Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangDoa Kaca Pecah karya Azli Lee Abdullah diterbitkan sendiri pada tahun 2022 oleh penyair yang dibesarkan di Tumpat ini dengan menghimpunkan sajak-sajaknya yang telah terbit di media cetak sejak awal tahun 1980-an. Frasa “doa kaca pecah” yang dipilih sebagai tajuk buku tidak diambil daripada mana-mana judul sajak yang ada di dalam bukunya, namun diinspirasikan daripada isi sajak “Ikan dalam Akuarium” yang dimuatkan pada halaman 37.
Judul Doa Kaca Pecah dilihat bertepatan dengan ilustrasi kulit hadapan yang memperlihatkan dua ekor ikan yang terkurung dalam akuarium kaca bulat yang agak kecil. Hal ini kerana di dalam sajak “Ikan dalam Akuarium”, penyair mengungkapkan perihal ikan sebagai aku yang merasakan dirinya lebih selamat berada di dalam akuarium tersebut kerana diberi makanan terpilih oleh tuan selain airnya yang bersih.
Di situ, “aku” boleh berenang dan menari kerana tiada lumpur atau toksik serta tiada gangguan ancaman daripada pemancing. Namun begitu, “aku” masih berharap agar dirinya dapat keluar daripada akuarium yang mengurungnya seperti yang ditulis penyair dalam rangkap akhir sajak berkenaan. Rangkap tersebut juga yang menjadi inti rumusan kepada judul buku, iaitu:
Namun doaku
kaca yang mengepung air
segera pecah.
Azli Lee Abdullah, anak jati Kelantan kelahiran Kampung Salor, Kota Bharu yang kini menetap di Pekan, Pahang ini menulis sajak, cerpen dan esei sejak hampir empat dekad lalu serta mempunyai pengalaman bertugas sebagai wartawan dengan beberapa buah organisasi media terkenal tanah air.
Doa Kaca Pecah menghimpunkan 53 buah sajak Azli yang ditulis sejak hampir 40 tahun lalu. Kita menemui rentang waktu yang agak panjang antara tahun 1984 hingga tahun 2006, iaitu sekitar 22 tahun proses kepenyairan Azli dalam buku ini, namun sayangnya selepas tahun 2006, kita tidak temui lagi sajak-sajak yang ditulisnya.
Doa Kaca Pecah ialah catatan-catatan puitis dan mudah Azli Lee yang merangkumi perjalanan hidupnya di kampung, kenangan sewaktu belajar di Universiti Malaya, dan catatan perjalanan hidupnya di beberapa tempat terpilih. Dia menulisnya dalam bentuk sajak-sajak pendek yang dikirimkan ke media penerbitan, kemudian menjadikan tulisan tersebut kekal dan dapat dibaca oleh banyak orang.
Aturan sajaknya sedikit bercelaru, tidak mengikut urutan tarikh penciptaan karya. Kita agak terganggu dengan susunan tergesa-gesa yang ingin mengejar tarikh penerbitan buku hingga mengabaikan kedudukan sajak yang teratur serta tidak mengikut kronologi penciptaan.
Perhatikan sajak-sajak awal dalam buku ini dari halaman 1 hingga halaman 7 yang semuanya yang mendapat siaran media pada tahun 1984, tetapi pada halaman yang berikutnya, iaitu di halaman 8 diletakkan sajak yang ditulis pada tahun 2015. Sementara itu, di halaman 10 pula kembali dimuatkan karya yang disiarkan dalam Akhbar Watan pada tahun 1985.
Dengan bahasa biasa yang mudah, Azlee Lee mencatatkan perihal kampung halamannya pada waktu senja dalam “Senja-senja Begini”. Dia membayangkan dirinya sedang berjalan di atas batas sawah sambil meniup seruling. Pada masa tersebut juga dia melihat sinar matahari yang menambah kilauan kepada pokok-pokok padi yang sedang menguning. Dia menghayati keindahan dan menikmati suasana tersebut sambil mengemukakan satu persoalan berkenaan dengan berapa lama sudah para petani mengerjakan sawah tersebut. Ikuti sajak tersebut sepenuhnya, iaitu:
Senja-senja begini
alangkah indahnya
menyusuri batas sawah
menatapi runtuk padi
yang menguning
sambil meniup seruling
dari batangnya.
Mentari yang kian karam
masih menebarkan cahayanya
menambahkan sedikit kilau
kepada kuning padi.
Dalam kenikmatan ini
tertanya aku
sudah berapa lama
sawah ini dibasahi
peluh petani?
Masih tentang kisah di kampung, Azlee bercerita tentang suasana malam di kampung dalam “Malam di Desa” yang mengungkapkan perihal kanak-kanak, remaja, pengantin dan seorang tua. Sila lihat sajak yang berikut:
Malam di sini
kepada seorang kanak-kanak
cukup takut dan membosankan
seakan segalanya
ngeri dan menakutkan.
Malam di sini
kepada seorang remaja
tidak memberi apa-apa
cukup sekadar berfoya-foya
dan balik subuh nanti
sering dimarah.
Malam di sini
kepada seorang pengantin
amat berharap dan bersedia
menerima setiap sentuhan
tak terbayangkan nikmatnya
walau tanpa bicara.
Malam di sini
kepada seorang tua
cuma cukup untuk bersungkur
melepaskan lelah
yang terhimpun
pada hari siangnya.
Dalam “Pengalaman” di halaman 25, Azli Lee dengan bahasa yang mudah dan ringkas mengungkapkan pengalaman hidup yang dilaluinya menjadi enam baris sajak yang dipadatkan kepada dua perenggan pendek. Luasnya pengalaman hidup yang ditempuh termasuklah kehidupan di laut dan di hutan juga telah dirasa seperti yang tertera dalam sajaknya, iaitu:
Telah kurasa panas mentari
telah kurasa masin laut
telah kurasa kelam belantara.
Segalanya berpadu
menjadi pengalaman
paling mahal.
“Sesekali Perlu Aku Kembali” ialah sajaknya yang dimuatkan pada halaman 27 dengan ringkas dan mudah bercerita tentang ingatannya kepada kampung halaman ketika penyair sedang berada di kota.
Sesekali perlu aku kembali
ke daerah asal tempat lahir
menyusuri lorong-lorong kecil
menatap rumah usang, lopak sawah
yang telah lama aku tinggalkan.
Sesekali perlu aku merasai
debu-debu yang berterbangan itu
senyap sepi diam alam
selut lumpur di bendang.
Sesekali aku perlu memeriksa diri
mentafsir sekian perubahan
yang telah lama menjadikan aku
semakin hilang peribadi
di kota yang angkuh ini.
Dalam “Percakapan”, Azli Lee mencatatkan tentang hal biasa di rumah, iaitu berkenaan dengan alam, perihal panasnya cuaca siang dan sejuknya malam. Mungkin Azli bercakap dengan diri sendiri atau berbicara dengan seseorang yang tidak kita ketahui. Hal ini kerana penyair cuma menyebut seseorang itu sebagai “nya” seperti dalam rangkap di bawah:
Katanya,
kau juga harus tahu
tentang dingin malam
yang kerap
menampar-nampar
kaca jendela itu.
Isi sajak ini diambil daripada hal biasa dan mudah. Keadaan cuaca dan suasana alam yang menjadi perbualan harian di rumah itu disalinnya ke dalam sajak. Perkara berkenaan juga mungkin difikirkannya secara berseorangan dan penyair bercakap dengan dirinya sendiri atau boleh juga kita sebut sebagai suara batin penyair.
Sajak pendek “Nyanyian Burung” di halaman 38 juga mudah dan menarik. Hal ini kerana sajak tersebut diawali dengan kisah penyair yang terjaga akibat mendengar suara burung yang ditulisnya sebagai nyanyian. Penyair menganggap suara burung yang mengejutkannya itu satu nikmat Tuhan yang mempunyai hikmahnya yang tersendiri.
Dihayati dan ditekuninya suara burung itu dengan lebih mendalam. Ketika itulah penyair terfikir kemungkinan-kemungkinan yang terjadi kepada burung yang sedang berkicau tersebut. Di sebalik kicauan yang didengar merdu itu barangkali ada hal-hal tidak baik terjadi kepada burung berkenaan. Itulah yang cuba difikirkan oleh penyair dan digarap dalam sajak ini.
Penyair terfikir kemungkinan suara kicauan burung tersebut bukannya kerana riang, namun kicaunya itu barangkali rintihan kesedihan disebabkan oleh kekasihnya yang mati ditembak pemburu atau sarangnya di atas pokok dikacau oleh budak-budak nakal. Di bahagian akhir sajak, penyair mengakui bahawa dia tidak memahami bahasa burung.
Sajak “Sakit” pada halaman bersebelahan, penyair mengingatkan kita tentang nikmat namun dengan cara yang lebih halus dan tersembunyi. Halus dan tersembunyi kerana sakit itu disifatkan sebagai nikmat. Nikmat yang datang kepadanya dengan lembut dan sopan. Keterbalikan yang dikemukakan penyair itulah yang menjadikan sajak ini menarik.
Sajak ini juga boleh menjadi satu terapi penyembuhan kepada penyair serta mengingatkannya kepada kekuasaan Allah yang akan menguji hamba-Nya dengan sihat serta sakit. Sakit yang dianggap nikmat itulah yang akan memberikan kesedaran kepada diri penyair dan para pembaca bahawa segala kebahagiaan yang dikecapi selama ini melalui sihatnya tubuh badan semuanya milik Allah. Hanya pinjaman daripada-Nya belaka. Untuk mendapatkan kesedaran tersebut, penyair secara halus dan lembut mengakrabi kesakitan yang dialami dengan menganggapnya sebagai nikmat. Itulah antara inti pati utama sajak ringkas ini.
Azli Lee mengakhiri bukunya ini dengan sebuah lagi sajak ringkas yang bertajuk “Resah”. Gelisah dan risau itu diumpamakan seperti jasad manusia dalam sajak ini. Sajak ini tidak selesai dan tergantung kerana penyair hanya mengemukakan persoalan tanpa jawapan. Keresahan itu selalu dialami oleh penyair apabila dia mengatakan “saban hari mundar-mandir”.
Orang yang menyelinapkan beban ke dalam fikiran penyair yang saban hari mundar-mandir itulah yang menjadikannya makin resah, kata penyair. Keresahan yang menjadi beban dalam fikirannya itu dijadikan manusia yang mempunyai kaki untuk berjalan mundar-mandir sambil membawa beban yang tidak diketahui kandungannya.
Doa Kaca Pecah memperlihatkan kepada kita kisah kehidupan dan peristiwa seharian yang disalin ke dalam bahasa puitis menjadi sajak. Beberapa sajak ringkas dengan bahasa yang agak mudah telah dibincangkan untuk melihat cakupan perbahasan penyair. Membaca Doa Kaca Pecah ialah membaca kehidupan dan segala kisah yang ada di dalamnya sebagai ingatan serta pedoman para pembaca yang tajam dan perasa.