Diterbitkan pada 21 September 2025, 09:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Keharmonian merupakan aspek yang penting bagi mecerminkan kemajuan sesebuah negara. Kemajuan yang diukur melalui keharmonian sejagat harus dititikberatkan dalam arus pemodenan yang semakin rancak pada masa ini. Namun begitu, pengaruh negatif yang semakin menular dalam diri generasi kini terutamanya ketika berinteraksi antara satu sama lain merupakan cabaran yang harus ditangani segera sebelum menjadi barah.

Gaya pertuturan generasi muda kini dilihat lebih gemar menggunakan kata-kata yang kurang enak didengari. Hal ini dikatakan demikian kerana, kesantunan dalam berbahasa tidak dinormalisasikan dalam kehidupan seharian mereka. Kurangnya perhatian berkaitan dengan adab dalam komunikasi juga menjadi faktor hilangnya nilai dalam berbahasa. Oleh itu, aspek kesantunan dalam berbahasa haruslah dijadikan amalan dalam pertuturan seharian setiap individu bagi membuka minda individu yang lain supaya lebih cakna tentang kesantunan dalam berbahasa.

Menurut Kamus Dewan Perdana (2020), kesantunan merujuk perihal kesopanan, yakni budi bahasa atau budi pekerti. Kesantunan dalam berbahasa pula dapat ditakrifkan sebagai cara bertutur dengan penuh kesopanan dan mementingkan nilai yang baik dalam setiap tutur bicara yang dilontarkan tanpa mengguris hati individu yang mendengar. Nilai yang baik apabila diungkapkan melalui kata-kata menjadi cerminan keperibadian seseorang individu.

Dalam ilmu linguistik khususnya, antara bidang yang mengetengahkan tentang aspek kesantunan berbahasa termasuklah bidang pragmatik. Menurut Raminah Hj. Sabran et al. (2022), pragmatik ialah cabang ilmu linguistik yang mengkaji makna ujaran berdasarkan konteks budaya sesuatu masyarakat, ataupun penggunaan bahasa dalam konteks yang sebenar.

Berdasarkan konteks yang terkandung dalam bidang pragmatik, pengaruh sosial masyarakat yang penuh dengan nilai dalam pertuturan mencorakkan keharmonian sesama mereka. Hal ini dikatakan demikian kerana, jika sesuatu ungkapan yang ingin diujarkan mempunyai unsur kritikan atau teguran, mereka tidak mengkritik secara terus, sebaliknya akan menegur secara kiasan yang biasa ditemukan dalam budaya Melayu, iaitu simpulan bahasa. Sebagai contoh, teguran yang dikiaskan bagi seseorang yang tidak pandai menyimpan rahsia akan digelarkan sebagai “mulut tempayan”.

Simpulan bahasa jelas mencerminkan nilai pemikiran masyarakat terdahulu yang menjaga perasaan orang lain supaya tidak mencetuskan kemarahan individu yang ditegur atau yang mahu ditegur.

Kesantunan dalam berbahasa adalah satu daripada faktor yang mampu mendorong ke arah keharmonian sejagat. Hal ini dikatakan demikian kerana, setiap perkataan yang dilontarkan mempengaruhi tindak balas dan reaksi individu yang mendengar ujaran tersebut. Sebagai contoh dalam perbincangan untuk menyelesaikan masalah, jika kata-kata yang dilontarkan itu mempunyai nilai, adab dan bersopan santun maka, reaksi individu yang mendengar ujaran tersebut akan menunjukkan tindak balas yang baik. Secara tidak langsung, persengketaan atau pertelingkahan dapat dielakkan antara dua pihak dalam menyelesaikan masalah.

Di samping itu, kesantunan berbahasa juga merupakan panduan yang penting dalam berkomunikasi dengan individu pada pelbagai peringkat. Perbezaan ini dapat dilihat dari segi umur, pangkat, jantina dan kekeluargaan. Peringkat ini menggambarkan konteks situasi yang berbeza. Penggunaan kata yang bersesuaian haruslah diimplikasikan dengan sewajarnya. Bahasa yang formal misalnya, haruslah dipatuhi sekiranya individu tersebut berada dalam situasi yang formal. Penggunaan bahasa formal ini merupakan etika yang wajar dititikberatkan supaya keadaan sesuatu majlis berlangsung dengan teratur.

Kelebihan yang terdapat dalam tatabahasa bahasa Melayu yang mempengaruhi kesantunan berbahasa termasuklah penggunaan kata ganti nama diri oleh masyarakat dapat disesuaikan mengikut konteks dan keadaan. Contoh penggunaan kata ganti nama diri pertama termasuklah i “saya”, “aku, “hamba” dan beta” haruslah disesuaikan penggunaannya dengan berdasarkan pihak yang dilawan berbicara. Penggunaan hukum tatabahasa yang tepat mengikut konteks yang bersesuaian mampu mempengaruhi aspek kesantunan dalam berbahasa.

Konklusinya, kesantunan berbahasa merupakan aspek yang amat penting dalam menjamin keharmonian sejagat. Interaksi sosial dalam kalangan masyarakat majmuk menjadikan kesantunan berbahasa ini mengalami cabaran untuk mempraktikkannya. Oleh itu, semua pihak haruslah bersama-sama mendidik generasi muda seawal usia kanak-kanak lagi agar mereka terbiasa dengan sikap dan sifat beradab bak kata pepatah “melentur buluh biarlah dari rebungnya”.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi