Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMalaysia ialah sebuah negara berbilang kaum yang rakyatnya hidup dalam suasana harmoni. Keharmonian ini dapat diperhatikan melalui komunikasi harian. Di warung kopi ketika bersarapan pada waktu pagi, dalam dewan kuliah sewaktu mahasiswa berbincang tentang tugasan kursus, mahupun di pasar malam apabila proses tawar-menawar harga berlaku antara pelanggan dengan penjual.
Dalam pertuturan menggunakan bahasa kebangsaan yang telah lama berakar di negara ini, sering terselit partikel wacana, iaitu kata pendek yang tidak membawa makna leksikal penuh tetapi berfungsi menyampaikan emosi, menandakan sikap penutur, menghidupkan intonasi dan identiti pertuturan, serta mengukuhkan hubungan sosial dalam perbualan. Antara contoh yang lazim didengar ialah partikel ek, yang sering dituturkan oleh masyarakat di selatan Semenanjung Malaysia, khususnya Johor.
Sebagai contoh, “Dr., kami keluar pergi solat dulu ek?”, “Dr., dulu Dr. pernah mengajar senior kami ek?” atau “Tunggu sekejap ek?” Ujaran seperti ini kerap didengar penulis dalam dewan kuliah. Dalam konteks tersebut, ek berfungsi melembutkan ujaran agar kedengaran lebih sopan dan tidak terlalu mendesak. Partikel ini juga membawa unsur memujuk, khususnya dalam ayat permintaan. Sebagai contoh, penulis yang berasal dari Tangkak, Johor, mungkin mengingatkan mahasiswa dengan ungkapan, “Jangan lupa hantar tugasan esok, ek?” Penggunaan ek dalam situasi ini membantu mengekalkan hubungan sosial dan profesional secara seimbang, di samping mengelakkan nada yang terlalu memerintah. Walaupun lazimnya digunakan dalam kalangan kenalan rapat, partikel ini tetap sesuai dalam konteks yang lebih formal selagi penggunaannya berhemah dan bertepatan dengan situasi.
Dalam pertuturan harian masyarakat Cina di Malaysia, partikel seperti ma dan meh digunakan secara meluas sebagai unsur wacana. Menariknya, penggunaannya tidak lagi terhad kepada komuniti Cina semata-mata, bahkan telah diakomodasi dalam interaksi masyarakat majmuk negara ini. Partikel ini tidak membawa makna leksikal yang lengkap, sebaliknya berfungsi mengurus emosi, menandakan sikap penutur serta memelihara hubungan sosial dalam perbualan.
Berdasarkan pengalaman penulis sebagai pensyarah, partikel ma kerap kedengaran dalam kalangan mahasiswa berbangsa Cina. Misalnya, seorang mahasiswa berkata kepada rakannya yang berbangsa Melayu, “Tak susah pun soalan yang Dr. bagi, ma!” Dalam konteks tersebut, ma berperanan melembutkan kenyataan, menjadikannya lebih santai dan tidak bersifat merendahkan atau mencabar. Hal ini seolah-olah memujuk secara halus, sekali gus mengurangkan potensi ketegangan dalam interaksi sesama rakan sebaya.
Yang menariknya, partikel ini turut difahami dan digunakan oleh mahasiswa dalam kalangan etnik lain. Apabila seorang pelajar Melayu membalas, “Betul, meh?”, partikel meh berfungsi untuk menyatakan keraguan atau bantahan secara bersahaja. Nada yang terhasil bukanlah keras atau konfrontatif, sebaliknya ringan dan bersifat gurauan. Fenomena ini memperlihatkan bagaimana partikel wacana menjadi jambatan linguistik yang mencerminkan proses akomodasi bahasa dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia, sekali gus memperkaya identiti bahasa pertuturan bersama.
