23 Mei 2024, 12:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Leonard Bloomfield dilahirkan pada 1 April 1887 di Chicago, Amerika Syarikat. Beliau menamatkan pengajiannya di Kolej Harvard pada usia 19 tahun. Kemudian, beliau melanjutkan pengajiannya pada peringkat pascasarjana dalam tempoh dua tahun di Universiti Wisconsin. Bloomfield menamatkan pengajian pada peringkat doktor falsafah di Universiti Chicago pada tahun 1909.

Leonard Bloomfield (1877–1949) seorang daripada ahli linguistik struktural yang terkenal dan berpengaruh di Amerika Syarikat. Ideanya dikemukakan berdasarkan kajiannya tentang bahasa Indian Amerika dan bahasa Melayu–Polinesia. Walaupun beliau diberi pendidikan dan pendedahan tentang tradisi linguistik tradisional Indo–Eropah, penyelidikan yang dilakukannya mendorong beliau untuk mencari kerangka baharu untuk menerangkan bahasa yang dikajinya.

Hasilnya menyimpang jauh daripada apa-apa yang diamalkan dalam bidang linguistik sebelum ini. Teori yang diketengahkan oleh Leonard Bloomfield kemudiannya diterbitkan dalam buku Language pada tahun 1933, dan dijadikan sebagai panduan oleh ahli linguistik lain. Beliau juga menghasilkan pelbagai karya yang merangkumi bahasa India, bahasa Tagalog, linguistik umum dan kesusasteraan.

Terdapat lima ciri penting dalam teori ini, iaitu mengutamakan data deskriptif, bersifat induktif, memperoleh bahasa melalui kebiasaan, menggunakan kaedah pemenggalan dan melibatkan teori stimulus–respons.

Bagi ciri pertama, iaitu mengutamakan data deskriptif, ciri ini penting kerana huraian aspek bahasa dapat dilakukan dengan adanya data yang dapat diamati dalam komuniti bahasa. Dalam hal ini, pertuturan individu amat penting sebagai bahan deskriptif.

Dalam sesuatu komuniti bahasa, terdapat bahasa yang diwujudkan dengan pelbagai gaya. Kesannya, muncul pelbagai variasi bagi sesuatu bahasa. Menerusi teori ini, pengkaji bahasa perlu memberikan perhatian terhadap semua variasi tersebut dan tidak boleh menyisihkan mana-mana bentuk atau meminda data. Kajian dapat dimulakan dengan pertuturan normal untuk memudahkan kerja, di samping memberikan perhatian terhadap pertuturan yang mudah dalam keadaan yang tidak rumit.

Ciri kedua teori ini pula, iaitu bersifat induktif, dapat memastikan pengkaji bahasa tidak membuat peraturan tertentu sebelum mengamati data yang ada. Bagi menggubal peraturan am untuk bahasa di dunia, data daripada kepelbagaian bahasa perlu diperoleh. Sifat induktif teori ini bertentangan dengan apa-apa yang bersifat deduktif, iaitu menentukan peraturan sebelum melihat data yang ada.

Seterusnya, Bloomfield menyatakan bahawa bahasa diperoleh melalui kebiasaan. Lazimnya, apa-apa yang dituturkan oleh orang di keliling memberi kita pengetahuan untuk menggunakan bahasa. Contoh yang dikemukakan oleh Bloomfield ialah seorang bayi memperoleh bahasa daripada ibu, ayah dan orang di kelilingnya.

Teori linguistik yang diketengahkan oleh Bloomfield ini tidak menunjukkan peranan minda atau fikiran dalam pemerolehan bahasa kerana peristiwa bahasa berada di luar manusia. Idea tentang bahasa yang diperoleh melalui kebiasaan mengaitkan teori ini dengan bidang psikologi behaviorisme.

Selain itu, Bloomfield turut menegaskan bahawa setiap kata yang diujarkan pasti mempunyai struktur. Contohnya, jika seseorang individu itu menyebut kata “meja”, strukturnya mestilah “meja”, bukannya “jame” atau “jema”. Teori ini menggunakan kaedah penganalisisan struktur yang dikenali sebagai kaedah pemenggalan.

Misalnya, ayat “Orang itu berjoging di taman rekreasi.” dapat dipenggal menjadi “orang itu” + “berjoging” + “di taman rekreasi”. Sama juga halnya dengan kata “dilaksanakan” yang dapat dipenggal menjadi “di” + “laksana” + “kan”.

Bukan itu sahaja, Bloomfield telah memenggal kesatuan bahasa menjadi fonem, morfem, frasa, kata dan ayat. Oleh itu, teori linguistik yang dikemukakan oleh Bloomfield juga dikenali sebagai linguistik taksonomi kerana kesatuan bahasa dipenggal mengikut hierarki agar strukturnya dapat dikaji.

Akhir sekali, Bloomfiled menyatakan bahawa bahasa membolehkan seseorang itu memberikan reaksi atau respons (R) apabila seseorang yang lain memberikan rangsangan atau stimulus (S). Proses daripada stimulus kepada respons (yang menggunakan bahasa) merangkumi tiga bahagian yang berturutan, iaitu peristiwa yang berlaku sebelum tindakan bertutur, tindakan bertutur dan peristiwa yang berlaku selepas tindakan bertutur. Ketiga-tiga proses ini dapat dijelaskan melalui cerita Jack dan Jill.

Dalam cerita tersebut, Jack dan Jill sedang berjalan-jalan. Jill melihat buah epal yang sudah masak di sebatang pokok. Jill berkata kepada Jack bahawa dia lapar dan ingin makan buah epal itu. Kemudian, Jack memanjat pokok epal itu, memetik buah epal itu dan memberikannya kepada Jill. Cerita tersebut dapat digambarkan seperti yang berikut:

(1) Jill melihat buah epal (S1 = stimulus).

(2) Otak Jill memproses data bermula dari saat Jill melihat epal sehingga dia berkata kepada Jack.

(3) Perilaku Jill ketika berkata kepada Jack (R1 = respons).

(4) Bunyi atau suara yang dikeluarkan oleh Jill ketika berkata kepada Jack.

(5) Perilaku Jack ketika mendengar suara yang dikeluarkan oleh Jill (S2 = stimulus)

(6) Otak Jack memproses data bermula dari saat Jack mendengar suara Jill sehingga Jack bertindak.

(7) Jack bertindak dengan memanjat pokok, memetik epal, dan memberikannya kepada Jill (R2 = respons).

 

Selain digunakan dalam kajian bahasa, teori linguistik yang diketengahkan oleh Bloomfield juga sesuai digunakan dalam pengajaran bahasa Melayu, terutamanya pengajaran bahasa Melayu sebagai bahasa kedua. Hal ini dikatakan demikian kerana kaedah pemenggalan yang diperkenalkan oleh Bloomtefield membolehkan seseorang pelajar bukan penutur jati memahami sistem bahasa Melayu dengan mudahnya.

Dalam hal ini, kaedah pemenggalan dapat digunakan untuk menerangkan konsep imbuhan dalam bahasa Melayu, sama ada imbuhan awalan, imbuhan akhiran, imbuhan apitan atau imbuhan sisipan.

Selain itu, kaedah pemenggalan juga dapat digunakan untuk mengkaji ayat bahasa Melayu. Contohnya, ayat “Dia mencuci kereta di halaman rumah.” dapat dipenggal kepada “dia” + “mencuci kereta” + “di halaman rumah”. Dengan menggunakan kaedah pemenggalan, seseorang pelajar dapat mengenal pasti binaan ayat dengan mudahnya, iaitu “dia” sebagai subjek ayat yang terdiri daripada kata ganti nama diri orang ketiga, “mencuci kereta” sebagai frasa kerja transitif dan “di halaman rumah” ialah frasa sendi nama yang berfungsi sebagai keterangan tempat.

Tuntasnya, penerapan teori linguistik yang diperkenalkan oleh Bloomfield dalam pengajaran bahasa Melayu merupakan suatu pendekatan yang dapat digunakan bagi memastikan pelajar bukan penutur jati bahasa Melayu dapat memahami sistem bahasa Melayu dengan mudah dan pantasnya, sekali gus meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.