Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKamus Dewan Perdana (KDP) merupakan kamus terbesar dan terlengkap yang dihasilkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka setakat ini. Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat lebih daripada 120 ribu entri dan subentri yang merangkumi kata umum, istilah, dialek dan kata bahasa serumpun terdapat dalam kamus ini. Selain itu, analisisnya dibuat berdasarkan data korpus lebih daripada 113 juta kata dalam korpus DBP dan Internet.
Satu daripada kelebihan kamus ini ialah terdapat maklumat tentang golongan kata dalam bahasa Melayu, iaitu kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas serta subgolongannya. Label kelas kata tersebut dibuat dengan berpandukan Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Terdapat 21 label kelas kata yang terdapat dalam kamus ini. Yang menariknya ialah kamus ini turut menganalisis golongan kata dengan terperinci, iaitu adakalanya sesuatu kata dikategorikan di bawah satu golongan kata atau lebih, mengikut konteks dan fungsi penggunaannya dalam ayat. Hal ini merupakan perkembangan terbaharu dalam bahasa Melayu. Mari kita lihat contoh yang berikut:
| Contoh Kata | Golongan Kata |
| cerita | Kata nama |
| mati | Kata kerja tak transitif, kata adjektif, kata nama, kata adverba |
| melalui | Kata kerja transitif, kata sendi nama |
| merupakan | Kata kerja transitif, kata pemeri |
| esok | Kata nama, kata adverba |
| kekuningan | Kata nama, kata adjektif |
| sekali | Kata bilangan, kata penguat, kata adverba, kata nama |
| haram | Kata adjektif, kata penegas (bahasa basahan) |
Satu lagi kekuatan KDP ialah wujudnya panduan sebutan baku untuk para pengguna bahasa Melayu. Panduan ini disediakan menurut abjad fonetik antarabangsa (IPA) SIL dan berdasarkan Pedoman Umum Sebutan Baku Bahasa Melayu yang terkandung dalam Daftar Kata Bahasa Melayu, Rumi-Sebutan-Jawi Edisi Kedua (2008). Selain itu, transliterasi kepada tulisan Jawi juga membantu para pengguna bahasa Melayu mengenal pasti sebutan kata yang betul. Hal ini dapat mengatasi masalah sebutan bagi kata baharu, kata pinjaman dan kata homograf. Sila lihat contoh yang berikut:
Kata Pinjaman
| Contoh Kata | Sebutan |
| lasagne | ləzanijə |
| chalet | ʃale |
| champagne | ʃempen |
| agen | agen |
Homograf
| Contoh Kata | Sebutan |
| bela | bəla, bela |
| perang | pəraŋ, peraŋ |
| selak | səlaʔ, selaʔ |
| semak | səmaʔ, semaʔ |
| rendang | rəndaŋ, rendaŋ |
Satu lagi maklumat baharu dalam KDP ialah maklumat etimologi yang julung kalinya dimasukkan ke dalam kamus yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Maklumat etimologi ini merupakan hasil olahan kajian pakar etimologi bahasa Melayu, Profesor Dr. Nothofer dan Dr. Adelaar berdasarkan kajian tentang tesis, esei, jurnal, kamus dan buku. Sekitar 7000 entri kata warisan dan kata pinjaman dalam kamus ini diberi maklumat etimologi pada bahagian akhir entri.
Makna kata tidak mungkin dapat diberikan setepat-tepatnya kerana adakalanya sempadan makna antara kata kabur dan terdapat juga makna kata yang bertindih. Bagi KDP, makna kata yang dihuraikan merupakan makna yang tipikal dan diketahui umum. Selain itu, sinonim atau antonim yang terhampir turut diberikan. Makna kata juga digambarkan menerusi penggunaannya dalam konteks kata terbitan, kata majmuk, kata ganda, simpulan bahasa, peribahasa, frasa dan ayat. Sedapat mungkin penyusun memilih ayat tipikal daripada korpus DBP dan laman sesawang. Lazimnya, satu hingga tiga ayat atau frasa diberikan sebagai contoh penggunaan bagi sesuatu takrif. Sila lihat contoh yang berikut:
| Contoh Kata | Kategori | Contoh |
| hiba | sinonim | sedih, pilu |
| hodoh | antonim | tidak cantik |
| cari | kata berimbuhan | bercari, mencari, dicari, mencarikan, dicarikan, carikan, pencarian, carian, carian, pencari, sepencarian |
| tanda | kata majmuk | tanda baca, tanda aras, tandatangan |
| angin | simpulan bahasa | makan angin, naik angin |
| kali | kata ganda | kali-kali, berkali-kali |
| kampung | frasa | kampung halaman, kampung laman |
| malang | ayat | Kanak-kanak yang malang itu cedera parah ditanduk lembu.
Amin lebih teruk menerima malang berbanding dengan Khalilah. |
| pengat | peribahasa | kacang sebuah, tak jadi memengat |
Sesuatu kata juga dijelaskan konteks penggunaannya dari segi arkaik, istilah, slanga, bahasa basahan, bahasa klasik, bahasa halus, bahasa kasar dan sebagainya. Terdapat 46 label bidang ilmu bagi entri yang berupa istilah. Mari kita lihat contoh yang berikut:
| Konteks Penggunaan | Contoh |
| Arkaik | bad, bagal, kereta lereng |
| Istilah | tetingkap, injunksi, jejunitis |
| Istilah lama | Ilmu alam, kaji hayat |
| Slanga | awek |
| Bahasa basahan | cun, babab, Senen, helmet, okey |
| Bahasa klasik | daksina, arakian, bercucuk ikan |
| Bahasa halus | bersama, buang air |
| Bahasa kasar | mampus, celaka, haram jadah |
| Bahasa tabu | Keling |
| Bahasa diraja | gering, santap, berangkat |
| Bahasa puitis | purnama |
| Bahasa kiasan | bunga, mencucuk hati, jantung hati |
| Bahasa intim | sayang |
| Konvensi sosial | helo |
| Singkatan | PBB, UMK, IPTS, IKS |
| Akronim | HICOM, PERHILITAN, INTAN |
| Dialek | gerluk, peres, belon, kelewar |
| Bahasa serumpun | santer, irus, batok kepala, batis |