Diterbitkan pada 23 April 2026, 15:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

“Bahasa Jiwa Bangsa — Raikan ilmu tidak kira di mana-mana ilmu tersebut tertulis; kerana kualiti pemikiran tidak diukur pada tebalnya kertas, tetapi pada dalamnya kefahaman.”

Selamat Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia buat semua pencinta ilmu!

Hari ini, kita kembali diingatkan tentang betapa besarnya pengaruh sebuah naskhah demi membentuk tamadun dan pemikiran manusia. Jika diimbau kembali kenangan sedekad atau dua dekad yang lalu, suasana menyambut hari istimewa ini pastinya sangat berbeza. Kita mungkin masih teringat bau kertas khas dari buku yang baru dibeli di kedai, rak buku yang tersusun rapi hingga melimpah di ruang tamu, serta koleksi penanda buku comel yang kita selitkan dengan penuh teliti pada setiap bab.

Memegang naskhah fizikal itu sendiri merupakan satu pengalaman deria yang unik—rasa tekstur kertas yang kasar dan bunyi helaian yang diselak memberikan kepuasan jiwa yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Namun, realiti hari ini telah berubah secara drastik seiring peredaran zaman. Selari dengan kemajuan teknologi digital yang pesat, tangan kita kini jauh lebih kerap memegang telefon pintar atau tablet berbanding dengan sebuah buku fizikal yang tebal. Ke mana-mana sahaja kita pergi—sama ada ketika bersesak di dalam tren, berehat di kafe, malah di atas katil sebelum melelapkan mata—skrin bercahaya itulah yang menjadi teman setia. Kita kini lebih banyak menghadam maklumat melalui artikel online, hantaran blog, dan portal berita digital yang sangat pantas serta mudah diakses hanya dengan satu sentuhan jari.

Transisi ini menimbulkan satu persoalan besar kepada pencinta buku sama ada kita sebenarnya sedang “mengkhianati” inti pati sambutan Hari Buku jika kita lebih memilih untuk membaca bahan bacaan pada skrin peranti digital berbanding dengan naskhah bercetak? Adakah nilai ilmu itu dianggap berkurang hanya kerana tidak dicetak di atas kertas dan dijilid rapi? Atau mungkinkah kita perlu mulai mendefinisikan semula makna “membaca” dalam konteks zaman moden yang serba pantas ini?

Dalam perbincangan ini, kita akan meneroka sejauh manakah kerelevanan untuk meraikan Hari Buku melalui medium digital dan mengapakah tabiat membaca bahan bacaan secara dalam talian sebenarnya tetap merupakan satu penghormatan terhadap semangat literasi global.

Evolusi Wadah, Bukan Maklumat

Ayuh kita berfikir, adakah medium menentukan nilai sebuah bacaan? Hakikatnya, jika diselami sejarah peradaban manusia, kita akan menyedari bahawa setiap yang dilalui sekarang hanyalah sebahagian daripada evolusi wadah dan bukanlah perubahan maklumat. “Membaca” ialah satu proses kognitif untuk menyerap ilmu, memahami perspektif baharu, dan memperkaya kosa kata dan proses ini tidak pernah terikat secara eksklusif terhadap helaian kertas semata-mata.

Jika diimbas kembali sejarah ribuan tahun dahulu, manusia mencatat sejarah dan pesanan pada dinding gua, kepingan batu, dan kulit kayu. Perkembangan teknologi membawa ke arah penggunaan papirus sebelum mesin cetak Gutenberg mencetuskan revolusi kertas yang kita kenali hari ini. Persoalannya, adakah ilmu yang dipahat pada batu itu kurang nilainya berbanding dengan ilmu yang dicetak pada kertas?

Tentu sekali tidak. Perubahan daripada batu kepada kertas dan kini daripada kertas kepada skrin digital hanyalah perubahan pada “bekas” atau wadahnya sahaja. Air yang dituangkan ke dalam cawan emas mahupun cawan plastik tetaplah air yang sama sifatnya. Begitu juga dengan ilmu. Oleh itu, kita perlu faham bahawa Hari Buku Sedunia sebenarnya bukan sekadar sambutan untuk meraikan “objek” bernama buku atau bau kertas yang harum. Sebaliknya, situasi tersebut adalah suatu manifestasi untuk meraikan ilmu pengetahuan itu sendiri serta menghargai jasa para penulis yang bertungkus-lumus menuangkan idea mereka.

Penulis tetap seorang penulis, sama ada karyanya diterbitkan dalam bentuk naskhah berkulit tebal yang mewah atau dalam bentuk naskhah digital yang tular di media sosial. Usaha mereka untuk mengkaji, menyusun fakta dan menyampaikan naratif itulah yang sepatutnya dijunjung. Membaca bahan bacaan secara dalam talian hari ini sebenarnya merupakan kesinambungan terhadap tradisi literasi tersebut. Apabila kita membaca penulisan yang berkualiti pada skrin, kita masih melakukan aktiviti intelektual yang sama, iaitu berfikir secara kritikal dan menambah input ke dalam minda. Jadi, janganlah kita berasa bersalah jika tablet lebih banyak memenuhi ruang beg berbanding dengan buku fizikal.

Selagi bahan yang dibaca itu memberikan manfaat dan membina karakter, kita sebenarnya sedang merayakan semangat Hari Buku dalam bentuk yang paling kontemporari. Ilmu itu bersifat  luas dan bebas kerana ilmu tidak pernah diskriminasi terhadap medium yang membawanya.

