Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah melancarkan Buku Kanak-kanak, Insan Berkeperluan Khas, “Dunia Mereka, Kisah Kita” yang menghimpunkan 18 judul penerbitan buku khusus untuk anak disleksia dan anak pekak serta ibu bapa anak autisme bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), petang tadi.

Menurut Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Dr. Hazami Jahari, pendidikan bukanlah sekadar proses menyampaikan ilmu pengetahuan, malah merupakan usaha berterusan untuk membentuk masyarakat yang penyayang, inklusif dan menghargai kepelbagaian.

Tambah beliau,
Anak-anak berkeperluan khas yang mengalami disleksia, pekak dan autisme sememangnya memiliki potensi yang luar biasa dan berupaya memberikan sumbangan terhadap pembangunan masyarakat dan negara apabila diberikan peluang yang sewajarnya.
Selain itu, inisiatif ini turut mendukung aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035 yang menekankan usaha merapatkan jurang pendidikan dan memperkasakan kualiti pembelajaran melalui tema “Merapatkan Jurang, Meningkatkan Mutu, Meraih Kejayaan Bersama”.
Selaras dengan aspirasi tersebut, penyediaan bahan bacaan yang mesra keperluan khas merupakan langkah strategik untuk memastikan pendidikan yang inklusif dan berkualiti.
Saya percaya bahawa kemajuan sesebuah masyarakat tidak hanya diukur melalui pencapaian akademik atau pembangunan ekonomi semata-mata, tetapi juga melalui keupayaannya memastikan tiada sesiapa yang tercicir daripada arus pembangunan,” ujar Ketua Pengarah DBP.

Terdahulu dalam ucapan alu-aluan, Ketua Editor Bahagian Majalah yang turut menjalankan tugas Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, YBrs. Dr. Rosmani Omar menyatakan bahawa dalam konteks ilmu inklusif, “Dunia Mereka” merujuk anak-anak istimewa yang mempunyai pengalaman yang tersendiri untuk memahami sesuatu perkara daripada kita – yang melibatkan kementerian, institusi, pendidik, ibu bapa dan masyarakat.
Jelas beliau lagi,
Penerbitan buku ini merupakan satu daripada tanggungjawab sosial bagi menyantuni mereka (insan berkeperluan khas) dengan pelbagai kaedah demi menyediakan ruang dan medium pembelajaran yang terbuka lebih luas untuk mereka.

Sebelum mengakhiri ucapan perasmian, YBhg. Datuk Dr. Hazami turut menzahirkan harapannya agar penerbitan seperti ini dapat dijadikan inspirasi agar lebih banyak pihak yang menghasilkan karya yang bukan sahaja bersifat mendidik, malah mampu menyentuh hati serta nurani pembaca, sekali gus memberikan manfaat kepada anak-anak berkeperluan khas di Malaysia.

Yang turut hadir dalam majlis pelancaran tersebut ialah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Anwar Ridhwan; Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa; Ketua Editor Bahagian Buku Bahasa, YBrs. Puan Noraini Abd Shukor; Ketua Penolong Pengarah Unit Ketidakupayaan Pendengaran Sektor Pembangunan Intruksional, Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan Malaysia, YBrs. Encik Khairi Bahari; ahli Persatuan Disleksia Malaysia, ahli Persatuan Genius Malaysia, ahli IDEAS Austism Centre Malaysia, ahli Persatuan Pekak Malaysia, serta pelajar dan pensyarah bidang Pendidikan Khas dari Institut Pendidikan Guru Malaysia dan institusi pendidikan tinggi awam.