Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – “Penghasilan kamus dwibahasa seperti ini bukan sahaja penting untuk merancakkan kegiatan penterjemahan dan pengalihan ilmu daripada bahasa asing kepada bahasa Melayu, malah turut memperluas serta memperkaya korpus persuratan Melayu sekali gus dapat mengangkat martabat bahasa Melayu di persada dunia.”
Demikian menurut Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan semasa menyampaikan ucapan dalam Majlis Pelancaran Kamus Perancis-Melayu Dewan Edisi Kedua anjuran DBP melalui Bahagian Perkamusan, bertempat di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 (PBAKL) yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Dasar dan Kurikulum) mewakili Timbalan Menteri Pendidikan, YBrs. Dr. Rusmini Ku Ahmad pada pagi tadi.
Menurut YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, penerbitan kamus ini seiring dengan aspirasi Pelan Strategik DBP 2026–2030 yang memberikan penekanan terhadap usaha memperkukuh ekosistem bahasa Melayu sebagai bahasa negara, bahasa ilmu dan bahasa persuratan tinggi.
Tambah beliau lagi,
Kamus Perancis–Melayu Dewan Edisi Kedua diterbitkan sebagai kamus dwibahasa yang komprehensif bagi melengkapkan perbendaharaan ilmu serta memperkaya khazanah persuratan kebangsaan dan mengantarabangsakan bahasa Melayu.


Kamus Perancis–Melayu Dewan Edisi Kedua tampil dengan kandungan yang diperluas dan diperhalus secara menyeluruh selepas lebih dua dekad sejak penerbitan edisi pertamanya. Kamus ini mengandungi 29 000 kata masukan, iaitu pertambahan sebanyak 9000 kata berbanding dengan edisi sebelum ini yang memuatkan sebanyak 20 000 kata masukan.
Selain peningkatan jumlah kosa kata, penambahbaikan turut merangkumi definisi atau keterangan makna yang lebih jelas, glos yang tepat serta contoh penggunaan yang lebih kemas dan relevan pada masa ini. Sebahagian besar entri dan subentri kamus ini diolah semula dari segi pemaparan maklumat semantik, berbantukan korpus dan kamus-kamus bahasa Perancis serta melalui siri bengkel yang diadakan bersama-sama dengan pakar rujuk bahasa Perancis.
Kamus ini memenuhi keperluan pengguna bahasa Perancis yang ingin memahami bahasa Melayu secara mendalam, khususnya dalam konteks komunikasi dan penterjemahan, sekali gus menggalakkan penghasilan karya terjemahan yang menyumbang kepada pengembangan korpus bahasa Melayu serta memperkukuh hubungan intelektual antara negara. Seiring dengan usaha melestarikan pendidikan berkualiti dan pengembangan bahasa asing seperti bahasa Perancis di institusi pendidikan, kamus ini turut berfungsi sebagai alat rujukan penting dalam proses pembelajaran dan penguasaan bahasa tersebut.
Yang turut hadir dalam majlis pelancaran ini termasuklah Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin Datuk Paduka Mohamed; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP, YBrs. Encik Zulfa Hamzah; Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa; Ketua Editor Bahagian Majalah yang menjalankan tugas Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, YBrs. Dr. Rosmani Omar; Ketua Bahagian Perkamusan DBP, YBrs. Encik Mohd Fadzli Tajuid dan pakar rujuk bahasa Perancis bagi Kamus Perancis–Melayu Dewan Edisi Kedua.