Mengapakah aktiviti membaca bahan bacaan dalam talian dianggap sangat relevan untuk meraikan Hari Buku pada era moden ini? Jawapannya terletak pada fungsionaliti dan kepantasan yang ditawarkan oleh teknologi digital. Kelebihan pertama yang tidak boleh dinafikan ialah kepantasan terhadapa akses. Jika dahulu kita perlu memperuntukkan masa yang khusus untuk memandu ke kedai buku atau perpustakaan, kini segalanya berada di hujung jari. Ilmu tidak lagi bersifat eksklusif untuk mereka yang mempunyai akses fizikal dengan gedung buku sahaja.

Seorang pelajar di ceruk kampung kini mempunyai peluang yang sama untuk membaca jurnal atau artikel pemikiran tokoh dunia sehebat mereka yang berada di kota besar dengan hanya melalui skrin telefon. Kelajuan akses ini secara tidak langsung mendemokrasikan ilmu pengetahuan, menjadikan aktiviti membaca sesuatu yang dapat dilakukan pada bila-bila masa sama ada ketika menunggu bas, semasa waktu rehat, atau di tengah-tengah kesibukan harian.

Integrasi elemen multimedia seperti video penerangan, grafik interaktif, dan carta bergerak sangat membantu dalam meningkatkan pemahaman terhadap topik yang kompleks. Visualisasi sebegini menjadikan proses pembelajaran lebih dinamik dan tidak membosankan, sekaligus menarik minat generasi muda untuk terus kekal membaca.

Walau bagaimanapun, kita tidak boleh menutup mata terhadap cabaran besar yang datang bersama -sama naskhah digital. Membaca buku fizikal sering dikaitkan dengan pembacaan mendalam. Apabila kita memegang buku, gangguan visual adalah sangat minimum. Kita cenderung untuk tenggelam dalam naratif atau hujah penulis selama berjam-jam tanpa gangguan yang membolehkan otak memproses maklumat secara kritikal dan menyimpannya dalam memori jangka panjang.

Sebaliknya, apabila membaca secara dalam talian, kita sering terjebak dengan tabiat membaca secara imbasan. Kita tidak lagi membaca setiap patah perkataan, sebaliknya hanya melompat dari satu perenggan ke perenggan yang lain untuk mencari inti utama dengan pantas. Mengapakah hal ini berlaku?

Cabaran utamanya adalah gangguan digital yang tidak terkawal. Skrin yang digunakan untuk membaca adalah skrin yang sama yang menghantar notifikasi WhatsApp daripada rakan, pemberitahuan tanda suka di Instagram, trend terbaharu di aplikasi X, atau video baharu yang melucukan di TikTok. Gangguan ini memecahkan fokus pembaca hingga menyebabkan otak lmenjadi etih dan akhirnya hanya mendapat ilmu berdasarkan kulit semata-mata tanpa sempat menghadam isinya dengan sempurna.

Dalam keghairahan mengejar kepantasan bahan bacaan secara dalam talian, kita tidak seharusnya membiarkan hubungan kita dengan buku fizikal terputus. Sebaliknya, selitkanlah masa untuk kembali kepada pembacaan secara fizikal sebagai pelengkap bagi gaya hidup digital. Hal ini penting bagi menjadikan generasi muda mengenali perpustakaan sebagai gedung ilmu yang mempunyai rohnya yang tersendiri. Kita mahu mereka tahu merasai ketenangan di suatu sudut membaca yang sunyi, jauh daripada hiruk-piruk dunia maya yang tidak pernah tidur.

Bau buku baharu yang segar atau bau unik daripada halaman kertas usang yang sudah kekuningan mempunyai aura nostalgik yang mampu membawa kita mengembara ke zaman yang berbeza. Bau “hapak” yang manis daripada buku lama itu sebenarnya merupakan bau sejarah dan perjalanan masa yang tersimpan kemas dalam setiap naskhah.

Mengekalkan tabiat membaca buku fizikal bukan bermakna kita antiteknologi, tetapi kita sedang memelihara warisan kemanusiaan. Hal ini merupakan usaha bagi memastikan minda kita tetap mampu bersabar dan tenang dalam sebuah proses yang perlahan namun mendalam. Perkara yang paling utama bukanlah pada tekstur bahan yang dipegang, tetapi kualiti ilmu yang berjaya kita hadam masuk ke dalam minda. Sama ada melalui skrin digital yang pantas atau helaian kertas yang tenang, matlamat akhir kita tetap sama, iaitu menjadi insan yang lebih berilmu, kritis, dan berempati melalui pembacaan.

Kuncinya terletak pada keseimbangan. Kita boleh menikmati kepantasan dan akses luar biasa yang ditawarkan oleh dunia digital, namun pada masa yang sama, janganlah sesekali membiarkan buku fizikal menjadi sekadar perhiasan di rak yang berdebu. Ambillah masa untuk mencium bau kertas dan merasai setiap helaian, kerana ada jiwa dan ketenangan dalam naskhah fizikal yang tidak mampu digantikan oleh sebarang algoritma. Gabungan kedua-dua dunia ini akan melahirkan generasi pembaca yang lebih dinamik dan berdaya saing. Tuntasnya, dalam apa-apa jua bentuk, sesuatu ilmu perlu diraikan. Hari Buku merupakan hari untuk menghargai penulis, pemikir, dan semangat literasi global. Masyarakat diseru untuk teruskan membaca, meneroka, dan membiarkan cahaya ilmu terus menerangi hidup tidak kira di mana sahaja ilmu itu tertulis.

Selamat Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia!

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi