ini melangkaui sempadan domestik, malah mereka ialah ejen tidak rasmi yang mengekalkan kedaulatan bahasa kebangsaan.
Gajet Lawan Interaksi Ibu
Cabaran hari ini amat getir. Kehadiran gajet sering kali mengambil alih peranan ibu. Kajian dalam jurnal Pediatrics (2019) oleh Dr. John Hutton menunjukkan bahawa pendedahan skrin yang berlebihan pada kanak-kanak prasekolah dikaitkan dengan integriti mikrostruktur saraf yang lebih rendah di kawasan otak yang menyokong bahasa dan kemahiran literasi. Fenomena “lewat bercakap” (speech delay) meningkat apabila interaksi dua hala antara ibu dengan anak digantikan oleh skrin pasif.
Tiada aplikasi atau kecerdasan buatan yang dapat menggantikan sentuhan emosi terhadap didikan bahasa seorang ibu. Bahasa yang dipelajari melalui kasih sayang mempunyai resonansi yang berbeza dalam jiwa. Ibu yang berjasa akan meletakkan gajet ke tepi dan memilih untuk bercerita serta berkomunikasi dengan anaknya kerana dia tahu bahawa bahasa ialah jambatan jiwa antara dia dengan buah hatinya.
Kesimpulannya, ungkapan “Ibulah yang berjasa mendidik bahasa” merupakan suatu pengiktirafan terhadap fitrah kemanusiaan. Ibu ialah nahu pertama, kamus pertama, dan guru sastera pertama bagi setiap insan. Melalui lisan seorang ibu, seorang anak mengenal Tuhan, mengenal dunia dan mengenal dirinya sendiri.
Setiap kali kita mampu mencoret nukilan yang indah atau mempertahankan hujah dengan tertib, ingatlah bahawa benih itu disemai oleh seorang ibu. Jasa mereka ialah pelaburan tamadun yang tidak ternilai. Marilah kita menghargai ibu sebagai tokoh bahasa terulung dalam sejarah hidup kita. Kedaulatan bahasa, bermula dari rumah, di bawah bimbingan lembut dan pangkuan seorang ibu. Selamat Hari Ibu!