Satu lagi partikel wacana yang kerap digunakan dalam pertuturan rakyat Malaysia ialah bah. Partikel ini biasanya digunakan masyarakat dari Sabah. Sebagai kata nama, “bah” membawa maksud banjir. Namun dalam dialek Sabah, “bah” berfungsi sebagai partikel wacana yang lazimnya hadir di hujung ayat atau selepas klausa utama. Penggunaannya sangat dominan dan merentas pelbagai situasi komunikasi. Sebagai contoh, ungkapan “Boleh siap hari ini, bah.” memberikan penegasan terhadap sesuatu keputusan atau pendirian tanpa nada yang keras. Dalam ayat “Saya sudah siap tugasan itu, bah!”, partikel tersebut menandakan bahawa perkara berkenaan telah diputuskan dan tidak perlu dipersoalkan lagi. Dalam konteks yang lebih santai seperti “Mari makan nasi dulu, bah.”, penggunaannya mewujudkan suasana mesra, tidak formal dan penuh rasa kebersamaan. Justeru, partikel bah bukan sekadar penanda penegasan, tetapi juga lambang solidariti dan identiti pertuturan masyarakat Sabah.
Di utara Semenanjung Malaysia pula, khususnya di Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan sebahagian Perak Utara, partikel na sering digunakan dalam dialek setempat. Partikel ini berfungsi untuk menenangkan, meyakinkan atau menguatkan kenyataan secara lembut. Contohnya, “Tak apa na, sat lagi siap.” membawa maksud bahawa sesuatu perkara akan diselesaikan tidak lama lagi, dengan nada yang menenangkan pendengar. Dalam ayat “Hang mai awal na, senang sikit.”, partikel na menjadikan ujaran lebih mesra dan tidak formal, sekali gus mengurangkan jarak sosial antara penutur dengan pendengar. Begitu juga dalam arahan seperti “Tolong angkat kerusi ini, na.”, penggunaan na melembutkan nada supaya tidak kedengaran memerintah.
Selain itu, partikel noh juga digunakan di negeri utara seperti Kedah, Perlis dan Pulau Pinang meskipun fungsi dan nadanya mungkin sedikit berbeza daripada penggunaan di Pantai Timur. Ungkapan seperti “Hang jangan buat loqlaq noh!” amat tipikal dalam dialek utara. Dalam konteks ini, noh berfungsi menegaskan emosi dan menguatkan larangan, namun masih dalam lingkungan pertuturan tidak formal yang bersifat setempat. Begitu juga dalam ayat “Betui dah kiraan ini, noh.”, partikel tersebut menandakan keyakinan dan penegasan bahawa sesuatu itu benar serta tidak perlu dipertikaikan. Dalam bentuk pertanyaan, ungkapan seperti “Awat lambat sangat noh?” lazimnya membawa nada teguran yang ringan dan bukan kemarahan yang serius. Kesemua partikel ini memperlihatkan betapa kaya dan halusnya fungsi wacana dalam dialek tempatan yang bukan sahaja mencerminkan identiti wilayah, malah memperkukuh hubungan sosial dalam masyarakat majmuk Malaysia.
Kesimpulannya, penanda wacana seperti ek, bah, ma, na dan seumpamanya bukanlah sekadar trend linguistik generasi Z yang tular di media sosial, sebaliknya berakar dalam keunikan dialek serta budaya negeri tertentu di Malaysia. Unsur ini bukan hanya gaya pertuturan, tetapi manifestasi identiti setempat yang terbentuk daripada sejarah migrasi, pengaruh silang bahasa dan rasa kebersamaan dalam komuniti. Apabila seorang anak Johor menyebut “betul ek”, seorang warga Sabah menambah “bagus bah”, atau seorang penutur dialek utara melontarkan “sabaq na”, yang terungkap bukan sekadar partikel kecil di hujung ayat, tetapi jejak warisan bahasa yang telah lama berakar dan berkembang dalam masyarakat.
Partikel wacana ini mencerminkan identiti linguistik serta solidariti sosial yang terjalin secara halus melalui pertuturan harian. Hakikatnya, bahasa Melayu bukanlah entiti yang statik. Bahasa ini hidup, berkembang dan bernafas bersama masyarakatnya. Partikel wacana inilah yang menjadi nadi kecil tetapi signifikan untuk menghubungkan generasi lama dan baharu, negeri dan wilayah, tradisi dan teknologi. Melaluinya, terjalin satu jaringan identiti kebahasaan yang terus subur, tidak lapuk ditelan zaman, malah sentiasa segar dalam arus perubahan.
Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah merupakan pensyarah di Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, Universiti Teknologi Malaysia.