Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Program Cakna Kata yang menggunakan konsep didik hibur anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Peristilahan dan Leksikologi berjaya menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat khususnya generasi muda di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026, semalam.

Permainan bahasa ini menggunakan televisyen pintar sebagai medium utama pelaksanaan kuiz dengan disertai oleh lima orang wakil daripada Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), tiga orang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan tiga orang pelajar tingkatan empat dari Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra, Perlis. Permainan ini turut dibuka kepada pengunjung reruai DBP yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur.

Cakna Kata merupakan permainan bahasa berbentuk kuiz interaktif yang menguji pengetahuan peserta dalam pelbagai aspek bahasa Melayu termasuklah istilah, dialek dan ejaan Jawi. Pemilihan bentuk soalan tersebut bertujuan untuk memperluas pengetahuan peserta dan masyarakat umumnya tentang istilah semasa dalam bahasa Melayu yang digubal oleh DBP, meningkatkan kecaknaan terhadap kepelbagaian dialek di Malaysia dan membangkitkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan tulisan Jawi sebagai warisan persuratan bangsa. Hal ini selari dengan usaha mengembangkan tulisan Jawi yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) demi memastikan tulisan Jawi terus relevan dan dipelajari oleh generasi muda.

Pendekatan gamifikasi yang diterapkan dalam program Cakna Kata menjadikan pembelajaran bahasa lebih menarik dan lebih dekat dengan masyarakatb khususnya generasi muda. Penggunaan teknologi digital bukan sahaja membuka ruang terhadap pelibatan peserta, malah mewujudkan suasana didik hibur yang lebih dinamik, kompetitif dan menyeronokkan.
Peserta program Cakna Kata, Eyfan Rahimi Khairul Anuar berpendapat bahawa permainan Cakna Kata sangat menarik kerana dapat menguji kemahiran bahasa serta memperkenalkan pelbagai loghat yang digunakan di Malaysia. Beliau berpendapat bahawa program seumpama ini wajar diteruskan bagi meningkatkan tahap penguasaan bahasa dan mengeratkan hubungan antara masyarakat berbilang bangsa dan bahasa.
Sambutan yang menggalakkan terhadap program Cakna Kata membuktikan bahawa pendekatan didik hibur mampu menarik minat masyarakat untuk mempelajari bahasa Melayu.
Penganjuran program ini selaras dengan usaha DBP untuk memperluas penggunaan bahasa Melayu serta menggalakkan masyarakat, khususnya generasi muda untuk mencintai bahasa kebangsaan melalui pendekatan yang kreatif dan inovatif.